Sunday, May 13, 2012

Meninggalkan solat ketika sakit, haruskah?

Solat 5 waktu sehari semalam telah difardhukan ke atas umat Islam sewaktu peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah. Ia satu-satunya perintah ibadat yang terus dari Allah kepada Rasulullah tanpa perantaraan malaikat Jibril. Jelas, ibadah solat merupakan amalan yang paling utama dalam Islam. 

Nabi Muhammad saw. bersabda yang bermaksud:
"Siapa yang meninggalkan solat Asar, akan rosaklah amalannya."

Jika hanya meninggalkan satu solat sudah merosakkan amalan, bagaimana dengan meninggalkan seluruh solat?

Tirmizi meriwayatkan daripada Abdullah bin Syaqiq Al-Ugaili .a., katanya:
"Para sahabat Nabi berpendapat bahawa tiada suatu amalan pun yang apabila ditinggalkan, akanmengkafirkan seseorang kecuali solat." 

Solatlah yang membezakan antara kita dan orang-orang kafir.

Firman Allah:
"Dan perintahkanlah ahli keluargamu bersolat dan bersabarlah dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu. Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan abbat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa." (Taha: 132) 

Bagaimana pula dengan orang Islam yang sakit? Adakah ada keringanan untuk tidak mengerjakan solat ketika sakit?  Jawapannya, dalam keadaan perang sekalipun solat itu wajib. Bahkan dalam keadaan terlantar di katil hospital atau dalam keadaan menghadapi maut pun solat fardhu itu wajib.

Imran ibn Husain ra berkata :-
"Rasulullah saw bersabda kepadaku : Solatlah sambil berdiri, jika tidak mampu solatlah secara duduk, jika tidak mampu, solatlah secara mengiring" (HR al-Bukhari 1117)


Di riwayatkan oleh Jabir ra. bahawa Nabi saw telah bersabda kepada seorang yang sakit yang bersolat menggunakan bantal untuk ruku' dan sujud,

"Solatlah di atas bumi jika kamu mampu, jika kamu tidak mampu, gerakkan sahaja kepala kamu, dan jadikanlah sujud lebih rendah dari ruku'" (HR al-Baihaqi dengan Isnaad yang kuat).


Ramai antara kita bila terlantar sakit, kita meninggalkan solat dengan alasan Allah pun tahu kita sakit. Tidak wajar membuat andaian sendiri kerana solat tetap wajib dilakukan pada setiap keadaan. Bagaimanapun, ia masih ada keringanan dalam cara melakukan solat bagi orang sakit. 


Pada yang mempunyai ibubapa atau saudara-mara atau rakan-rakan yang terlantar sakit di hospital atau di rumah,  bantulah mereka melakukan solat mengikut kemampuan mereka. Ramai yang memandang ringan soal ini. Jika mereka terlantar sakit disebabkan ajal yang semakin hampir, bayangkan jika mereka menemui Tuhan dengan keadaan yang berdosa kerana meninggalkan solat. Bagaimana nasib mereka 'di sana' nanti.

Panduan solat ketika sakit boleh didapati dari buku Indahnya Hidup Bersyariat. Saya bukanlah bermaksud mempromosi, bahkan saya sudah memilikinya sebuah sebagai rujukan. Ia mudah difahami dan dikarang oleh seorang ilmuan agama yang hebat iaitu Dato’ Ismail Kamus.








Buku ini sangat bagus dan berbaloi dimiliki oleh setiap muslim sebagai rujukan dan panduan dalam melaksanakan ibadah fardhu ain dan fardhu kifayah.


No comments:

Post a Comment

Terimakasih kerana meninggalkan komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

facebook