Tuesday, January 3, 2012

Aku dan Al-Quran


Saya pernah berfikir, dalam adik-beradik saya seramai 5 orang, berapa orangkah di antara kami yang boleh membaca Al-Quran dengan lancar beserta sebutan makhraj dan tajwid yang betul. Rupanya saya kira hanya ada 2 orang daripada kami berlima.

Saya dan adik perempuan saya mendapat pendidikan dari sekolah menengah agama di negeri Kedah.  Hanya kami berdua yang dapat membaca Al-Quran dengan lancar kerana di sekolah menengah tersebut kami wajib mempelajari pelajaran Tajwid dan Tilawah Al-Quran. 

Sejak meninggalkan sekolah menengah agama,  saya melanjutkan pelajaran dalam bidang IT di universiti tempatan. Ianya sama sekali tiada subjek berkaitan Al-Quran dan Sunnah. Saya sedaya upaya cuba mengekalkan berdamping dengan Al-Quran dan Alhamdulillah hampir setiap tahun saya khatam membaca Al-Quran.

Namun, ianya sekadar membaca, waktu itu saya tidak terfikir untuk mendalami tafsir Al-Quran. Ia semata-mata sekadar membaca. Selepas tamat pengajian dan mula bekerja, saya mula membaca tafsir al-quran setiap hari. 

Namun, beberapa tahun yang berlalu itu, kehidupan saya agak melalaikan juga. Ampunkan aku ya Allah. Saya hanya melakukan yang wajib-wajib dalam sekadarnya sahaja.

Itu  cerita silam saya tentang Al-Quran. Kini, sejak setahun dua yang berlalu saya semakin dekat dengan Al-Quran. Saya memperhalusi bacaan, menterjemahkan setiap ayat, menghafal dan melaksanakan apa yang terkandung di dalamnya. Ada satu nikmat yang tidak dapat digambarkan. 

Ada kesalan di dalam hati, kenapa sewaktu menginjak remaja saya tidak begitu kasihkan Al-Quran. Benarkah aku beriman dengan kitab Allah, sedangkan aku hanya sekadar membaca tetapi tidak tahu apa isinya serta tidak cuba mengamalkannya? Al-Quran adalah mukjizat paling agung yang Allah turunkan pada hambanya. 

Saya hanya mempunyai 2 orang anak. Jika diizinkan Allah, saya mahukan anak-anak saya mendalami Al-Quran, mengamalkan isinya dan menghafal ayat-ayat di dalamnya. Aku mohon pertolongan-Mu ya Allah.Rahmatilah kehidupan anak-anakku, kurniakanlah mereka hidayah dan lorongkan hati mereka untuk menjadi hamba-Mu yang solehah. Amin



2 comments:

  1. itulah yang saya rasakan sekarang ini.

    ReplyDelete
  2. suka baca info dalam ni... saya copy juga utk di blog saya..semoga pahala dapat dijana lagi...

    ReplyDelete

Terimakasih kerana meninggalkan komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

facebook