Monday, July 25, 2011

Menilai tahap dan kedudukan puasa kita

Bulan Ramadhan atau bulan puasa juga dikenali sebagai 'Shahrul Ibadah' (bulan ibadah). Setiap amalan baik dalam bulan Ramadhan akan digandakan pahalanya10 hingga 700 kali ganda. Ada yang mengatakan gandaan pahalanya adalah infiniti. Pasti ramai yang berazam memperbanyakkan Ibadah di bulan ini. Di dalam bulan Ramadhan inilah Allah mengurniakan Malam Lailatulqadar hanya untuk umat Nabi Muhammad SAW yang ganjaran pahala amalannya melebihi 1000 bulan. Rugilah bagi sesiapa yang tidak mengindahkan kedatangan Ramadhan kerana kita tidak pasti akan bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun depan.

Dalam melakukan persediaan untuk beribadah dalam bulan Ramadhan, marilah kita teliti tahap dan kedudukan puasa kita supaya Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang terbaik dalam hidup kita selama ini. Iman Al-Ghazali di dalam kitab Ihya' Ulumuddin telah mengkategorikan puasa kepada 3 peringkat:

1. Puasa Umum
Berpuasa setakat menahan lapar dan perkara yang membatalkan sahaja tanpa menjaga perkara-perkara yang boleh membawa hilangnya pahala puasa. Tidak menjaga mata, mulut, pemarah, tidak sabar, dan sebagainya. Rasulullah SAW mengingatkan dalam hadisnya yang bermaksud
"Ramai yang berpuasa tetapi tiada yang diperolehinya selain lapar dan dahaga sahaja (tanpa mendapat pahala)".

2. Puasa Khusus
Berpuasa disertakan dengan menjaga penglihatan, pendengaran, lidah, kaki dan tangan serta seluruh anggota dari melakukan perkara haram dan dosa termasuk perkara-perkara makruh. Allah menjanjikan pengampunan dosa yang telah lalu.

3. Puasa Khususul Khusus
Adalah puasa gologan Anbiya' (para nabi), orang-orang soleh yang mempunyai makam (kedudukan) yang tinggi di dalam keimanan dan keislaman. Kumpulan  yang berpuasa sebegini, mereka berpuasa zahir dan batin bukan sahaja menjaga puasa mereka daripada batal dan makruh tetapi memesongkan hati dan perhatian mereka daripada perkara-perkara yang bersangkutan dengan hal keduniaan. Tumpuan mereka semata-mata beribadat kepada Allah Azza wa Jalla untuk mendapat keredhaan-Nya.

Jom kita berusaha mempertingkatkan ibadah puasa kita. Walaupun mungkin sukar untuk kita mencapai ibadah puasa Khususul Khusus, tapi sekurang-kurangnya kita mencapai ibadah Khusus. Semoga Allah mengampuni kita.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih kerana meninggalkan komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

facebook