Wednesday, March 20, 2013

Sepat dan Puyu di Bendang

Sesekali, terasa ingin menulis tentang kisah silam, tentang kehidupan kampung, tentang sawah dan ikan di bendang. Ini pemandangan di belakang rumah ayah di kampung.

Telah kutinggalkan desaku hampir berpuluh tahun, namun keinginan untuk menjenguk tempat kelahiran tak pernah dilupa, tetapi kesempatan yang ada hanya 2 atau 3 bulan sekali. Hanya itu yang mampu.

Teringat kenangan zaman anak-anak dulu. Hati girang dan sangat seronok bila dapat memancing puyu dan haruan di bendang, sesekali keli ada juga menangkap. Sekarang, bila sesekali balik ke kampung dan padi di bendang tengah menghijau, takkan dilepaskan kesempatan untuk memancing bersama anak-anak. Ia ingatan dan kenangan yang sangat menyenangkan.



Zaman dulu-dulu sepat ada banyak di bendang. Ikan sepat sebesar 2 jari sedap dibuat ikan kering, digoreng dan makan bersama nasi panas. Tak tahu kenapa, lama kelamaan sepat semakin tiada di bendang.

Teringat dulu ketika menolong mak mencabut semaian dan menanam padi. Berpanas dan berhujan di bendang, dan pernah dikejar ular air. Malamnya saya tidur bermimpikan ular air dan saya berjaya membunuhnya...mimpi...



Bila padi berbuah dan mula menguning, jiran-jiran mula merancang untuk mengemping padi. Selalunya acara mengemping dilakukan beramai-ramai selepas maghrib. Bertemankan sinar bulan yang mengambang penuh dan cahapi api pelita minyak tanah, biji-biji padi yang dileraikan dari pokok padi akan di goreng kemudian di tumbuk dengan lesung padi. Selepas ditumbuk, emping akan diasingkan dari hampasnya.

Kini amalan mengemping padi tak lagi dilakukan. Masyarakat kampung pun agaknya dah lupakan makan emping dengan kelapa parut yang dicampur dengan gula dan sedikit garam....hmm, masa berlalu


No comments:

Post a Comment

Terimakasih kerana meninggalkan komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

facebook