Monday, November 14, 2011

Majlis persandingan adalah haram


Mengapa masyarakat masih memandang ringan 'persandingan pengantin' sedangkan perihal ini sudah dijelaskan oleh para ulama bahawa ia adalah haram?

Sehingga ke hari ini kita masih dapat melihat banyak pasangan pengantin yang dihias-hias melampaui batasnya serta disandingkan di pelamin yang gah. Berstatuskan 'Raja Sehari' tidak memberi lesen kepada pasangan untuk bebas melakukan kemungkaran.

Hari ini ramai yang beralasan, "Ah! Tak mengapa satu hari ja!". Akan tetapi ingatlah bagi sang isteri yang dipertontonkan kepada ratusan atau mungkin ribuan orang, apatah lagi jika terdedah auratnya atau dia berpakaian tetapi seperti telanjang, maka bertambah-tambahlah dosa kedua-duanya.

Mengadakan walimatul urus adalah sunnah. Sangat dituntut di dalam masyarakat Islam. Akan tetapi hilanglah keberkatannya apabila dicampur adukkan dengan maksiat bersamanya.
Adat merenjis pula menghampiri daerah khurafat kerana perlulah diketahui asal usulnya adalah kerana mencari keberkatan sebagaimana amalan masyarakat Hindu. Perihal sebegini membuatkan pelakunya menghampiri kepada syirik jika tidak diperbetulkan niatnya.

Konsep persandingan hari ini juga tidak dapat lari dari bertunjangkan 'kemegahan'. Wang ringgit puluhan ribu menjadi kertas-kertas kosong yang dibuang begitu sahaja semata-mata untuk menjayakan persandingan ini. Akhirnya, ramai yang kecundang ke dalam lubuk hutang sehinggakan anaknya sudah besar pun masih belum habis lagi hutangnya.

Inilah pembaziran yang sangat popular pada masa ini! Anak gadis moden hari ini juga ada yang bertuhankan hawa nafsu sehingga membiarkan nafsunya memandu akalnya. Hendak dikatakan jahil, mereka berpendidikan tinggi. Tetapi inilah akibat tidak hidup bersama Islam, tidak tidur bersama Islam dan tidak bangun bersama Islam.

Syeikh Abdullah bin Jibrin (bekas anggota ulama' senior) pernah menyatakan: “Tidak boleh pengantin lelaki dan perempuan disandingkan di depan kaum perempuan sebab demikian itu termasuk bukti hilangnya rasa malu dan mengikut tradisi orang-orang jahil serta jahat, dan sewajarnya pengantin itu malu menampakkan diri di depan orang ramai, bagaimana dengan duduk bersanding di tengah-tengah kaum wanita, apa tidak lebih malu lagi?”

 Adapun persandingan yang dibenarkan adalah jika dilakukan di hadapan mahram serta bersederhana, tiada unsur riak dan bongkak. Hukum wajib menghadiri jemputan walimah juga gugur sekiranya majlis walimah terdapat unsur kemaksiatan.

(artikel ini diperolehi dari fb. Pemiliknya saya tidak pasti, semoga penulis mengizinkan untuk menyebarkan ilmunya.Saya meyalin semula di sini untuk tujuan amal makruf nahi mungkar )

~sebarkan ilmu~

No comments:

Post a Comment

Terimakasih kerana meninggalkan komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

facebook