Tuesday, March 20, 2012

Misteri Van Putih



SHAH ALAM: Misteri ‘van putih’ kini kembali apabila mangsa culik Nazatul Fadiana Mohd Izwan, 14, yang ditemui di Bangkok 11 Mac lalu, dikatakan diculik sekumpulan lelaki tidak dikenali menaiki van berwarna putih sewaktu berada berdekatan sebuah restoran di Seksyen 9, di sini pada hari kejadian 30 Januari lalu.

Perkara itu diceritakan mangsa kepada ibunya dalam perbualan telefon pada 12 Mac lalu selepas diselamatkan polis Thailand sewaktu ditemui di Stesen Kereta api Hualamphong, Bangkok, Thailand.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, apa yang diceritakan mangsa kepada ibunya belum cukup untuk polis mengaitkan kejadian berkenaan dengan motif sebenar mangsa dilarikan ke Thailand.

“Ini kerana buat masa ini polis belum mendapat sebarang maklumat daripada mangsa kerana dia masih dalam keadaan trauma dan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, semalam.

Sebelum ini, sebuah van putih turut dikaitkan dengan kejadian penculikan Nurin Jazlin Jazimin, 8, di pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos, 2007.

Ada saksi ternampak Nurin ditarik masuk ke dalam sebuah van sebelum mayat mangsa ditemui disumbat dalam beg berhampiran PJS1, Petaling Jaya, beberapa hari kemudian. Kejadian sama berulang apabila seorang lagi kanak-kanak perempuan, Sharlinie Mohd Nashar, 5, turut dilaporkan hilang pada awal Januari 2008 selepas didakwa dilihat bersama seorang suspek dalam sebuah van putih di Cheras. Mangsa gagal ditemui sehingga kini.

Zahedi berkata, Nazatul Fadiana atau lebih dikenali sebagai Nana akan terus mendapatkan rawatan di PPUM manakala lima warga Myanmar masing-masing tiga lelaki dan dua perempuan yang diselamatkan bersama mangsa kini masih berada di Bangkok, Thailand.

“Semua warga Myanmar terbabit berdaftar di bawah Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR). Mereka dibawa pulang ke Malaysia bagi membantu polis mengumpul bukti dan menjalankan siasatan menyeluruh,” katanya.

Menurutnya, Nana menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok dan tiba di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), di Sepang, dengan diiringi ibunya, selain beberapa pegawai polis dan imigresen Thailand, malam kelmarin.

“Sebaik mendarat, mangsa terus dikejarkan ke PPUM, Petaling Jaya untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya. Akhbar semalam melaporkan, Nazatul Fadiana dilaporkan hilang selepas dihantar ibunya ke perhentian bas di Seksyen 9, di sini bagi mengulang kaji pelajaran bersama rakannya, pada jam 3 petang, 30 Januari lalu.

Namun, sehingga malam hari kejadian, mangsa tidak pulang ke rumah sebelum ibunya membuat laporan polis di IPK Selangor. Selepas dua bulan dilaporkan hilang, mangsa diselamatkan polis Thailand yang menemuinya di Stesen Kereta Api Hua Lampong, Bangkok, bersama lima warga Myanmar, 11 Mac lalu.

Sumber : Harian Metro

Ia laporan yang menakutkan. Negara kita dah tak selamat. Semakin hari makin ramai anak-anak yang hilang. Ibubapa terpaksa bekerja kuat dari pagi hingga ke senja untuk meningkatkan taraf ekonomi dan menyediakan keselesaan pada keluarga. Tapi pada masa yang sama, keselamatan anak-anak yang ditinggalkan sangat merisaukan. Ada saja mata-mata manusia yang hatinya rosak mengintai untuk mencari peluang. Dengan rakusnya mereka meragut masa depan anak-anak yang hatinya masih suci.
Kepada anak-anak dan wanita, sebaiknya jika keluar rumah, biarlah ditemani mahrammu agar  keselamatanmu lebih terjamin.


Ya Allah, lindungilah kami.

Friday, March 9, 2012

Subhanallah, Anai-anai Kecil ini pun Tahu Kesucian Ayat Al-Quran


Kejadian ini berlaku di dalam rumah seorang muslim yang bernama En. Md Farooq penduduk Tappachabutra, Hyderabad. Al-quran yang beserta dengan terjemahan dalam bahasa Urdu yang telah berusia 100 tahun ini telah dimakan oleh anai-anai.

Apa yang ajaibnya anai-anai ini memakan semua termasuk terjemahannya tetapi tiada satu pun ayat Al-quran dalam bahasa Arab yang dimakan oleh anai-anai tersebut. Ini menunjukkan serangga lebih mengerti kesucian ayat suci Al-Quran daripada manusia yang membuang ayat Al-Quran di dalam stor tanpa faedah.


Rahsia Keajaiban Air Zam-Zam





Tidak banyak yang tahu bagaimana caranya telaga air zam-zam boleh mengeluarkan puluhan juta liter pada satu musim haji, tanpa pernah kering satu kali pun.

Seorang pengkaji pernah diperintahkan raja Faisal menyelidiki telaga air zam-zam untuk menjawab tuduhan kotor seorang doktor dari Mesir.

Berapa Juta Liter air zamzam?

Berapa banyak air zam-zam yang di ambil setiap musim haji?

Mari kita kira secara sederhana. Jamaah haji yang datang dari seluruh pelusok dunia pada setiap musim haji dewasa ini berjumlah kira-kira dua juta orang.

Semua jemaah diberi 5 liter air zam-zam ketika pulang ke tanah airnya. Kalau 2 juta orang membawa pulang masing-masing 5 liter zam-zam ke negaranya, itu sahaja sudah 10 juta liter.
Disamping itu sepanjang di Mekah, jika kebanyakan jamaah tinggal 25 hari, dan setiap orang menghabiskan 1 liter sehari, maka jumlahnya sudah 50 juta liter !!.

Keanehan air Zamzam

Pada tahun 1971, seorang doktor dari negeri Mesir mengatakan kepada akhbar di Eropah bahawa air Zamzam itu tidak sihat untuk diminum.

Perkiraannya didasarkan bahawa kota Mekah itu ada di bawah garis permukaan laut. Air Zamzam itu berasal dari air sisa buangan penduduk kota Mekah yang meresap, kemudian mendap terbawa bersama-sama air hujan dan keluar dari telaga air Zamzam. Masya Allah.

Berita ini sampai ke telinga Raja Faisal yang kemudian memerintahkan Menteri Pertanian dan Sumber Air untuk menyelidiki masalah ini, dan mengirimkan sampel air Zamzam ke Laboratorium-laboratorium di Eropah untuk diuji.

Tariq Hussain, jurutera kimia yang bekerja di Institut Pemurnian Air Laut untuk diminum, di Jedah, mendapat tugas menyelidikinya.

Pada masa memulai tugasnya, Tariq belum ada gambaran, bagaimana telaga air Zam Zam boleh menyimpan air yang begitu banyak seperti tidak ada hadnya.

Ketika sampai di dalam sumur, Tariq amat terkejut ketika menyaksikan bahawa ukuran “kolam” telaga itu hanya 18 x 14 feet saja (Kira-kira 5 x 4 meter).

Tidak terbayang, bagaimana caranya telaga sekecil ini boleh mengeluarkan jutaan galen air setiap musim hajinya. Dan itu berlaku sejak ribuan tahun yang lalu, sejak zaman Nabi Ibrahim AS.

Penyelidikan menunjukkan, mata air zamzam boleh mengeluarkan air sebanyak 11-18 liter air persaat.

Dengan demikian, setiap minit akan dihasilkan 660 liter air. Itulah yang mengejutkan.

Tariq mulai mengukur kedalaman air telaga. Dia minta pembantunya masuk ke dalam air. Ternyata air telaga itu hanya mencapai sedikit di atas bahu pembantunya yang tinggi tubuhnya 5 feet 8 inci.

Lalu dia menyuruh pembantunya untuk memeriksa, apakah mungkin ada cerukan atau saluran paip di dalamnya. Setelah memeriksa dari satu tempat ke tempat lainnya, ternyata tak ditemukan apapun!.

Dia berfikir, mungkin sahaja air telaga ini diambil dari luar melalui saluran pam berkapisiti besar. Bila seperti itu kejadiannya, maka dia boleh melihat turun-naiknya permukaan air secara tiba-tiba.

Tetapi dugaan ini pun tidak terbukti. Tidak ditemui gerakan air yang mencurigakan, juga tidak ditemuiada alat yang boleh mendatangkan air dalam jumlah besar.

Seterusnya, dia minta pembantunya masuk lagi ke dalam telaga. Lalu menyuruh berdiri, dan diam ditempat sambil mengamati sekelilingnya.

Perhatikan dengan sangat cermat, dan laporkan apa yang terjadi, sekecil apapun. Setelah melakukan proses ini dengan cermat, pembantunya tiba-tiba mengangkat kedua tangannya sambil berteriak:

“Alhamdulillah, Saya temuinya ! Pasir halus menari-nari di bawah telapak kakiku. Dan air itu keluar dari dasar telaga”.

Lalu pembantunya diminta berpusing mengelilingi telaga ketika tiba masa pengepaman air (untuk dialirkan ke tempat pendistribusian air) berlaku. Dia merasakan bahawa air yang keluar dari dasar telaga sama besarnya seperti sebelum tempoh pengepaman.

Aliran air yang keluar, besarnya sama di setiap titik, di semua kawasan. Ini menyebabkan permukaan telaga itu relatif stabil, tidak ada goncangan yang besar.

Mengandungi zat Anti Kuman

Hasil penyelidikansampel air di Eropah dan Arab Saudi menunjukkan bahawa air Zam zam mengandungi zat fluorida yang ada daya efektif membunuh kuman, sama seperti sudah mengandungi ubat.

Lalu perbezaan air Zam zam dibandingkan dengan air telaga lain di Mekah dan sekitar Arab adalah dalam hal kuantiti kalsium dan garam magnesium.

Kandungan kedua mineral itu sedikit lebih banyak pada air zamzam. Itu mungkin sebabnya air zamzam memberi kesan menyegarkan bagi jamaah yang keletihan.

Keistimewaan lain, komposisi dan rasa kandungan garamnya sentiasa stabil, sentiasa sama dari sejak terbentuknya telaga ini. “Rasanya” selalu terjaga, diakui oleh semua jemaah haji dan umrah yang selalu datang tiap tahun.

Boleh Menyembuhkan Penyakit

Nabi saw menjelaskan: ”Sesungguhnya, air Zam zam ini air yang sangat diberkahi, ia adalah makanan yang mengandung gizi”.

Nabi saw menambahkan: “Air zamzam bermanfaat untuk apa saja yang diniatkan ketika meminumnya.

Jika engkau minum dengan maksud agar sembuh dari penyakitmu, maka Allah menyembuhkannya.

Jika engkau minum dengan maksud supaya merasa kenyang, maka Allah mengenyangkan engkau.

Jika engkau meminumnya agar hilang rasa hausmu, maka Allah akan menghilangkan dahagamu itu. Ia adalah air tekanan tumit Jibril, minuman dari Allah untuk Ismail”. (HR Daruqutni, Ahmad, Ibnu Majah, dari Ibnu Abbas).

Rasulullah saw pernah mengambil air zamzam dalam sebuah kendi dan tempat air dari kulit, kemudian membawanya kembali ke Madinah. Air zamzam itu digunakan Rasulullah saw untuk memercikkan kepada orang sakit dan kemudian disuruh meminumnya.

Dalam penyelidikan ilmiah yang dilakukan di laboratorium Eropah, terbukti bahawa air zamzam memang lain. Kandungan airnya berbeza dengan telaga-telaga yang ada di sekitar Makah.

1. Kadar Kalsium dan garam Magnesiumnya lebih tinggi dibanding telaga lainnya, berkhasiat untuk menghilangkan rasa haus dan kesan penyembuhan.

2. Air Zam zam juga mengandungi zat fluorida yang berkhasiat memusnahkan kuman-kuman yang terdapat dalam kandungan airnya.

3. Yang juga menakjubkan adalah, tidak ada sedikit pun lumut di telaga ini. Air Zam zam sentiasa bebas dari kontaminasi kuman.

4. Anehnya lagi, pada masa semua telaga air di sekitar Mekah dalam keadaan kering, telaga air zam zam tetap berair. Dan air zam zam memang tidak pernah kering sepanjang zaman.


Beberapa ulama fiqah merncadangkan agar jamaah haji membawa air zamzam ketika pulang ke negaranya sebab air zamzam itu boleh sebagai ubat untuk suatu penyembuhan.

Ini terbukti, banyak jamaah dari negara umat Islam mahupun negara lain yang pernah merasakan keajaiban air zamzam

Wednesday, March 7, 2012

Fetih 1453


ANKARA - Sebuah filem baharu, Fetih 1453 yang mengisahkan penaklukan tentera kerajaan Uthmaniyah ke atas kota Constantinople pada abad ke-15 mendapat sambutan hebat di Turki.

Kira-kira 3.4 juta orang telah menonton filem tersebut sejak ia ditayangkan pada 16 Februari lalu.

Filem Fetih 1453 itu menelan kos AS$17 juta (RM51.4 juta).

Menurut agensi yang mengumpulkan jumlah kutipan tiket, Box Office Turkey, seramai 3.4 juta orang telah menyaksikan filem tersebut dalam tempoh dua minggu pertama ia ditayangkan.

Agensi itu meramalkan filem tersebut akan memecahkan rekod penonton yang dicatatkan oleh beberapa filem lain di negara ini.

"Ia bukan kali pertama filem yang bertemakan penaklukan Constantinople ditayangkan tetapi Fetih 1453 ialah filem pertama yang menjalani penggambaran di Turki dengan bajet besar," kata seorang kakitangan di pejabat akhbar filem tersebut, Filiz Ocal.

Filem arahan Faruk Aksoy itu mengisahkan penaklukan kota Constantinople oleh tentera pimpinan Sultan Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453 dengan menewaskan tentera empayar kerajaan Kristian Byzantine.

Pada permulaan filem yang berdurasi 160 minit itu, tertera hadis Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya ialah sebaik-baik tentera.

Constantinople kini dikenali sebagai Istanbul. - Agensi


Trailer filem Fetih 1453


Monday, March 5, 2012

Kisah orang yang sabar

Pak Ngah Hassan merupakan salah seorang penduduk kampung saya yang hidupnya melalui berbagai  ujian. Kami hanya memanggilnya Ngah San, singkatan daripada nama Pak Ngah Hasaan. Dia seorang yang peramah tapi tidak ada perkataan yang keluar dari mulutnya yang menyakitkan hati, tidak ada sindiran tajam mahupun perkataan yang kasar.

Ngah San mempunyai lima orang anak. Kehidupannya agak mewah, tapi pengakhirannya ia kelihatan biasa-biasa saja. Ini kerana Ngah San banyak mengeluarkan belanja untuk mengubat anaknya yang sakit dari usia 17 tahun hinggalah sekarang anaknya telah berusia 51 tahun. Anaknya yang ketiga ini beberapa kali hilang dari rumah kerana tidak begitu siuman, dipercayai terkena sihir. Berbagai ikhtiar dilakukan, tapi hingga sekarang anaknya tidak pernah sembuh.

Tidak berapa lama kemudian Ngah San ditimpa ujian lagi. Kali ini dia mengidap kencing manis dan sebahagian kakinya terpaksa dipotong. Hiduplah Ngah San dengan keluar masuk hospital selama lebih 20 tahun. Dunianya hanya rumah dan hospital, di samping menjaga anaknya yang tidak siuman.

Di samping itu, menantu pertamanya juga menghidap menyakit misteri. Ia bertukar menjadi kurang waras dan hilang keupayaan berkerja. Mujurlah dia masih dapat menjaga makan-minum anak-anaknya yang masih bersekolah.

Pada petang Jumaat 2 tahun lepas, kira-kira pada pukul 7.00 petang, kami mendapat berita Ngah San baru dikebumikan pada pukul 6.30 petang. Khabarnya Ngah San meninggal sebaik sahaja jemaah selesai mengerjakan solat Jumaat. Saudaranya yang terdekat memutuskan untuk mengebumikan Ngah San pada hari itu juga untuk mendapat fadhilat kematian pada hari Jumaat iaitu terlepas dari siksa kubur.

Anehnya, kami sekeluarga tidak mendapat berita kematian Ngah San, hanya selepas dikebumikan baru kami tahu. Walhal rumah kami letaknya tidak berapa jauh dari rumah Ngah San. Agaknya memang nasib kami tak dapat menziarahi Ngah San untuk kali terakhir.

Sunday, March 4, 2012

Abu Za'rin dan Ummu Za'rin


 Kisah 11 orang wanita yang berkumpul lalu membuka kisah suami masing-masing. Aisyah menceritakan kepada Rasulullah SAW yang bermaksud :

" Sebelas orang wanita telah bersepakat untuk menceritakan perihal suami mereka. Wanita pertama berkata: Suamiku seperti daging unta yang busuk yang berada di puncak bukit yang tinggi yang tidak dapat untuk didaki. Beliau tidak berlemak dan mudah untuk bergerak.

Wanita kedua berkata: Aku tidak boleh menceritakan mengenai suamiku. Aku takut dan aku tidak boleh memberitahu mengenainya. Sekiranya aku memberitahu mengenainya, bermakna aku membuka aibnya.

Wanita ketiga berkata: Suamiku telah membuat syarat, sekiranya aku bercerita, aku akan dicerai dan sekiranya aku diam, aku akan dikasihi.

Wanita ke empat berkata: Suamiku seperti cuaca di negeri Tihamah, tidak panas dan tidak sejuk (sederhana), tidak menakutkan dan tidak menjemukan.

Wanita kelima berkata: Suamiku, ketika memasuki rumah seperti seekor harimau bintang (kerana banyak tidur dan malas bertanya), tetapi apabila beliau keluar seperti seekor singa. Beliau tidak akan bertanya perkara-perkara yang bukan urusannya.

Wanita keenam berkata: Suamiku apabila makan, beliau akan menghabiskan makanannya. Sekiranya beliau minum, beliau akan menghabiskan minumannya. Sekiranya beliau tidur, beliau akan berselimut dan tidak memasukkan telapak tangannya kerana beliau tahu akan kesusahannya.

Wanita ketujuh berkata: Suamiku adalah seorang yang lemah syahwat. Walaupun telah berubat tetapi belum juga sembuh. Di samping itu beliau mudah menjatuhkan tangannya.

Wanita kelapan berkata: Suamiku berbau seperti bau Zarnab (sejenis bauan) dan sentuhannya selembut sentuhan seekor arnab.

Wanita kesembilan berkata: Suamiku berkedudukan tinggi, seorang yang berjaya, dermawan dan rumahnya berhampiran dengan tempat permainan.

Wanita kesepuluh berkata: Suamiku seorang pembesar dan banyak memiliki harta, sebahagian dari hartanya, beliau memiliki banyak unta. Sebahagian besar unta-untanya pula dibiarkan di halaman rumah, kerana itulah untanya yang hamil sedikit sahaja. Sekiranya unta-unta itu mendengar tiupan seruling mereka mengetahui bahawa mereka akan disembelih.

Wanita kesebelas berkata: Suamiku bernama Abu Zar'in. Tahukah kamu siapakah Abu Zar'in? Beliaulah yang memberikan aku anting-anting pada sepasang telingaku. Beliaulah yang memberiku makanan-makanan berzat sehingga aku kelihatan sihat. beliau suka memuji aku, beliau mengambil aku dari keluarga susah dan menjadikan aku salah seorang anggota keluarga yang kaya. Beliau tidak pernah mencaci aku, sehinggakan aku dapat tidur dengan nyenyak sampai ke pagi dan aku dapat minum dengan tenang.

Selepas itu bagaimana pula Ummu Abu Zar'in. Tahukah kamu siapa Ummu Abu Zar'in? Beliau memiliki harta simpanan dan rumahnya sangat luas. Maka bagaimana pula Ibnu Abu Zar'in.
Tahukah kamu siapakah Ibnu Abu Zar'in. Tempat tidurnya seperti pelepah tamar. Beliau merasa kenyang dengan makan sebelah kaki kambing.

Maka bagaimana pula Anak perempuan Abu Zar'in. Tahukah kamu siapakah anak perempuan Abu Zar'in beliau sangat mentaati kedua orang tuanya. Tubuhnya montel dan sering menasihati jirannya.
Maka bagaimana pula Jariah Abu Zar'in, tahukah kamu siapakah Jariah Abu Zar'in? Beliau tidak pernah menyebarkan rahsia kami dan sangat jujur sekalipun dalam soal makanan. Beliau Tidak pernah membiarkan rumahku kotor.

Setelah itu beliau berkata: Satu hari Abu Zar'in keluar dengan membawa satu bekas daripada kulit yang diisi dengan susu. Beliau bertemu dengan seorang wanita yang mempunyai dua orang anak. Kedua anaknya itu seperti dua ekor harimau kumbang. Mereka bermain dengan dua biji buah delima di bawah pinggang ibunya. Maka beliau mencerai aku dan mengahwini wanita itu.

Setelah itu aku berkahwin dengan seorang lelaki yang baik dan kaya. Tunggangannya adalah seekor kuda terpilih. Beliau membawa aku ke kandang yang penuh dengan binatang ternakan. Kemudian dia berkata: Makanlah wahai Ummu Zar'in dan berehatlah supaya hilang penat lelah. Beliau berkata: Sekiranya aku kumpulkan pemberiannya dengan pemberian Abu Zar'in, nescaya pemberiannya tidak akan sama dengan pemberian Abu Zar'in yang paling sedikit.

Aisyah r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda kepadaku: "Perhubungan aku denganmu seperti Abu Zar'in dengan Ummu Zar'in."
dari facebook : Noraslina Jusin
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

facebook