Thursday, April 26, 2012

Membaiki kualiti hidup

Ketika berbincang dengan keluarga bagaimanakah cara untuk membaiki kualiti hidup. Tiba-tiba ilham datang bertamu. Pada pendapat saya, kualiti hidup dapat diperbaiki dengan mengerjakan senarai di bawah:

1. Solat di awal waktu
2. Mengerjakan solat rawatib
3. Mengerjakan solat malam dan solat dhuha
4. Membaca al-Quran setiap hari
5. Berpuasa wajib dan sunat
6. Mengeluarkan zakat dan banyakkan bersedekah
7. Banyakkan beristighfar, bertasbih dan berselawat
9. Menghormati ibubapa
10. Menutup aurat dengan sempurna
11. Elakkan dari mengumpat dan mencela orang lain
12. Solat jemaah
13. Bekerja dengan tekun, jujur dan amanah
14. Sentiasa bersyukur

Samaada kita miskin atau kaya, insyaAllah rahmat Allah akan sampai dan kebahagiaan akan datang ke dalam hati...tidak perlu pergi jauh-jauh untuk mencari bahagia, ia akan datang bertamu di hati dan sekaligus kualiti hidup kita diperbaiki Allah. InsyaAllah.

Wednesday, April 25, 2012

Mengapa jasad Firaun ada sehingga kini

Apa Sebabnya Jasad Firaun Terpelihara Sehingga Kini?

Saintis Perancis Memeluk Islam Setelah Mengkaji Penemuan Mayat Firaun Pada pertengahan tahun 1975.

Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal. Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya. Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris.

Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian. Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka. Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi. Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat. Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut? Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis. KISAH FIRAUN DI DALAM AL QURAN.

Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru. “Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!” Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.

Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya. Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu. “Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun. Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15) Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu. Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka. Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri: “Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).” Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.” Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran. Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya. “Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran. “Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya. Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah 





(Ambilan dari facebook)
Wallahua'lam

Thursday, April 19, 2012

Personaliti pilihan : Fenomena Ustaz Don, Hafaz al-Quran selepas SPM



BERBULAN-BULAN usaha mengaturkan sesi fotografi dengan pemuda bernama Don Daniyal Don Biyajid, 28, atau mesra dengan panggilan Ustaz Don ini. Kesibukannya mengehadkan masa bersama media, namun pelawaan wakil TV AlHijrah ke Masjid Al-Azim, Pandan Indah, pada 15 April lalu membuahkan hasil.

Kebetulan ketika itu Ustaz Don terbabit dalam program Cinta Masjid yang bertujuan mengembalikan peranan masjid sebagai pusat perkembangan ilmu dan kegiatan masyarakat.

Sekitar Asar, wakil Rap tiba di pekarangan masjid berkenaan dan apa yang mengagumkan, sepanjang jalan di luar pekarangan masjid di penuhi kenderaan seperti orang menghadiri konsert.

Situasi itu sudah cukup menjelaskan berita mengenai fenomena seorang penceramah agama iaitu Don adalah benar. Bukankah ini satu perkembangan baik? Anak muda mula berminat menonton program agama, mendengar ceramah dan tazkirah selain memilih untuk berada di masjid daripada membuang masa pada hujung minggu.


“Dalam berdakwah, saya tidak pernah meletakkan sasaran untuk golongan remaja saja kerana ilmu itu tidak mengenal batasan usia. Jika remaja suka mendengar dan menonton program agama dikendalikan saya, Alhamdulillah,” kata pengendali program 30 Minit Ustaz Don yang bersiaran setiap Isnin sehingga Khamis, jam 10 malam di TV AlHijrah.

Kesukaran mendapatkan beliau selama ini ekoran komitmen Ustaz Don. Selain terbabit dengan 30 Minit Ustaz Don pada waktu malam, aktivitinya pada sebelah siang dipenuhi dengan tuntutan kerjaya sebagai pensyarah di Jabatan Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat di Akademi Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Bangi serta tugasnya sebagai penceramah bebas.
Pada masa sama, beliau juga sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam pengajian al-Quran dan Sunnah.

Berbicara mengenai fenomenanya, nyata Ustaz Don sedikit gelisah dengan pertanyaan itu kerana enggan dipuja kerana ikhlas berdakwah untuk Yang Maha Esa.

“Ikut Islam, patuh suruhan Allah s.w.t dan Rasul. Jangan puja saya kerana saya manusia biasa. Mati esok, syurga belum tentu buat kita lagi. Sebagai saudara sesama Islam, apa yang boleh kita lakukan adalah saling ingat mengingati.

“Saya berdakwah untuk berkongsi ilmu selain sebagai persiapan menjadi insan dan hamba-Nya yang lebih baik,” katanya.

‘Respons’ mahupun reaksi yang masyarakat berikan kepada penceramah bebas kelahiran Bukit Mertajam itu membuatkan dia pernah berasa janggal pada awalnya.

Namun, Ustaz Don sering menjadikan kisah seorang ulama juga Tokoh Tafsir Mesir, Allahyarham Syeikh Muhamad Mutawalli al-Sya’rawi sebagai contoh dan inspirasi agar sentiasa menunduk ke bumi.

“Syeikh Muhamad Mutawalli al-Sya’rawi adalah ulama hebat dan murah hati. Betapa orang mengaguminya sehinggakan pernah sebaik keluar dari masjid, orang mengerumuninya untuk bersalaman dan memeluknya.

“Sampaikan keretanya turut diangkat. Apabila keadaan sudah reda, beliau minta pemandunya menghidupkan enjin lalu singgah di sebuah masjid. Kemudian beliau membuka baju dan mula mencuci tandas sebagai cara untuk beliau berasa rendah diri.

“Saya sering mengingatkan diri kepada peristiwa ini untuk saya sentiasa tunduk ke bumi,” katanya.
Pemilik Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat dari Maahad Qiraat Shoubra, Mesir, itu menambah, semakin kuat iman seseorang itu, semakin galak syaitan cuba memesongkannya.

“Jangan kata orang kuat agama tidak boleh lemas dengan pujian. Puji-pujian boleh menimbulkan rasa bangga diri. Iblis pandai. Dalam hadis ada menyebut Talbis Iblis iaitu pengkaburan yang dilakukan iblis dan mempunyai pelbagai cara untuk menyesatkan orang.

“Satu contoh, jika ada perempuan seksi depan mata, memang langsunglah ustaz tak pandang. Jadi iblis kaburkan dengan mendatangkan wanita bertutup aurat tapi pandai mengurat.
“Saya paling takut menjadi orang yang munafik dan daripada pemerhatian saya, sifat munafik paling ditakuti golongan ulama,” katanya.

Menyingkap pembabitan awal sebagai penceramah bebas, Ustaz Don yang pernah menjadi guru di sebuah tadika di Pulau Pinang, menyampaikan kuliah agama pertamanya di Selangor iaitu di Surau An Nur, Bangi, tiga tahun lalu.

Detik itu tidak mungkin dilupakan lantaran ia permulaan sebagai pendakwah bebas, tambahan pula beliau bertindak sebagai ‘bidan terjun’ menggantikan dua ulama tersohor – Ustaz Haron Din dan Ustaz Ismail Kamus yang tidak dapat memberi kuliah pada hari berkenaan.

Penghujung 2010, sahabatnya, Kamarul Zaman, bekas kakitangan TV AlHijrah memperkenalkannya kepada seorang produser stesen itu yang kebetulan sedang mencari seorang ustaz untuk mengendalikan program baru.

Selepas uji bakat, beliau terpilih mengendalikan program Ihya Ramadan sebanyak 20 episod, yang menyaksikan pelbagai reaksi positif penonton.

Rentetan itu, katanya, lahirlah idea untuk menerbitkan 30 Minit Ustaz Don yang pada awalnya menggunakan judul Tazkirah Ustaz Don. Program berbentuk kuliah interaktif itu sebagai kesinambungan kejayaan Ihya Ramadan.

Menjadi wajah rebutan kebanyakan stesen TV sekarang, Ustaz Don mengakui selesa bersama TV AlHijrah, malah turut berkongsi idea untuk program akan datang.

Beralih kepada topik penampilan beliau yang sering kelihatan berjubah, berserban dan selendang di bahu kanan, tidak bererti beliau menolak pakaian kasual.

“Ulama terkenal, Allahyarham Ustaz Yusof Rawa sangat menjaga penampilannya ketika berada di khalayak sehingga pernah menerima duta keterampilan. Ini bermakna, kebebasan bergaya sememangnya ada asalkan tidak keluar daripada landasan Islam. Saya pun bukanlah ke sana sini mengenakan jubah dan serban, ikut kesesuaian juga.

“Jika bermain boling misalnya, takkan hendak berjubah? Ada masa saya selesa memakai sut dan pakaian formal,” katanya.

Zaman kanak-kanak

DETIK kejayaan hidup seseorang pasti ada kaitan dengan asuhan ketika kecil, cara mereka dibesarkan selain pergaulan sekeliling. Akui Ustaz Don, beliau dilahirkan dalam keluarga yang sederhana iaitu ibunya seorang kerani dan bapanya pula, pembantu makmal.

“Seingat saya, emak dan ayah mahukan anak pertama lelaki tetapi yang sulung perempuan. Jadi apabila lahirnya saya, emak pernah kata dia menyebut ‘Fisabilillah’. Fisabilillah ini pernah disebut datuk Nabi Isa a.s. ketika kelahirannya. Ada kisah menarik di sebalik ungkapan ini.

“Kalau tidak silap saya, ketika berusia tiga hari, bapa membawa saya bertemu gurunya, juga Pengasas Pondok Bagan Lalang, Pulau Pinang, untuk mendapatkan keberkatan.

“Menyingkap cara saya dibesarkan sama seperti kanak-kanak lain. Bagaimanapun, baru-baru ini saya terbaca tulisan Profesor Dr Muhaya Mohamad yang menemu bual emak saya, apakah rahsia emak dalam mendidik saya dan adik-beradik yang lain. Saya pun tak tahu bila temu bual itu dibuat.

“Dalam temu bual itu, emak memaklumkan dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh perhatian untuk menyusukan saya sehingga genap dua tahun.

“Jika saya menangis mahukan susu pada waktu malam, ayah saya akan turut sama bangun membancuh susu untuk emak sebelum emak menyusukan saya,” katanya.

Dalam petikan temu bual itu turut menyebut, ayah Ustaz Don tidak membenarkan emaknya menyusu sambil berbaring. Sebaliknya, ayahnya akan menyediakan belakang badannya untuk emak bersandar menyusukan anak sambil duduk dan memastikan keselesaan semasa menyusu.

Akui mengagumi pengorbanan kedua-dua orang tuanya itu, Ustaz Don semasa kecil sering mengikuti bapanya ke masjid untuk menunaikan solat dan mendengar ceramah agama.

Anak kedua daripada empat beradik itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kebun Sireh diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Nibong Tebal, Pulau Pinang. Sewaktu di sekolah menengah, dia adalah pelajar aliran sains.

“Saya bukanlah pelajar cemerlang cuma setakat sedang-sedang saja. Peperiksaan UPSR, PMR dan SPM, saya cuma memperoleh 4A saja. Sewaktu mengikuti pengajian peringkat Diploma di Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Pulau Pinang, kemudian Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat di Mesir, saya antara pelajar yang selalu dapat tempat kedua atau ketiga terakhir (ketawa).

“Saya mula minat menghafaz al-Quran selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Al-Quran sangat istimewa dan hanya akan ‘duduk’ dengan siapa yang ia mahu. Ada orang belajar sedari umur empat tahun untuk menghafal al-Quran, tetapi masih tidak mampu melakukannya.

“Wallahualam… apa yang saya tahu mereka yang mendapat kelebihan adalah orang yang menyayangi al-Quran.

“Seperkara lagi, sejak dulu saya selalu patuh kepada kata-kata guru. Menghormati guru nescaya kita akan mendapat keberkatan dalam pelajaran.

“Saya masih ingat ketika bersekolah rendah, saya ada seorang guru, Ustaz Sheikh Redha Salim Ali yang kini sudah meninggal dunia. Setiap pagi saya berjalan ke rumahnya selama 30 minit dan apabila balik dari sekolah, kalau kawan-kawan mahu temankan ustaz pulang, dia akan kata: “Aku nak balik dengan Don.” Ustaz saya itu buta, jadi saya pimpin tangannya setiap kali pergi dan balik sekolah,” katanya.

TRIVIA
Surah yang sering atau dibaca… Surah Al-Kahfi.

Pendakwah dikagumi… ramai, salah seorangnya Datuk Dr Haron Din.

Jika menjadi bapa satu hari nanti… mahu mendidik anak seperti Rasulullah s.a.w. walaupun mustahil, tetapi berharap dapat menjadi ayah yang baik seperti ayah saya.

Jenama kacamata pilihan… Rayban.

Kumpulan muzik yang diminati… Linkin Park. Menurut Ustaz Don, sebahagian lirik lagu kumpulan itu yang dibacanya tidak keterlaluan dan ada yang berunsur kehidupan dan kemanusiaan.

Status… tunangan kepada Husna Mohd Zain, pelajar jurusan perubatan di Universiti Kaherah, Mesir.

Penuhi masa lapang… kerja grafik dan fotografi.

Harian Metro

Wednesday, April 18, 2012

Kisah gabenor yang zuhud - Umar Abdul Aziz


Di usia 25 tahun, pemuda yang cemerlang ini kemudian diangkat menjadi penguasa di Madinah oleh Khalifah Bani Umayyah, Walid bin Abdul Malik. Kota Madinah yang sebelumnya dicekam ketakutan akibat kekejaman Hisyam Bin Ismail, menjadi gempar seketika.

Langkah pertama yang diambil oleh pemuda keturunan Umar al-Khattab ini adalah mengumpulkan 10 orang ulama yang terkenal akan kesahihannya sebagai anggota penasihat majlis.  Umar Bin Abdul Aziz lalu mengumumkan bahawa beliau akan mengadakan pembaharuan dan pembaikan di segala bidang.

Dengan sikap tegasnya, Umar bin Abdul Aziz berhasil menjadikan daerah yang dipimpinnya menjadi daerah teladan.  Beliau dipercayai memimpin sluruh wilayah Hijjaz yang meliputi Thaif, Mekah, Madinah dan sekitarnya.

Umar sama sekali tidak mahu menggunakan harta rakyat untuk memenuhi keperluannya. Beliau hidup dalam sikap yang sangat berhati-hati dan zuhud. Suatu ketika, pembantunya membawakan air  yang telah dipanaskan. Malam itu benar-benar dingin dan Umar dalam keadaan jinabat sehingga harus mandi.

Umar bertanya, Di mana kamu memanaskannya?” Pembantunya menjawab bahawa air tersebut dipanaskan di dapur umum. Umar terus memerintahkannya untuk membuang air tersebut. Namun, ada seseorang yang memanggil Umar kerana dia takut Umar akan mandi dengan air dingin. Orang tersebut lalu mencadangkan agar Umar menggunakan air panas tersebut lalu digantikan dengan harga yang kemudian dimasukkan ke baitul mal. Umar pun bersetuju dengan cadangan tersebut. 

Saturday, April 14, 2012

Sebuah cerita tentang facebook

Jagalah Aurat Anda Sebelum Ajal Tiba....

Allahyarham baru meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini.Tak Lama kemudian ibunya bermimpi yang beliau merayu-rayu agar tutup acc facebook kerana auratnya terdedah di pandangan umum & rohnya tidak tenteram kerana banyak sangat gambar yang terdedah dan tidak tutup aurat .

Beliau yang baru berusia 19 tahun dan berasal dari Johor, telah pun meninggal dunia beberapa hari lepas setelah koma 2 hari akibat kemalangan jalan raya.

Alhamdulillah pada 4pm 6/4/12 facebooknya telah berjaya dipadamkan, terima kasih kepada yang telah memberi kerjasama.

Inginkah Anda Mati Dalam Derhaka Kepada Allah?

Sebuah hadis yang yang diriwayatkan oleh At Tarmizi, Perempuan itu aurat. Maka apabila ia keluar, mendongaklah syaitan memandang dia. Cuba kita bayangkan, bagaimana dengan keadaan seorang wanita keluar rumah dalam keadaan mendedahkan aurat, tiba-tiba berlaku kemalangan atau sebagainya menyebabkan kematian, bukankah kematian itu berlaku dalam keadaan melakukan derhaka kepada Allah?

Allah tunjukkan kepada nabi dalam peristiwa Israk dan Mikraj sebagai pengajaran bahawa begitu besar dosa dan begitu ngeri azab yang bakal diterima oleh wanita-wanita yang mendedahkan aurat malahan suami atau bapa mereka turut menerima tempiasnya sekali pada akhirat kelak.

Sabda Rasulullah s.a.w. "Perempuan-perempuan yang memakai pakaian tetapi masih seperti telanjang (dedah aurat) sehingga memalingkan pandangan lelaki ajnabi atas mereka, kepala mereka seperti bonggol unta Khurasan dan tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya pun" (riwayat Muslim). Malahan bagi wanita yang menutup aurat tetapi menggunakan warna-warna yang garang atau menarik perhatian lelaki ajnabi juga dilarang.

Sekarang kita melihat ada wanita yang menutup aurat tetapi masih terkinja-kinja di atas pentas, terjerit-jerit umpama haiwan di belantara, manusia begini tidak lebih hanya mempersenda-sendakan syariat Allah kerana wanita yang ikhlas, yang benar-benar menutup aurat kerana perintah Allah, dia akan menjaga pandangan, pergaulan, lisan serta adab sebagai wanita beriman, jika tidak tidak ada bezanya mereka dengan wanita yang tidak menutup aurat.

Akhirnya hayatilah sebuah hadis Rasulullah ketika baginda dalam Israk dan Mikraj yang berbunyi "Aku menjenguk ke dalam neraka, maka kulihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, yang demikian disebabkan oleh kerana kurang taat kepada Allah dan Rasulullah dan suami mereka dan kerana banyak bertabarruj dedah aurat dan berhias-hias".

Bapa-bapa atau suami-suami kelihatan taat solat, dengar kuliah, bersedekah, buat haji, buat umrah, puasa sunat selain yang wajib, tetapi redha melihat isteri atau anak-anak perempuan dedah aurat, bersalam dengan lelaki ajnabi atau bergaul bebas.

Ketahuilah bapa atau suami begitu belum layak untuk masuk syurga malah untuk mencium syurga Allah pun tidak layak kerana menolak rukun iman. Sama-samalah kita insaf bagi mencapai keredhaan Allah.

Wallahu'alam....

SALAM MUHASABAH, KONGSIKAN KEPADA SELURUH UMAT ISLAM, SEMOGA BEROLEH MANFAAT

Tuesday, April 10, 2012

Doa Solat Dhuha


Sahabat-sahabat yang dikasihi, saya ingin berkongsi satu info bagi menambah ilmu dan pengetahuan kita agar ibadah yang kita lakukan lebih murni kepada-NYA, insyaALLAH, ALLAHUMMAAMMEEN, iaitu berkenaan doa Dhuha yang selalu terngiang-ngiang di telinga kita saat memandu kereta di pagi hari.

Doa ini tidak bersumber dari Nabi SAW, tidak juga diriwayatkan dari perkataan salah seorang sahabat baginda radiyallahu'anhum mahupun dari para tabi’ien. Cuma, ia merupakan satu doa yang dibaca oleh seorang wanita Arab Badwi di ‘Arafah berdasarkan riwayat daripada al-Dainoori di dalam al-Majalisah wa Jauhar al-‘Ilmi dengan sanadnya dari al-Asma’ie. Inilah juga yang dinukilkan oleh al-Hafidz di dalam al-Bayan wa al-Tabyin dan al-Zamakhsyari di dalam Rabi’ al-Abrar serta selain mereka berdua.

سمعت أعرابية بعرفات وهي تقول : اللهم إن كان رزقي في السماء فأنزله ، وإن كان في الأرض فأخرجه ، وإن كان نائيا فقربه ، وإن كان قريباً فيسره


Maksudnya: “Saya telah mendengar seorang wanita badwi ketika berada di Arafah berdoa: Ya Allah sekiranya rezeki saya berada di langit, maka turunkanlah ia, jika ia berada di bumi, maka keluarkanlah ia, jika ia berada di tempat yang jauh, dekatkanlah ia, jika ia dekat, permudahkanlah ia.”

Doa ini secara keseluruhan merupakan permohonan agar dipermudahkan memperolehi rezeki dan ia termasuk dalam perkara atau permintaan yang diharuskan serta tiada masalah melakukannya.

Sungguhpun demikian, sebaik-baik perkataan untuk memohon doa kepada ALLAH SWT sebagaimana petunjuk daripada Rasulullah SAW iaitu berdoa dengan menggunakan lafaz al-jawami', yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat seumpama lafaz doa ini :

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَة وَفِي الْآخِرَة حَسَنَة وَقِنَا عَذَاب النَّار

Maksudnya : “Wahai tuhan kami kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhilah kami dari azab api neraka.”

Juga doa :

( اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ )

"Ya Allah cukupkanlah AKU dengan perkara-perkara halal dari yang haram, dan kayakan aku dengan kelebihanMu berbanding dari selainMu.” ( Hadis riwayat al-Tirmizi,dinilai Hasan oleh al-Albani )

Sudah pasti bila ALLAH SWT Yang Maha Kaya dan Rasulullah SAW yang merupakan kekasih-NYA menganjurkan doa-doa ini, maka sudah barang tentu juga itulah doa yang paling disukai di sisi-NYA, lantaran sesuatu kebaikan pada perhitungan kita tidak bermakna ia juga baik pada perkiraan Yang Maha Esa......Dan semoga rezeki yang melimpah, turut menjadikan ketaatan dan kebajikan kita bertambah 

Ambilan dr facebook Noraslina Jusin

Monday, April 2, 2012

5 Minit lagi yang menipu

Ia selalu terjadi pada kebanyakan orang. Secara jujur saya sendiri juga mengalaminya. Ia terjadi terutamanya ketika jam berbunyi untuk solat malam dan solat subuh. Setelah terjaga, kita selalu berkira-kira...tidur 5 minit lagi la. Dingin malam diiringi rasa mengantuk membuatkan kita sukar meninggalkan tempat tidur, mengambil wudhuk dan solat. Dan selalunya jika ada 'niat' lima minit lagi, ia jarang menjadi tepat. Selalunya ia menjadi terlebih setengah jam atau sejam kemudian atau tidak langsung.

5 minit yang menipu dan menyebabkan orang yang memasang 'niat' begitu selalu kerugian. Jadi hindarkan 'niat' 5 minit lagi atau setengah jam lagi.

Jika dibandingkan dengan nikmat '5 minit lagi' dengan solat malam yang tertunai..ia apalah sangat. Allah menjanjikan berbagai nikmat di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat untuk orang yang mnunaikan solat malam.


Di dalam al-Quran dan Hadis terdapat pelbagai sanjungan dan galakan supaya manusia mengejar fadhilat sembahyang malam, firman ALLAH Ta'ala:

" Dan di waktu malam bangkitlah sembahyang tahajjud sebagai sembahyang tambahan bagi ibadatmu semoga ALLAH membangkitkanmu di hari Akhirat dengan kedudukan dan darjat yang terpuji." - Al - Isra' (79). 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

facebook