Wednesday, October 24, 2012

Doa Makbul di Hari Wukuf

Image055


Hari ini para Jemaah haji akan mula wukuf di Arafah. Dianggarkan hampir 3 juta Jemaah haji dari 150 negara akan berkumpul di Arafah, di mana kumpulan yang paling ramai adalah dari Negara Indonesia, India, Pakistan, Mesir dan Turki. Waktu wukuf bermula dari Zohor hingga matahari tenggelam.

Padang Arafah terletak lebih kurang 9 km dari Makkah. Wukuf adalah kemuncak ibadah haji, jika tidak mengerjakan wukuf, maka tidaklah ada haji baginya.

Ada riwayat menyatakan, kehadiran malaikat dan Allah Taala turun ke langit serendah-rendahnya menyaksikan jemaah yang wukuf di Arafah.

Rasulullah SAW bersabda: “Mengerjakan haji adalah satu jihad. Perjuangan yang hebat dan besar adalah perjuangan melawan hawa nafsu. Di dalam ibadah haji, menentang hawa nafsu menjadi ujian terbesar jika hendak mencapai haji mabrur. Sesungguhnya hawa nafsu sekiranya tidak dikawal ia akan mendorong manusia ke lembah kejahatan dan kemungkaran.”

Doa termakbul
Banyakkan berdoa pada waktu wukuf, kerana di situ Allah Taala turun ke langit serendahnya untuk bertemu dan menyaksikan hamba-hamba-Nya yang ingin berjumpa dengan-Nya, mendengar segala doa dan permohonan hamba-Nya, dan memakbulkan segala doa-doa mereka. Bahkan Allah memuji kepada hamba-Nya yang datang berwukuf di Arafah untuk menggapai rahmat dan keampunan-Nya.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT memuji mereka yang sedang wukuf di Arafah kepada penghuni langit dan berkata kepada mereka: Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku yang datang kepada-Ku.” (Riwayat Imam Ahmad)

Amalan yang digalakkan kita yang tidak menunaikan ibadah haji lakukan pada hari wukuf ialah berdoalah kepada Allah segala yang dihajati bagi kehidupan.

Daripada Saidatina Aisyah, katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada suatu hari di mana Allah Taala paling banyak membebaskan hamba-Nya dari neraka selain dari hari Arafah.” (Sahih Muslim)

Berpuasa pada hari Arafah, adalah digalakkan sebagai amalan terbaik dan dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia tidak kurang juga yang berpuasa pada hari Arafah untuk mendapat ganjarannya.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Qatadah, Rasulullah SAW bersabda: “Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.”

Banyakkan bertaubat dan beristighfar, tinggalkan maksiat dan dosa pada hari Arafah, serta mengharapkan keampunan dan rahmat-Nya. Kerana maksiat adalah punca seseorang terhalang daripada mendapat rahmat Allah.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Baginda Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak suka apabila seseorang hamba-Nya melakukan perkara yang ditegah-Nya.” (Muttafa ‘Alaih)


Setelah matahari terbenam, Jemaah haji akan bergerak ke Muzdalifah, kedudukannya adalah di pertengahan antara Arafah dan Mina. Kemudian Jemaah akan ke Mina untuk melontar jamrah pada keesokan harinya.

1 comment:

  1. Salam.

    Mohon utk digunakan tips ini yer Tuan.

    Tkasih

    ReplyDelete

Terimakasih kerana meninggalkan komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

facebook