Saturday, November 3, 2012

Kehidupan manusia merentasi beberapa alam


Kehidupan manusia akan merentasi alam ruh, alam rahim, alam dunia, alam barzah dan alam akhirat. Tak pasti berapa lama kita berada di alam ruh, yang pasti kita berada di alam rahim selama 9 bulan 10 hari, ada yang terlebih dan ada yang kurang sikit dari tu.

Kehidupan manusia di alam dunialah yang paling penting sekali. Amalan hidup kita didunia akan menentukan susah senangnya hidup kita di alam barzah dan alam akhirat. Tempoh hidup manusia di dunia ni tak sama untuk setiap individu, ia mengikut kadar waktu yang Allah takdirkan untuk kita. Ada yang baru saja lahir dah dijemput pergi ke alam barzah, ada yang umurnya hingga remaja, ada yang sampai setengah abad dan ada yang sampai lebih seabad walaupun ia jarang-jarang berlaku.

Sepanjang tempoh manusia berada di alam dunia ni, manusia akan melalui ujian suka dan duka. Setiap manusia akan diuji, cuma cara kita diuji itu tak sama antara setiap individu. Jadi bila kita diuji dengan ujian duka, usah dibanding hidup kita dengan orang lain…masing-masing Allah menguji dengan cara yang dikehendakinya. Nabi yang diutus sebagai rasul lagikan diuji, inikan pula kita manusia biasa. Namun harus diingat, ujian para nabi tu jauh lebih berat dari kita.

Ada juga manusia yang diuji dengan ujian kegembiraan yang mana ia selari dengan kehendak nalurinya. Ujian macam ni boleh membuatkan seseorang itu semakin terleka dengan dunia. Sifat takabbur dan rasa diri hebat mudah meresap dalam diri ketika itu. Jangan pandang rendah pada orang lain yang serba kekurangan dari kita kerana mungkin suatu hari nanti Allah takdirkan kita berada di tempat mereka. Bukankah hidup ini umpama putaran roda, ada ketika di atas dan ada waktu kita berada di bawah.

Selepas melalui alam dunia yang dilalui dengan bersulam suka dan duka, jasad dan ruh akan terpisah, maka terjadilah kematian. Selepas kita dikebumikan, bermulalah hidup kita di alam barzah. Alam kubur akan menjadi salah satu dari taman-taman syurga atau salah satu dari lubang-lubang neraka. Ia bergantung kepada amal baik atau jahat kita sewaktu di alam dunia. Ia juga bergantung kepada rahmat dan keampunan Allah SWT.

Tidak diketahui berapa lama kita akan berada di alam barzah, bila berlaku kiamat dan bila ditiup sangkakala kedua kita akan dibangkitkan ke alam akhirat. Kita akan melalui waktu hisab di padang masyar, diberikan buku amalan samada dari tangan kiri atau tangan kanan dan seterusnya melalui titian sirat di mana di bawah titian sirat itu terdapat kawah-kawah neraka yang apinya menjulang. Sesiapa yang berjaya merentasi titian sirat, mereka akan sampai ke syurga yang mana perjalanannya selama 15,000 tahun. Sesiapa yang tidak berjaya merentasi titian sirat akan jatuh ke dalam kawah neraka, nauzubillah.

Begitulah secara ringkasnya kehidupan manusia, semoga kita menjadi orang-orang yang beruntung di dunia dan beruntung di akhirat. Aamin. Allahhumaghfirlana waliwalidaina…

No comments:

Post a Comment

Terimakasih kerana meninggalkan komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

facebook