Thursday, September 20, 2012

Yang bernama Muhammad


Yang bernama Muhammad bin Abdullah, nabi kita:

Walaupun baginda SAW seorang rasul, baginda tidak hidup mewah. Seumur hidup baginda SAW hanya tidur di atas pelepah tamar. Baginda juga pernah menahan lapar berhari-hari kerana berjuang bersama para sahabat menegakkan syiar Islam. Baginda SAW menunggang keldai dan memboncengkan orang lain di belakangnya. Baginda menziarahi orang miskin dan menyayangi
orang-orang fakir serta menghadiri jemputan mereka. Baginda duduk bersama para sahabat tanpa menentukan tempat khusus untuk baginda SAW.

Baginda SAW amat penyayang kepada anak-anak kecil dan anak yatim. Di rumah, baginda SAW menjahit sendiri pakaiannya yang koyak dan bersabar dengan karenah isteri, tidak pernah marah. Di kalangan sahabat-sahabatnya, tidak pernah ada yang berjaya mengucapkan salam kerana baginda SAW lebih dahulu memberikan salam kepada mereka.

Baginda SAW juga adalah manusia yang mempunyai fitrah kasihan belas. Baginda amat menyayangi kanak-kanak, orang tua dan fakir miskin. Ketika anakanda lelaki Rasulullah SAW meninggal dunia ketika kecil, baginda SAW tidak lepas menitiskan air mata. Pernah seorang Arab badwi membuang air di tempat solat, baginda tidak memarahi bahkan membasuh air tersebut. Baginda SAW juga tidak kekok makan sedulang bersama orang yang berkudis tangannya. Rasulullah SAW adalah insan yang paling lemah lembut terutama kepada orang yang beriman. Apabila Rasulullah SAW memanggil para sahabatnya, baginda SAW akan memanggil nama atau gelaran yang paling disukai mereka.

Baginda SAW adalah insan yang suka tersenyum dan mempunyai jiwa yang bersih. Kata-kata dan akhlak baginda adalah al-Quran. Baginda tidak berkata atau membuat sesuatu melainkan ianya adalah wahyu daripada Allah SWT. Walaupun baginda SAW memiliki akhlak yang terpuji dan disayangi seluruh makhluk, baginda tetap merendahkan diri. Rasulullah SAW mengatakan bahawa Allahlah yang mengajar baginda untuk berakhlak mulia.



Suatu waktu, ketika baginda SAW menemui sahabat-sahabatnya, para sahabat bangun untuk memberikan hormat, namun Rasulullah SAW melarang mereka dan bersabda yang bermaksud:

‘Janganlah kamu bangun sebagaimana orang-orang bukan Arab bangun kerana memberikan penghormatan kepada sebahagian mereka.’

‘Aku hanyalah hamba Allah. Aku makan sebagaimana hamba makan dan aku duduk sebagaimana hamba duduk.”


Pernah seorang lelaki mahu mencium tangan Rasulullah SAW, tetapi lekas ditarik oleh baginda dan berkata, “Inilah yang dilakukan oleh orang-orang bukan Arab kepada para raja mereka. Aku bukannya raja tetapi aku hanyalah seorang lelaki daripada kalangan kamu.”

Itu hanya sedikit gambaran nabi kami. Mengapa kamu sanggup menghinanya sedangkan kamu tidak kenal peribadinya yang sebenar? Semoga Allah memberi hidayah kepadamu dan memperdalamkan cinta kami kepada seorang manusia yang dikasihi TUHAN melebhi segala makhluk yang DiciptakanNya.


1 comment:

Terimakasih kerana meninggalkan komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

facebook