Thursday, March 28, 2013

Khabarnya Isteri Pengasas Al-Arqam Ditangkap

Berita terkini yang ditulis di Utusan Online, isteri kepada pengasas Al-Arqam Khatijah Aam bersama 95 orang pengikutnya ditangkap oleh pihak berkuasa Arab Saudi. 

Khatijah Aam pernah mendakwa beliau berjumpa Rasulullah Sallallhu Alaihi Wasallam dalam sebuah bilik tidur setiap hari untuk mendapatkan perintah dari Baginda. Bilik itu juga diserbu oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Baca selanjutnya

KUALA LUMPUR 28 Mac - Seorang wanita warga Malaysia berusia 52 tahun yang dipercayai isteri kepada Allahyarham Ashaari Muhammad ditangkap di Kota Mekah, semalam kerana disyaki memimpin ajaran sesat di tanah suci itu.

Dia ditangkap bersama 95 lagi pengikutnya terdiri daripada rakyat Malaysia dan Indonesia dalam satu serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen Mekah dengan kerjasama Unit Risikan dan Pencegahan Jenayah semasa sedang menjalankan upacara keagamaan di situ.

Media tempatan negara itu, SABQ melaporkan, kumpulan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan pergerakan Al-Arqam yang diharamkan di Malaysia sejak Disember 2006.
Laporan itu turut mendedahkan, wanita itu memperoleh pendapatan kira-kira RM850,000 sebulan hasil daripada menjalankan aktiviti keagamaan sesat tersebut.

Semoga dengan insiden penahanan ini, Khatijah Aam dan pengikutnya diberi hidayah dan kembali ke jalan yang benar.


Kelebihan Doa Keluar Rumah



Bila keluar rumah, bacalah doa di atas. Kelebihannya, Allah akan hantar malaikat untuk jaga kita, jaga rumahtangga kita dan jaga keluarga kita. Ketika kita berpergian atau musafir, kita akan sentiasa dijaga oleh malaikat sampailah kita balik ke rumah kita.

Sekiranya dalam perjalanan tadi kita ada melakukan maksiat, maka terbatallah doa ini. Bilamana kita ada melakukan kesilapan, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengajarkan kita menyebut:
"Subhanakallahumma wabihamdika Ash hadu anla ilaha illa anta astaghfiruka wa atuubu ilaik"
Ianya kalimat yang mudah, tapi tidak ramai yang mahu menyebutnya.



Misteri lagi!! Kapal USS Guardian Dipotong

Bahagian depan yang telah dipotong dan diangkat dengan kren
Peliknya bila kapal perang US, USS Guardian yang mempunyai peralatan dan teknologi yang canggih dan terkini tahap dunia gagal mengesan kawasan terumbu. Lebih pelik lagi bila anak-anak kapal dan peralatan tidak dipindahkan ke Filipina tetapi diangkut ke Jepun. Kumpulan keselamatan Filipina juga dihalang unuk mendekati kapal tersebut. Kemunculan kapal USS guardian ini dikatakan semacam ada kaitan dengan pencerobohan di Lahad Datu. Ianya menjadi miisteri yang belum terjawab.

Berikut adalah laporan dari Agensi.


MANILA - Badan depan sebuah kapal pembersih periuk api milik tentera Amerika Syarikat (AS), USS Guardian dipotong selepas ia terperangkap di Terumbu Tubbataha di Laut Sulu, lapor akhbar Philippine Daily Inquirer semalam.

Jurucakap Pasukan Pengawal Pantai Filipina, Leftenan Komander Armand Balilo berkata, sebuah pasukan berjaya melakukan operasi tersebut.

Badan kapal yang dipotong itu diletakkan di dalam sebuah tongkang kelmarin.

Menurutnya, pasukan penyelamat akan melakukan operasi memotong baki bahagian badan kapal itu.

Operasi memotong bahagian kapal sepanjang 68 meter itu bermula sejak 22 Februari lalu.

Bagaimanapun, operasi memotong itu terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk.

Operasi memotong kapal itu dilakukan dengan menggunakan sebuah kren di atas sebuah kapal lain.

Kapal itu terkandas pada 17 Januari lalu selepas ia tersilap memasuki kawasan terumbu karang. - Agensi

Wednesday, March 27, 2013

Hukum Orang Ketiga

Sejak menetap di Shah Alam ni, saya menyaksikan beberapa pasangan bercerai, semuanya angkara orang ketiga. Sekurang-kurangnya dengan adanya peruntukan undang2 ke atas orang yang menyebabkan hubungan suami isteri berantakan, akan menyebabkan orang ketiga akan berfikir banyak kali.

***


Kuala Lumpur: Orang ketiga yang menyebabkan hubungan suami isteri berantakan kini berdepan tindakan undang-undang kerana perkembangan terkini menunjukkan mereka perosak institusi kekeluargaan Islam dan antara punca meningkatnya kes perceraian, terutama dalam kalangan pasangan muda.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Tan Sri Ibrahim Lembut berkata, tindakan ke atas orang ketiga itu bakal dikuatkuasakan dengan lebih tegas dan meluas di Wilayah Persekutuan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 (Akta 559).

“Seksyen 36 membenarkan orang disabit bersalah didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tiga tahu atau kedua-duanya atas kesalahan memujuk lari perempuan bersuami.

“Seksyen 37 pula merujuk kepada kesalahan menghalang pasangan sudah bernikah daripada hidup bersama sebagai suami isteri dan mereka yang disabit kesalahan itu boleh didenda RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Pengukuhan Institusi Kekeluargaan Islam anjuran Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur (MSKL), di sini, semalam.



Monday, March 25, 2013

Makanan Superfood Mencegah Asma


1. Avokado
Buah avokado mempunyai L-glutathione yang tinggi, menjadikan ia makanan yang sangat baik untuk anti-asma. Buah avokado  membantu melindungi sel daripada kerosakan radikal bebas dan menyahtoksik badan dari bahan pencemaran dan lain-lain bahan-bahan berbahaya yang ada dalam badan. L-glutathione dalam avokado membantu menghalang keradangan dan membaiki kesihatan usus yang rosak, satu proses yang dapat membantu mengelakkan tercetusnya asma.




2. Pisang
Makan pisang sebiji sehari boleh menjauhkan dari serangan asma. Menurut satu kajian pada tahun 2011 oleh penyelidik dari Kolej Imperial London mendapati bahawa kanak-kanak yang makan hanya satu biji pisang sehari mengurangkan risiko gejala asma seperti berdehit (wheezing) dalam 34 peratus. Pisang juga mempunyai serat semulajadi yang tinggi, yang boleh membantu mencegah berlakunya masalah pernafasan.

3. Epal
Epal mempunyai quercetin yang tinggi yang dapat memberikan perlindungan yang kuat terhadap asma. Satu kajian di Eropah mendapati bahawa wanita hamil yang makan sekurang-kurangnya empat epal seminggu adalah 53 peratus kurang berkemungkinan melahirkan anak yang akan megalami masalah asma. Kanak-kanak yang minum jus epal mengurangkan risiko terkena asma dalam 50 peratus.

4. Kunyit
Gejala keradangan menyebabkan kebengkakan paru-paru dan mengecutkan saluran pernafasan semasa serangan asma. Kunyit mengandungi bahan aktif yang terbukti menjadi salah satu nutrien anti-radang yang paling berkuasa. Ia membantu mengembangkan saluran darah dan merehatkan otot, menjadikan kunyit sebagai senjata yang kuat dalam menghalang gejala asma.

5. Bayam
Satu kajian yang melibatkan 68.535 peserta wanita, mendapati bahawa pengambilan bayam yang tinggi secara langsung dikaitkan dengan risiko penurunan asma. Ini mungkin disebabkan bayam mengandungi vitamin C yang tinggi, beta-karotena, vitamin E, dan magnesium. Kekurangan Magnesium adalah lazim di kalangan penghidap asma. Rawatan kecemasan intravena (IV) dengan magnesium telah menunjukkan ia membantu menghentikan serangan asma. Bayam juga tinggi kalium, kekurangannya juga dikatakan memburukkan gejala asma.

6. Air
Bagi kebanyakan orang yang menghidap asma, dehidrasi adalah punca sebenar gejala asma. Malah, menurut pakar air, Dr Fereydoon Batmanghelidj, gejala yang biasanya dilabelkan sebagai asma adalah sebenarnya badan memerlukan lebih banyak air. Jadi, melainkan anda mempunyai urtikaria aquagenic, juga dikenali sebagai alahan air, maka anda sepatutnya minum banyak air yang bersih dan bebas fluorida setiap hari untuk mengelakkan asma.

7. Halia
Sarat dengan nutrien anti-radang, halia adalah satu lagi anti-asma yang kuat. Sebahagian mengatakan ia lebih berkesan daripada ubat-ubatan antihistamin seperti Benadryl yang mana ia dapat membersihkan saluran pernafasan dan menghentikan keradangan. Halia tidak menyebabkan kesan sampingan yang berbahaya, yang bermakna anda selamat untuk menambahnya kedalam makanan dan minuman setiap hari untuk kesihatan yang baik.

Makanan lain yang juga berkesan mencegah gejala asma ialah kale, elderberry dan chia seed.


Friday, March 22, 2013

Khasiat Berwudhu Sebelum Tidur


Rasulullah SAW bersabda: 
“Barangsiapa tidur dimalam hari dalam keadaan suci (berwudhu’) maka Malaikat akan tetap mengikuti, lalu ketika ia bangun niscaya Malaikat itu akan berucap ‘Ya Allah ampunilah hamba mu si fulan, kerana ia tidur di malam hari dalam keadaan selalu suci’”. (HR Ibnu Hibban dari Ibnu Umar r.a.)

Penjelasan:
Seseorang yang berwudhu’ sebelum tidur, maka ia tidur didalam keadaan suci dan apabila kemudian ia bangun, maka malaikat turut membacakan doa untuk memintakan ampun orang tersebut dari Allah SWT.

Dengan hadits ini Rasulullah SAW memberikan semangat kepada kita supaya berwudhu’ sebelum tidur karena Allah adalah Zat yang Maha Suci dan mencintai kesucian.

Oleh karena itu, orang yang berwudhu’ sebelum tidur adalah orang-orang yang memenuhi panggilan Allah ini, yaitu menjaga kesucian.

Rasulullah SAW bersabda:
“Syaithan mengikat tengkuk salah seorang diantara kamu ketika ia tidur dengan 3 ikatan. Kemudian syaithan itu meniup tiap-tiap ikatan dengan ucapan masih panjang waktu malam, kerana itu teruslah tidur.

Apabila ternyata ia bangun lalu dia mengingati Allah, nescaya ikatannya itu akan terlepas. Jika ia berwudhu’ maka akan terlepas satu lagi ikatan dan jika ia sholat, maka akan terlepas pulalah seluruh ikatan sehingga ia bangun dengan badan yang bersih serta semangat yang segar. Tetapi jika dia tidak bangun, maka perasaannya menjadi lemah lagi malas”. (HR Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Penjelasan:

Setiap orang yang merebahkan dirinya untuk tidur, maka pada saat itu syaithan akan mengikat 3 simpul talinya pada diri yang bersangkutan . Apabila ternyata orang itu terus tidur sampai kewaktu pagi berarti syaithan itu berhasil, tetapi apabila ia bangun ditengah malam, kemudian dia ingat kepada Allah, maka ikatan syaithan tersebut terlepas dan apabila ia kemudian berwudhu’ maka ikatan tali syaithan yang kedua terlepas. Dan jika ia kemudian berdiri untuk solat malam, maka lepaslah seluruh ikatan tali syaithan tersebut dan orang semacam ini akan menikmati kesegaran badan dan kesegaran rohani pada pagi harinya, sehingga rasa malas menjadi hilang. Semoga kita mendapat hidayah dari sabda yang mulia Baginda Rasulullah SAW.. insya Allah.

Sumber: blog relado

Garispanduan Pecahkan Lemak dan Kuruskan Badan


Ini adalah beberapa garispanduan untuk pecah lemak dan kuruskan badan yang disarankan oleh Dr. Hamid Arshad.

1. Kunyah makanan dalam mulut selama yang boleh , 20 kali kunyah sebelum telan. Enzim dari air liur membantu penghazaman.

2. Kurangkan makan di luar, masak sendiri, jauhkan fast foods dan makanan bergoreng.

3. Hentikan gula cordial dan sirap, minuman dalam botol dan kotak.

4. Jauhkan segala makanan yang mengadungi perisa, pengawet dan pemanis. 

5. Minum segelas air suam dicampur perahan separuh buah lemon atau limau nipis.
Minum sedikit apple cider vinegar ketika atau lepas makan.

6. Cili mentah - merah, hijau atau padi , makan sebagai ulam atau salad.

7. Kunyit hidup campurkan dalam masakan.

8. Gunakan olive oil magerin, minum minyak kelapa dara satu sudu 2 kali sehari.

9. Supplemen vitamin B khususnya B3 atau Niacin.

10. Makan seaweed sebagai sumber iodine dan antioxidants




Doa Musnahkan Sel Kanser

Lapan surah ini diamalkan dan dibaca untuk memusnahkan sel-sel barah kanser. Jika pesakit dapat membacanya lagi baik. Jika tak terdaya atau kurang baik bacaannya maka boleh minta suami, ayah, ibu atau orang lain membaca untuknya.

Selok-eloknya sebelum memulakan bacaan surah dibawah : 

1. Istighfar 10x.
2. Salawat Nabi 10x.
3. Al-Fatihah 1x.

Sediakan sebotol secukupnya air yang bersih lagi suci dan setiap kali habis surah dibaca, ditiupkan kepada air. Pesakit dinasihat minum air bacaan tiap-tiap hari dan sapu/mandi pada anggota yang kena barah kanser. InsyaAllah kerana sakit dan sembuh semua kekuasaanNya.

1. Surah Al Maidah (Ayat 82-91). 
2. Surah Al Araf (Ayat 70-81). 
3. Surah Ar Ra'd (Ayat 16-28). 
4. Surah Al Anbiyaa' (Ayat 38-50).
5. Surah Asy Syu'ara (Ayat 185-227). 
6. Surah Az Zummar (Ayat 42-52). 
7. Surah Ghafir (Ayat 67-77). 
8. Surah Az Zukhruf (Ayat 52-70).

Kepada pembaca tolong sebarkan kepada ahli keluarga dan saudara yang sedang mengidap penyakit kanser. Semuga dengan menolong mereka yang sakit, akan juga mendapat pahala dari bacaannya serta pahala kerana menolong sesama hamba yang benar-benar memerlukan pertolongan dan penyembuhan dari-Nya. 


sumber - Resepirahsiaku

Thursday, March 21, 2013

Syahidnya Syeikh Ramadhan Al-Bhuti

Al-fatehah kepada Syeikh  Dr Ramadan al-Buti, seorang ulama dunia Islam yang berasal dari Syria. Allahyarham terbunuh dalam satu serangan di masjid Iman, Damsyik pagi tadi. Beliau meninggalkan khazanah ilmu Islam yang amat luas.

Beliau seorang yang mempunyai ilmu cukup tinggi di dalam bidang Fiqh, Usul Fiqh dan banyak lagi cabang ilmu Islam yang lain.




KALAM ALMARHUM SYEIKH RAMADHAN AL-BUTI KEPADA HABIB ALI AL-JUFRI SEBELUM MENINGGAL..:-)

"Tidak tinggal lagi umur bagi aku melainkan beberapa hari yang boleh dikira. Sesungguhnya aku sedang mencium bau syurga dari belakangnya. Jangan lupa wahai saudaraku untuk mendoakan aku"

Pada beberapa hari sebelum kewafatannya, beliau berkata "Setiap apa yang berlaku padaku atau yang menuduhku daripada ijtihadku, maka aku harap ia tidak terlepas dari ganjaran ijtihad"

(yang betul mendapat dua ganjaran dan yang tidak mendapat satu ganjaran)





Tempat syahidnya Syeikh Dr Ramadhan Al-Buti di Masjid Al-Imaan. Darah syuhada, dan antaranya darah ulama.



Putera Rasulullah Sollallahu Alaihi Wasallam

Ketika putera Rasulallah sollallahu Alaihi Wasallam yang bernama Qasim wafat dalam usia kecil, salah seorang tokoh musyrikin Quraisy bernama ‘Ash bin Wa’il bersorak-sorak gembira. 

Ia bersorak gembira kerana beranggapan bahwa Rasulallah sollallahu Alaihi Wasallam tidak akan mempunyai keturunan lebih lanjut. Ulah-tingkah dan ucapan ‘Ash bin Wa’il inilah yang menjadi sebab turunnya wahyu Ilahi iaitu Surah Al-Kautsar kepada Rasulallah sollallahu Alaihi Wasallam.

Ayat terakhir surat Al-Kautsar (INNA SYA-NI-AKA HUWAL ABTAR) Allah telah menegaskan: ‘Sungguhlah, orang yang membencimu itu lah yang abtar (putus keturunan)’. Masya Allah Tabarakallah!! Apa yang difirmankan Allah itu terbukti dalam kenyataan yaitu: Keturunan Rasulallah sollallahu Alaihi Wasallam berkembang-biak dimana-mana, sedangkan keturunan ‘Ash bin Wa’il putus dan hilang ditelan sejarah” ! 

‘Ash bin Wa’il sudah tiada bersisa, tetapi teriakannya masih mengiang-ngiang ditelinga golongan pengingkar pembenci keturunan Rasulallah 
sollallahu Alaihi Wasallam tersebut.


Wallahu a'lam.




Pengganas Amal Ilmu Hitam, Mayat Cepat Reput

Lahad Datu, 21 Mac - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, tetapi berdasarkan tanda-tanda yang ditemui pada mayat pengganas itu, mereka menggunakan ilmu kebatinan yang berunsur syirik.

Antara benda-benda berunsur syirik yang ditemui pada mayat pengganas ialah tangkal yang mereka percayai boleh menjadikan anggota militan kebal dan takwim bagi meramal hari yang sesuai untuk menyerang pasukan keselamatan.

Menurut sumber pasukan keselamatan, terdapat pengganas yang mati ditembak memakai tangkal dan mempunyai tatu ayat al-Quran di badan.

"Mereka mungkin kebal dengan peluru tetapi tidak setiap masa. Malah jika kulit mereka tidak lut namun letupan mortar mampu membunuh mereka," katanya.

Beliau berkata ada satu mayat pengganas yang mempunyai kesan hitam dipercayai kesan peluru namun kemungkinan kematian pengganas itu disebabkan luka dalaman akibat bunyi dan letupan mortar.

"Peliknya pengamal ilmu batin ini, mayat pengganas cepat busuk dan dihurungi ulat dalam tempoh sejam. Jika manusia biasa ulat akan hurungi mayat itu jika dibiarkan lebih dari dua atau tiga hari," katanya.

Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) Sabah Mej Anuar Mat Zin berkata Islam melarang menggunakan ilmu kebatinan yang boleh menyekutukan Allah dalam menegakkan sesuatu perjuangan kerana ia lari daripada landasan agama.

Beliau berkata perbuatan itu boleh merosakkan akidah sekaligus menjadikan perjuangan mereka adalah perbuatan sia-sia.

"Perbuatan memuja sesuatu ilmu seperti untuk kebal adalah salah di sisi Islam, Islam tidak menerima perjuangan seperti itu biar apapun niat dan matlamatnya," katanya yang turut terlibat dalam Operasi Daulat dalam membanteras kumpulan pengganas itu.

Beliau berkata soal ajal dan maut adalah di tangan Allah dan tiada siapa atau kuasa yang dapat mengubahnya.

Pengganas yang didakwa menggunakan ilmu batin untuk kebal turut memakai tangkal dan kad meramal hari, iaitu ilmu Kutika yang dipelajari daripada buku Tajul Muluk dan perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Itu mungkin kepercayaan mereka," katanya selepas ditemui pemberita di markas operasi Felda Sahabat 16, dekat sini semalam.

Anggota Parlimen Silam Salleh Kalbi pula menyifatkan amalan kebatinan pengganas tidak melambangkan mereka seorang pejuang jihad seperti yang cuba digembar-gemburkan pihak tertentu di negara ini.

"Menurut Islam adalah haram bagi mana-mana pihak yang ingin mengganggu-gugat negara yang berdaulat, iaitu pemimpinnya dipilih oleh rakyat dengan kerelaan hati mereka.

"Tetapi ia dibenarkan jika kedaulatan negara terancam seperti Palestin kerana ia demi mempertahankan kedaulatan negara itu yang telah dirampas," katanya yang menyifatkan pengorbanan pasukan keselamatan adalah satu jihad kerana mempertahankan negara berdaulat. - BERNAMA




Wednesday, March 20, 2013

Sepat dan Puyu di Bendang

Sesekali, terasa ingin menulis tentang kisah silam, tentang kehidupan kampung, tentang sawah dan ikan di bendang. Ini pemandangan di belakang rumah ayah di kampung.

Telah kutinggalkan desaku hampir berpuluh tahun, namun keinginan untuk menjenguk tempat kelahiran tak pernah dilupa, tetapi kesempatan yang ada hanya 2 atau 3 bulan sekali. Hanya itu yang mampu.

Teringat kenangan zaman anak-anak dulu. Hati girang dan sangat seronok bila dapat memancing puyu dan haruan di bendang, sesekali keli ada juga menangkap. Sekarang, bila sesekali balik ke kampung dan padi di bendang tengah menghijau, takkan dilepaskan kesempatan untuk memancing bersama anak-anak. Ia ingatan dan kenangan yang sangat menyenangkan.



Zaman dulu-dulu sepat ada banyak di bendang. Ikan sepat sebesar 2 jari sedap dibuat ikan kering, digoreng dan makan bersama nasi panas. Tak tahu kenapa, lama kelamaan sepat semakin tiada di bendang.

Teringat dulu ketika menolong mak mencabut semaian dan menanam padi. Berpanas dan berhujan di bendang, dan pernah dikejar ular air. Malamnya saya tidur bermimpikan ular air dan saya berjaya membunuhnya...mimpi...



Bila padi berbuah dan mula menguning, jiran-jiran mula merancang untuk mengemping padi. Selalunya acara mengemping dilakukan beramai-ramai selepas maghrib. Bertemankan sinar bulan yang mengambang penuh dan cahapi api pelita minyak tanah, biji-biji padi yang dileraikan dari pokok padi akan di goreng kemudian di tumbuk dengan lesung padi. Selepas ditumbuk, emping akan diasingkan dari hampasnya.

Kini amalan mengemping padi tak lagi dilakukan. Masyarakat kampung pun agaknya dah lupakan makan emping dengan kelapa parut yang dicampur dengan gula dan sedikit garam....hmm, masa berlalu


Bila Allah Buka Pintu Rezeki


Bila Allah beri rezeki atau buka pintu rezekiNya kepada kita maka janganlah sangka dan beranggapan bahawa kita dapat semua rezeki itu sebab kita pandai, pintar, bijak, pandai berniaga dan sebagainya. Faktor-faktor yang tersebut di atas itu semuanya asbab belaka.

Jangan lupa bahawa rezeki itu semuanya adalah dari Allah, dari limpah Kurnia dan AnugerahNya yang tidak bertepi ..Dialah Ar Razzaq..

Firman Allah SWT: "Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari LIMPAH KURNIA Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)." (Al Jumu'ah: 10).

Monday, March 18, 2013

Misteri Kapal USS Guardian Yang 'Dimusnah'




Ada satu perkara menarik yang mungkin ramai orang tidak tahu, terlepas pandang atau mungkin sengaja buat-buat tak tahu.

Sebuah kapal perang Amerika Syarikat, USS Guardian telah terkandas di kawasan terumbu karang Tubbuhata di Laut Sulu pada 17 Januari lalu, iaitu 24 hari sebelum pendaratan penceroboh ke atas Sabah pada 11 Februari 2013.

Persoalan besarnya, dengan segala kelengkapan terkini dan sistem radar yang canggih, bagaimana kapal itu boleh ‘tersangkut’ di terumbu karang tersebut?

Lebih menimbulkan kemusykilan, dikatakan kapal perang berkenaan sengaja belayar keluar dari laluan asalnya.

Untuk rekod, pihak Tubbataha Reef Marine Ranger telah beberapa kali memberi amaran kepada komander USS Guardian supaya jangan menghampiri kawasan terumbu karang itu.

Tetapi bagaikan dirancang, USS Guardian tetap meneruskan perjalanannya dan enggan berhenti.

Timbalan Pengerusi WWF-Filipina, Jose Ma.Lorenzo Tan berasa hairan dan tidak percaya kenapa USS Guardian dengan sengaja menghampiri kawasan terumbu karang berkenaan.

Berdasarkan risikan Filipina, kapal perang tersebut telah melakukan satu operasi rahsia dan kehadiran mereka langsung tidak dimaklumkan kepada pihak berkuasa Filipina

“ The question is, Who did they inform? The governor of Palawan (Abraham Mitra) did not know. The Tubbataha Protected Area Management Board did not know. The Western Command (of the Armed Forces of the Philippines) did not know,”

USS Guardian mendakwa kapal mereka tersangkut di kawasan terumbu berkenaan.

Ketika itu apabila pengawal marin Filipina cuba menghampiri kapal tersebut, mereka diberi amaran dan USS Guardian bersedia untuk menembak pihak marin Filipina.

“There were eight rangers on speed boats. And they could not even approach. The ship was on general quarters (alarm),”

Yang menjadi lebih pelik dan ajaib,  kapal perang tersebut telah dimusnahkan dan segala peralatannya diangkut secara tergesa-gesa.

Dalam sejarah Amerika inilah kali pertama kapal perang mereka dimusnahkan dalam keadaan aman bukan di medan perang.

Berdasarkan maklumat risikan dari Filipina, terdapat banyak kegiatan dilakukan dengan alasan mengadakan operasi menyelamat dan memunggah barang-barang.

Tetapi aktiviti mereka dibuat secara rahsia.

Yang menghairankan pihak keselamatan Filipina, kenapa anak kapal USS Guardian tidak dihantar ke Filipina kerana lokasinya paling hampir sebaliknya anak-anak kapal USS Guardian terus dihantar ke Jepun.

Selepas kejadian memindahkan anak kapal selesai, Sultan Bantilan Muhammad Muizzudin II pemimpin dari gerakan Kesultanan Sulu Darul Islam (SSDI) yang menentang serangan ke atas Sabah mendedahkan ada pihak yang lebih besar di belakang Jamalul Kiram III.

Menurutnya terdapat kehadiran sekumpulan lelaki berkulit putih di dalam kumpulan bersenjata Kiram sebelum mereka menyusup masuk ke Sabah.

Amerika Syarikat kini boleh memberikan apa saja alasan mereka…kapal tersangkutlah, demi rahsia kapal terpaksa dimusnahkanlah atau apa saja untuk mengjustifikasikan perkara tersebut.

Tetapi sebagai rakyat yang sedang tertanya-tanya di mana pengganas militan Sulu boleh mempunyai kelengkapan kenteraan yang canggih, persoalan ini akan terus berlegar-legar dalam pemikiran kita.

Kita pun tahu siapa Amerika yang sebenarnya, kita pun tahu peranan agensi perisikan mereka CIA yang ‘terkenal’ dalam bab melaga-lagakan sesebuah negara.

Jadi rasanya tidak salah kalau kita merasakan bahawa ada ‘sesuatu’ di balik kehadiran misteri kapal USS Guardian di Laut Sulu itu.

Dan percayalah, kita tidak akan terperanjat kalau mereka rupanya dalang yang membekalkan peralatan dan persenjataan kepada pengganas militan ini.

Mungkin kita salah, tetapi kita juga mungkin benar.

Yang pasti banyak perkara misteri di sebalik kemalangan yang menimpa kapal USS Guardian ini…hanya masa saja yang akan menentukan, bila segala persoalan tersebut akan terjawab!

Friday, March 15, 2013

Lelaki Yang Memiliki 4 Orang Isteri


Isteri ke-1 : Tua dan jelek, biasanya tidak diperhatikan.
Isteri ke-2 : Agak menarik, agak diperhatikan.
Isteri ke-3 : Menarik dan cukup diperhatikan.
Isteri ke-4: Sangat menarik, sangat diperhatikan dan disanjung-sanjung serta diutamakan!

Waktu pun berlalu begitu cepat dan tibalah saat sang lelaki (suami) tersebut mau meninggal, lalu dipanggilah 4 orang isterinya...

Dipanggilah isteri ke-4 yang paling cakep dan ditanya...
"Maukah ikut menemaninya ke alam kubur?"
Si isteri menjawab...
"Sorry, cukup sampai di sini saja saya ikut dengan mu..."

Saat dipanggil isteri ke-3 dan ditanya hal yang sama, dia pun menjawab...
"Sorry, saya hanya akan mengantarmu sampai di kamar mayat dan paling jauh sampai di rumah duka."

Kemudian dipanggil isteri ke-2 dan ditanya hal yang sama... Maka dia pun menjawab,
"Baik, saya akan menemanimu tapi hanya sampai ke liang kubur, setelah itu Good Bye."

Si Suami sungguh kecewa mendengar semua itu... Tetapi inilah kehidupan dan menjelang kematian...

Lalu dipanggil lah isteri ke-1 dan ditanya hal yang sama, si suami tak menyangka akan jawabannya...
"Saya akan menemani ke manapun kamu pergi dan akan selalu mendampingimu..."

~~~~~~~~~~

Tahukah apa dan siapa isteri ke-1 sampai ke-4 itu?

Isteri ke-4 adalah "harta dan kekayaan".
Mereka akan meninggalkan jasad kita saat kita meninggal.

Isteri ke-3 adalah "teman-teman" kita.
Mereka hanya akan menghantar jasad kita hanya sampai di saat disemadikan.

Isteri ke-2 adalah "keluarga". Saudara dan teman dekat kita.
Mereka akan mengantar kita sampai dikuburkan, dan akan meninggalkan kita setelah mayat kita dimasukkan dalam liang kubur dan ditutup dengan tanah.

Isteri ke-1 adalah "tindakan dan perbuatan" kita selama hidup di dunia. Kerana apa yang ditabur orang, itu juga yang akan dituainya...

Berbuatlah banyak kebaikan selama kita masih hidup di dunia ini agar nantinya kita dapat memiliki bekal yang dapat dibawa apabila sudah waktunya nanti

Saduran : Islamic Motivation

Thursday, March 14, 2013

Kisah 50 sen


Kringggg. Terima kasih cikgu, semua pelajar beredar ke kantin. Tapi seorang pelajar ni tak keluar utk rehat.
Awak tak rehat ke Alif? Ujar sy kpd pelajar ni. Tak cikgu. Jawab alif ringkas.

Kenapa alif tak rehat? Jawab alif "Mak sy beri 50 sen sehari cikgu. Kat kantin 50 sen ni dpt beli nugget je sekeping. Malu la cikgu beratur panjang2 dpt beli nugget je. Jadi sy kumpul duit hari ini utk makan hari esok. Jadi sy dpt la makan nugget 50 sen dan air sirap 50 sen. Sy kat kantin hari Selasa dan Khamis je cikgu " alif tertunduk malu
Perasaan sy mula bercampur baur, sedih sebak. Di zaman 2013 ini masih ada pelajar yg membawa 50 sen ke sekolah. Ramai di antara kita memandang 50 sen jumlah yg kecil sedangkan bg pelajar ini 50 sen sgt besar ertinya.

Saya tanya lg, kalau hari jumaat awak tak pergi kantin la ye?
Owh hari jumaat duit 50 sen ni sy sedekah masa bacaan yasiin cikgu. Jawab alif dgn bersahaja. Mak sy kata kalau kita sedekah rezeki kita akan bertambah..

Mata saya dah berkaca...Sy terkejut dan bertambah sebak. Dah la duit ada 50 sen. Siap boleh sedekah pulak. Ya Allah, limpahkanlah rezeki bg keluarga pelajarku ini..luaskan rezeki mereka semoga mereka tidak lagi berada dalam kemiskinan.

Huh macam terpukul sungguh sy, bayangkan duit 50 sen yg diberi utk makan, dia infakkan 50 sen utk tabung sekolah setiap jumaat semasa bacaan yasiin.

Mungkin kisah ini nampak simple tp bagi saya ia memberi seribu pengajaran. Mungkin Allah nak temukan sy dgh pelajar ini supaya lebihkan sedekah dan berinfak.

Bagaimana pula dgn kita? Mampukah kita istiqomah bersedekah setiap hari jumaat?

Harini Jumaat. Ayuh kita berazam utk lebihkan sedekah pd hari yg mulia ini kpd masjid masa solat Jumaat, kaum kerabat yg dlm kesusahan? dan untuk fuqarak serta masakin,Semoga Allah s.w.t memberikan ganjaran kpd anda semua.

Sumber dari seorang sahabat yg mengajar di ipg Bangi, barakalLahu fiekum ajma'in...
(Dari fb Ustaz Zahazan) 



Friday, March 8, 2013

Pengganas Sulu Bunuh Polis Dengan Kejam


Allah, Allah....kenapa begitu kejam. Sayangnya, kita berbunuhan sesama muslim kerana berebutkan 1 bahagian kecil dunia. Benarkah mereka Muslim, sedangkan mereka begitu tidak berperikemanusiaan. 


LAHAD DATU 7 Mac - Ditawan kemudian dipenggal kepala merupakan antara kekejaman yang tiada tara dilakukan pengganas Sulu ke atas anggota keselamatan negara.

Bukan itu sahaja, seorang anggota pasukan keselamatan yang turut ditawan dirodok perutnya menggunakan parang Sulu atau barong sebelum dadanya dibelah dan dikeluarkan segala organ dalaman.

Badan wira negara juga ditetak sehingga bercerai beberapa anggota badan sebelum dicampak ke laut manakala ada antara mereka maut kerana kedua biji mata mereka dicungkil menggunakan senjata tajam.

Seorang lagi anggota pasukan keselamatan walaupun terselamat menjadi cacat apabila kedua-dua belah tangannya kudung akibat ditetak dan kepalanya dikelar menggunakan kerambit.

Kesemua wira negara itu diperlakukan sedemikian selepas diserang hendap pada 2 Mac lalu di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna.

Perbuatan yang sangat sadis dan tidak berperikemanusiaan itu menimbulkan tanda tanya apakah mereka ini di bawah pengaruh dadah atau ilmu hitam.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menyatakan beliau amat dukacita apabila niat suci Malaysia untuk tidak membenarkan setitik darah tumpah di bumi Sabah dibalas dengan kekejaman oleh pengganas Sulu terhadap anggota keselamatan.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Facebook hari ini mengesahkan, selepas operasi menyelamat dibuat anggota komando VAT 69, mayat anggota polis ditemui dalam keadaan diperlaku dengan penuh kejam.

"Apabila tiba di Kampung Simunul, pasukan polis diserang hendap oleh penceroboh. Enam anggota polis terkorban manakala dua yang lain cedera. Enam penceroboh bersenjata telah dibunuh pihak polis.

"Polis menghantar pasukan penyelamat untuk membawa keluar mayat wira-wira kita. Mayat anggota polis ditemui dalam keadaan diperlaku dengan kejam oleh penceroboh bersenjata tersebut," katanya.

Dalam serangan itu, enam anggota polis maut iaitu Supritendan Ibrahim Lebar, Asisten Supritendan Micheal Padel, Sarjan Baharin Hamit, Sarjan Aziz Sarikun, Koperal Salam Togiron dan Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran.

Semua mereka yang maut itu kemudian diberi kenaikan pangkat berkuat kuasa serta-merta sebagai menghargai jasa dan pengorbanan wira yang diumumkan sendiri oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Terdahulu, pada 1 Mac lalu, pengganas Sulu juga bertindak keji apabila berpura-pura menyerah diri dengan mengangkat bendera putih sebelum menembak mati dua anggota komando VAT 69 dan mencederakan tiga yang lain di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Allahyarham Asisten Supritendan Zulkifli Mamat, 29 dan Sarjan Sabarudin Daud, 46, yang menyangka pengganas Sulu ikhlas kemudian bangkit daripada posisi meniarap menyebabkan kedua-dua mangsa maut ditembak di kepala.

Sumber: http://www.utusan.com.my




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

facebook