Tuesday, October 16, 2012

Selamatkah dunia tanpa sempadan?


Hari ini saya memantau fb anak saya yang masih bersekolah. Agak terkejut bila mendapati banyaknya like page yang kandungannya sangat-sangat tidak sesuai untuk didedahkan kepada anak-anak yang masih dalam fitrah bersih dari dosa.   Banyak page-page kena di unlike supaya mesej-mesej yang tidak sesuai tidak dipaparkan lagi dalam wall.

Nampaknya cabaran membesarkan anak di zaman cyber ini makin besar. Ia sesuatu yang perlu difikirkan bagaimana untuk menanam mekanisma ketahanan diri pada diri anak-anak supaya tidak mudah dirosakkan fikiran mereka dalam meneroka dunia tanpa sempadan.

Satu tulisan yang saya petik dari Ustazah Noraslina Jusin : Sesungguhnya, dunia maya tanpa sempadan yang semakin melebarkan sayapnya hari ini menjadi cabaran yang sangat besar kepada kita dan generasi akan datang dalam mujahadah dan usaha menjadi seorang muslim/ah yang benar-benar beriman dan jujur dalam amalan.

Seorang muslim/ah yang menjaga batas pergaulannya di luar, berkemungkinan menjadi seorang muslim/ah yang 'bebas' di alam maya. Gaya percakapan dan perkataan yang digunakan, walau tanpa suara ketika berchatting, bermesej dan seumpamanya dengan lawan jenis, acap kali menjadikan syaitan tertawa besar kerana berjaya menjadi 'yang ketiga' antara mereka berdua.

Ada juga muslimah yang berjaya menjaga penampilan di alam sebenar, tetapi gagal mengekalkan kesempurnaan itu di dunia tanpa wayar. Kecenderungan untuk meraih perhatian dan pujian ramai, tanpa sedar menjadikan diri mereka fitnah kepada sebahagian mata-mata lelaki yang buas dan liar.

Justeru itu, buat ibu bapa yang memiliki anak-anak yang juga mempunyai akaun fb sendiri, ambillah ruang masa memantau aktiviti anak-anak kita di alam maya ini kerana kemungkinan nilai yang dipraktikkan mereka di 'sini', bertentangan dengan apa yang kita terapkan di alam realiti. ALam internet mengubah mereka menjadi 'manusia' lain dengan karektor dan penampilan yang mungkin memeranjatkan kita sebagai ibu bapa.

Namun, usah lupa untuk memulai dengan diri kita sendiri. Sesungguhnya, diharapkan kejujuran kita pada kedua-dua alam ini menghadirkan barakah buat tuntunan anak-anak yang kita kasihi sepanjang perjalanan hidup mereka di dunia ini. ameen.


No comments:

Post a Comment

Terimakasih kerana meninggalkan komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

facebook