Tuesday, June 14, 2011

Gerhana bulan penuh malam ini (khamis 16 Jun 2011)

Fenomena Gerhana Bulan Penuh, Khamis Ini
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan sepenuhnya antara pukul 1.25 pagi sehingga 6.59 pagi pada Khamis ini (16 Jun).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Othman Mustapha berkata sehubungan itu semua masjid dan surau disaran mengadakan solat sunat kusuf berserta khutbah gerhana.

"Ibadah sunat ini seharusnya dapat ditunaikan sebaik mungkin kerana fenomena ini jarang-jarang berlaku," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Othman berkata masjid-masjid utama seperti Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra di Putrajaya akan menganjurkan solat sunat khusuf pada pukul 3 pagi.

Selain itu, aktiviti cerapan akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya dengan kerjasama agensi luar iaitu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). (Bernama)

Apabila gerhana bulan berlaku, semua bahagian bumi yang mengalami  malam akan dapat melihat berlakunya gerhana ini.

Dalam fasa bulan gerhana sepenuhnya, bulan akan kelihatan lebih gelap dan menjadi jingga sebelum ia kembali kepada keadaan asal. Ini adalah kerana kesan penapisan dan pemecahan semula cahaya matahari di atmosfera bumi, yang menyebabkan bulan tidak gelap sepenuhnya sewaktu gerhana. Bulan akan berwarna coklat gelap, bertukar merah, jingga muda dan kuning pada waktu ini.

Gerhana bulan sepenuhnya dapat dilihat di timur Afrika, Timur Tengah, Asia dan bahagian barat Australia. Manakala bahagian selain itu tidak dapat melihat permulaan  dan akhir gerhana.

Cara sembahyang gerhana bulan:
Niat solat : Usolli sunnatal kusuf raka'taini lillahi ta'ala
                 (sahaja aku solat sunat gerhana bulan 2 rakaat kerana Allah Ta'ala)

Daripada Aisyah r.a. diriwayatkan bahawa beliau berkata


"Matahari telah gerhana pada zaman Rasulullah SAW, maka Rasulullah SAW pun bersolat bersama orang ramai. Beliau berdiri dan telah memanjangkan berdirinya, kemudian ruku' dan memanjangkan ruku'nya, kemudian berdiri kurang dari berdirinya yang pertama, kemudian ruku' dan memanjangkan ruku' tetapi kurang dari ruku' yang pertama, kemudian sujud dan memanjangkan sujudnya.


Kemudian pada rakaat yang kedua baginda melakukan seperti apa yang baginda lakukan pada raka'at pertama. Kemudian baginda berpaling, di mana gerhana telah berakhir, dan berkhutbah, memuji Allah, kemudian bersabda: "Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan 2 tanda daripada tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidak gerhana disebabkan kematian seseorang ataupun disebabkan kehidupannya.  Apabila kamu melihat yang demikian, maka berdoalah kepada Allah, bertakbir, berselawat dan bersedekah.


Kemudian baginda bersabda: Wahai umat Muhammad, demi Allah, tidak ada yang lebih cemburu daripada Allah jika ada di antara hamba lelaki atau hamba perempuan berzina. Wahai umat Muhammad, jika kamu ketahui apa yang aku ketahui. nescaya kamu tertawa sedikit dan menangis banyak."

Gerhana matahari dan gerhana bulan cara solatnya sama, sepertimana dijelaskan dalam hadis di atas, iaitu 2 rakaat.

Setiap rakaat 2 kali ruku', jadi semuanya 4 kali ruku'.

Rakaat Pertama
Pada qiyam (berdiri) pertama, selepas Fatihah, baca surah al-Baqarah kemudian ruku'.
Pada qiyam kedua baca Fatihah dan surah Ali-Imran, kemudian ruku'

Rakaat kedua
Pada qiyam ketiga baca Fatihah dan dan surah an-Nisa kemudian ruku'
Pada  qiyam keempat baca Fatihah dan surah al-Maidah.

Tujuan membaca surah-surah yang panjang ialah supaya kita sentiasa berada dalam solat sehingga waktu gerhana berakhir.

Bagi yang tidak mampu atau tidak hafal, boleh membaca surah-surah yang pendek, bahkan jika seseorang itu hanya membaca Fatihah sahaja dalam setiap qiyam, solatnya tetap sah.

Nota: Gerhana Bulan dipanggil kusuf
          Gerhana Matahari dipanggil khusuf

No comments:

Post a Comment

Terimakasih kerana meninggalkan komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

facebook