Monday, February 20, 2012

Awas: perkara yang merosakkan Iman


Perkara-perkara yang menyebabkan rosaknya Iman dan Islam itu terbahagi kepada tiga bahagian:

Pertama: I’tiqad kepercayaan yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam, iaitu;
1)      I’tiqad bahawa alam ini qadim,tidak ada penciptanya atau alam ini kekal selama-lamanya.

2)      I’tiqad bahawa pencipta alam ini baru atau menyerupai mana-mana makhluk atau bersifat dengan sifat-sifat baharu ataupun mempunyai anak isteri atau berbilang-bilang ataupun menerima mati.

3)      I’tiqad menafikan kebenaran apa yang disampaikan  oleh Rasulullah S.A.W atau I’tiqad bahawa Nabi Muhammad yang sebenar ialah yang disebutkan Muhammad yang batin bukan Muhammad yang zahir atau I’tiqad bahawa kerasulan Nabi Muhammad S.A.W untuk orang-orang Arab sahaja atau I’tiqad bahawa hukum-hukum Islam yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W adalah hukum yang lapuk yang tidak sesuai dengan keadaan zaman atau I’tiqad mengingkari mana-mana rasul Tuhan atau I’tiqad bahawa ada lagi nabi dan rasul selepas Nabi Muhammad S.A.W yang diutuskan Allah swt membawa Syariat.

4)      I’tiqad bahawa tidak ada dosa dan pahala,tidak ada Syurga dan Neraka,tidak ada bangkit hidup semula sesudah mati,tidak ada Hari Kiamat dan segala perkara yang berlaku  padanya.

5)      I’tiqad bahawa roh orang mati berpindah dari satu tubuh ke tubuh yang lain.

6)      I’tiqad agama kafir lebih baik dari agama Islam.

7)      Perasaan ragu-ragu terhadap mana-mana satu daripada perkara di atas.

8)      Berbalik-balik hati di antara hendak menjadi kafir atau tidak. Atau bercita-cita hendak menjadi kafir pada masa yang akan datang.


Kedua: Perkataan.

Iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci atau menghina,merendahkan,mengejek-ngejek dan mempermainkan nama Allah swt, sifat-sifat-Nya,malaikat-malaikat-Nya, hukum-hukum-Nya,ayat-ayat-Nya serta hukum-hukum yang diterangkan oleh rasul-Nya.
Juga perkataan yang menolak, menafi dan mengingkari segala perkara yang sekata alim ulama’ mensabitkannya atau menafikannya, serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkataan itu dari agama.

Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam:

1)      “Hukum apa ini?”

2)      “Hukum ini sudah lapuk.”

3)      “Zaman sekarang tak patut mengharamkan riba kerana menghalang kemajuan.”

4)      “Dalam zaman yang serba maju ini kaum wanita tak perlu berbungkus-bungkus.”

5)      “Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya.”

6)      “Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadah apa salahnya?”

7)      “Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung rugi apa salahnya?”

8)      “Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam sampai kiamat kita tidak akan maju.”

9)      Berkata: “Perbuatan demikian tidak beradab” - apabila diceritakan bahawa Nabi 
Muhammad S.A.W menjilat sisa makanan di jarinya selepas makan.

10)  Berkata “Aku tidak mahu memotong kuku walaupun sunat” - apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunat.

11)   Berkata: “Si anu sudah menyalak” - semasa ia mendengar azan.

12)  Membaca ayat-ayat suci al-Quran, hadis-hadis Nabi Muhammad dan nama-nama Allah swt dengan cara mempersendakan dan mempermain-mainkannya.

13)  Kata-kata mengkafirkan orang Islam, padahal orang itu tidak diyakini ada padanya sebab untuk menjadikannya kafir, sebagaimana yang diterangkan oleh hadis Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

14)  Kata-kata yang menggantungkan jadi kafir dengan sesuatu keadaan, misalnya:

                             i.     Seseorang dituduh melakukan sesuatu perkara, lalu ia berkata: “Kalau aku lakukan perkara itu maka jadilah aku kafir.” Sekiranya ia berdusta, yakni ia sebenarnya telah melakukan perkara tersebut,maka jadilah ia kafir, kecuali kata-katanya itu dituturkan dengan tujuan hendak melepaskan diri daripada tuduhan itu sahaja, bukan redha menjadi lafir.
Sungguhpun demikian, ia telah menjadi dosa besar dengan kata-kata tersebut. Dan sekiranya ia benar, yakni tidak melakukan perkara tersebut, tidaklah ia menjadi kafir,tetapi ia berdosa kerana perkataannya itu memberi erti ketiadaan tetap keazamannya  berpegang teguh kepada agama Islam.

                           ii.     Seseorang diingatkan supaya jangan berzina umpamanya lalu ia berkata “Kalau aku berzina maka kafirlah aku”.  Sekiranya kata-kata itu dilemparkan dengan tujuan tidak redha mencemarkan dirinya dengan perbuatan berzina seperti tidak redha menjerumuskan dirinya menjadi kafir maka tidaklah ia menjadi kafir. Tetapi ia berdosa dengan menggunakan perkataan tersebut dengan alasan tersebut, dan sekiranya kata-katanya itu dituturkan dengan tujuan redha menjadi kafir kalau ia melakukan zina,maka ia menjadi kafir. Kerana apabila seseorang Islam redhakan kufur, ia kafir [murtad]. Wal‘iyaazu billah.

Ketiga: Perbuatan

1)   Tiap-tiap perbuatan yang dilakukan  untuk menghormati dan mengagungkan mana-mana makhluk dengan cara yang ditentukan hanya untuk membesar dan mengagungkan Allah swt, seperi sujud kepada makhluk walaupun dengan niat tidak menghormatinya sama seperti Tuhan, atau tunduknya kepada mana-mana makhluk sehingga sampai kepada had sekurang-kurangnya ruku’ sembahyang  dengan tujuan menghormatinya sama seperti Allah swt. Kalau bukan dengan tujuan tersebut ia tidak menjadi murtad tetapi hukumnya tetap haram.

2)   Melakukan upacara ibadat terhadap sesuatu makhluk yang disembah oleh orang-orang kafir menurut upacara yang mereka lakukan.

3)   Melakukan mana-mana cara ibadat terhadap yang lain dari Allah Azza Wajalla.

4)   Meletakkan ayat-ayat suci, hadis-hadis, nama-nama Tuhan , Rasul-rasul,Malaikat-malaikat, ilmu agama di tempat yang kotor  dengan tujuan menghina, kalau tidak dengan tujuan tersebut ia tetap HARAM. Demikian juga haramnya menggunakan kertas-kertas yang megandungi  ayat-ayat suci, hadis-hadis, nama-nama Tuhan, rasul-rasul, malaikat-malaikat dan ilmu agama untuk membungkus dan mengesat serta menyapu sesuatu. Kalau dengan tujuan mempersenda maka orang tersebut menjadi murtad.

5)   Meninggalkan sembahyang
Orang yang meninggalkan sembahyang fardhu jika ia ingkar wajibnya, jadilah ia kafir keluar dari agama Islam, kerana ia mengingkari satu daripada perkara yang memang diketahui oleh orang ramai bahawa perkara tersebut adalah wajib atas setiap orang-orang Islam yang sihat akalnya dan cukup syaratnya.
Kalau ditinggalkan dengan sebab malas sahaja, padahal ia I’tiqadkan wajibnya, maka mengenai orang ini, alim ulama berselisih kepada tiga pendapat:

                             I.     Orang itu tidak menjadi kafir tetapi ia menjadi fasik yang wajib atas pihak berkuasa bertindak menyuruhnya bertaubat kembali mengerjakan sembahyang, dan sekiranya ia tidak mahu melakukan taubat, maka kenalah dilakukan ke atasnya ‘hukuman had’ iaitu dibunuh dengan pedang.

                          II.     Orang itu menjadi kafir juga, sama seperti dengan keadaan yang mengingkari wajibnya.

                        III.     Orang itu tidak menjadi kafir dan tidak pula dibunuh, tetapi dita’zirkan dengan dipenjarakan sehingga ia megerjakan sembahyang.

         Dengan keterangan yang tersebut hendaklah diingatkan bahawa seseorang yang cintakan keselamatan  dan kebahagiaan dirinya dan agamanya, jangan sesekali mendekati, apalagi melakukan perkara yang hukumnya berkisar di antara murtad dan dosa besar. Semoga Allah swt selamatkan kita dengan Taufiq dan Hidayah-nya.


Petikan dari Kitab “Mestika Hadis Rasulullah SAW”, Jilid 1, Bab 7. Keluaran JAKIM
Sumber : Abu Anas Madani

No comments:

Post a Comment

Terimakasih kerana meninggalkan komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

facebook