Sunday, October 23, 2011

Darjah satu VS tahun satu

Sampai saja di sekolah petang ini untuk mengambil anak, hujan mula turun dengan lebatnya. Kilat mula memancar. Dalam hati berdoa supaya biarlah hujan berhenti seketika supaya semua anak-anak sekolah yang belajar di sesi petang dapat sampai ke rumah dengan selamatnya.

Tamat sesi petang pada 6.30 petang, anak-anak sekolah yang belajar dari tahun 1 hingga tahun 3 mula keluar meninggalkan perkarangan sekolah, namun hujan masih lagi lebat biar pun petir sudah mula reda. Kebanyakan murid tidak menghiraukan sangat keadaan hujan yang lebat. Sebahagiannya kelihatan seakan gembira. Namun agak kasihan juha melihatkan keadaan kebanyakan murid basah kuyup dek tempias hujan. Mungkinkah mereka akan ke sekolah semula esok. Ianya terjadi pada anak-anak saya keesokannya. Mereka hampir demam.

Tahun 1975
Abang saya waktu itu tingkatan 2, saya pula darjah satu. Oleh kerana abang sekolah sesi petang di bandar, kebanyakan perjalanan saya ke sekolah di waktu pagi dihantar abang. Saya akan membonceng basikal tua ayah yang dikayuh abang. Waktu itu musim hujan, jalan yang tidak berturap kelihatan becak dan sangat menyukarkan perjalanan ke sekolah yang lebih kurang 4 kilometer. Perjalanan ke sekolah kadang-kadang tersekat-sekat. Sesekali saya terpaksa berjalan kali separuh jalan kerana berbasikal boleh menyebabkan tergelincir dan mungkin mengakibatkan kecederaan.

Selalunya abang akan menghantar saya hingga perkarangan sekolah, kemudian dia berpatah balik ke rumah. Ada beberapa kali bila hujan lebat, bilik darjah dimasuki air hingga paras atas buku lali, kami diarahkan membuka kasut. Kami berkaki ayam. Sesi persekolahan diteruskan walaupun dalam keadaan yang sangat tidak selesa. Dalam keadaan dingin pagi yang mencengkam, air lumpur di bawah meja dan kerusi, pembelajaran diteruskan walaupun kami anak-anak kampung waktu itu tidak kenal lagi apa itu cita-cita.

Kadang-kadang bila hujan sangat lebat, air akan naik hingga ke paras betis di dalam bilik darjah. Ada satu ketika, sekolah lambat memberi arahan untuk menutup sekolah pada hari itu. Abang mungkin dah sampai ke rumah selepas menghantar saya ke sekolah. Murid-murid semua dah balik, saya masih lagi keseorangan menunggu di tepi jalan dekat sekolah, kalau-kalau abang atau ayah tahu sekolah ditutup hari itu.

Setelah lama menunggu, hati menjadi jenuh, kebosanan dan kebimbangan mula menyapa, saya mengambil keputusan untuk berjalan kaki balik ke rumah seorang diri. Sampai di rumah kaki seakan mau tercabut, dahaga yang maksima serta bahu yang perit menjinjing beg berat berbatu-batu.

Belajar Darjah Satu ketika itu, rutinnya memang begitu terutama bila hujan lebat.

Demikianlah sukarnya mencari ilmu bagi seorang budak kampung di tahun 70an.



No comments:

Post a Comment

Terimakasih kerana meninggalkan komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

facebook