Thursday, June 30, 2011

Keajaiban sedekah

Baru-baru ni sewaktu nak kesekolah, anak kak melur (km) complain, katanya kawan sebelahnya tiap-tiap hari pinjam pensilnya. Dia (kawannya) ada pensil tapi macam orang takde pensil, rungutnya.


"Apa salahnya kakak pinjamkan pensil kakak kat dia?...kalau dia nak pinjam tiap-tiap hari pun, bagi je lah. Kakak kan banyak pensil, anggap je kakak bersedekah kat dia. Setiap huruf yang dia tulis menggunakan pensil kakak tu umpama sedekah kakak pada dia. Sedekah ni pahalanya sangat hebat" km cuba memujuknya.

"betul ke bu?"

"Ya, cuba dengar cerita ni yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW" km pun mula bercerita tentang cerita  "Saidina Ali dan sepuluh buah delima"



Dikisahkan oleh Ka’ab bin Akhbar.
Ketika Siti Fatimah Az Zahra, Puteri Rasulullah SAW, yang juga isteri kepada Sayidina Ali bin Abi Thalib sakit, ia ditanya oleh Sayidina Ali,  ” Wahai Fatimah, adakah engkau menginginkan sesuatu?”
“Wahai Suamiku, aku ingin sekali buah delima”, Jawabnya.

Sayidina Ali termenung, ia tidak memiliki wang sedikitpun. Namun, ia segera berangkat dan berusaha untuk mencari wang satu dirham untuk mendapatkan buah delima yang diinginkan isterinya itu. Akhirnya Sayidina Ali mendapatkan wang itu dan kemudian ia pergi ke pasar untuk membeli buah delima dan segera kembali pulang.
Namun di tengah perjalanan menuju rumahnya, tiba-tiba ia melihat seseorang yang tengah terbaring sakit di tepi jalan, maka Sayidina Ali pun berhenti dan menghampirinya.

“Wahai orang tua, apa yang diingini oleh hatimu?”, tanya Sayidina Ali.
“Wahai Ali, sudah lima hari aku terbaring sakit di tempat ini, banyak orang berlalu, namun tak ada seorang pun dari mereka yang bertanya tentangku. Aku ingin sekali makan buah delima. Jika aku makan buah delima, rasanya sakitku bertambah baik” Jawab orang tua tersebut.

Mendengar jawabannya, Sayidina Ali terdiam, sambil berkata dalam hati,

“Buah delima yang hanya satu buah ini, sengaja telah aku beli untuk Isteriku, kalau aku berikan kepada orang ini, pasti Fatimah akan sedih. Namun jika tidak aku berikan ertinya aku tidak menepati firman Allah,
“Terhadap si pengemis, engkau janganlah menghardiknya. ” (QS. Al-Dhuha : 10).

Juga sabda Nabi SAW, ” janganlah sekali-kali engkau menolak pengemis, sekalipun ia di atas kenderaan”.
Maka kemudian Sayidina Ali membelah buah delima itu menjadi dua bahagian, separuh untuk orang tua itu dan separuh lagi untuk Siti Fatimah. Selepas makan buah delima yang separuh itu, orang yang sakit itu berkata "Sakitku ini telah baik, namun jika aku makan separuh lagi, nescaya aku boleh berjalan dan bekerja. Mendengar kata-kata lelaki itu, Saidina Ali pun memberi separuh lagi delima itu.

Sesampai di rumah ia menceritakan peristiwa itu kepada Isterinya, dan Siti Fatimah berkata kepadanya,
“Wahai Suamiku, kenapa engkau bersedih, demi Allah yang maha Perkasa dan Maha Agung, ketika engkau memberikan buah delima kepada orang tua itu, maka puaslah hatiku dan lenyaplah keinginanku pada buah delima itu.”

Mendengar kenyataan Isterinya itu Sayidina Ali merasa sangat gembira.
Tidak lama kemudian datanglah seorang tamu yang mengetuk pintu, lalu Sayidina Ali berkata, “Siapakah tuan?”

“Aku Salman Al Farisi,” Jawab orang yang mengetuk pintu itu.
Setelah pintu dibuka, Sayidina Ali melihat Salman membawa sebuah wadah tertutup, dan diletakkkan di depan Sayidina Ali, lalu Sayidina Ali bertanya,

“Dari manakah wadah ini wahai Salman ?”.
“Aku menghantarkannya untukmu dari Allah SWT melalui perantaraan Rasulullah SAW.” Jawabnya.
Setelah penutup wadah tersebut dibuka, terlihat di dalamnya ada Sembilan buah delima. Sayidina Ali terus berkata,

“Wahai Salman, jika ini memang untukku, pasti jumlahnya Sepuluh”.
Lalu ia membacakan firman Allah SWT,
“Barangsiapa membuat satu amal kebaikan, maka pasti baginya sepuluh kali ganda amalnya ( balasannya )”. ( Al-An’am : 160 )

Salman pun tertawa mendengarnya, sambil mengembalikan sebuah Delima yang ada ditangannya, seraya berkata,
“Wahai Ali, demi Allah, aku hanya sekadar menguji sejauh mana KEYAKINANMU terhadap firman Allah yang engkau bacakan sebentar tadi.”

Adakalanya, Allah SWT  membalas amal sedekah kita bukan dalam bentuk harta dan wang ringgit, tapi dikurniakan kehidupan yang sejahtera dan penuh berkah, anak-anak yang bijak, soleh dan solehah, kesihatan yang baik, keperluan yang mencukupi atau sesuatu yang di luar jangkauan pemikiran kita. Ada masanya Allah simpan amalan sedekah kita sebagai pahala akhirat. Sedekah yang ikhlas kerana Allah, sangat tinggi nilainya di sisi Allah.


Surah al-Baqarah ayat 261 adalah antara ayat suci al-Quran yang popular dalam membuktikan kelebihan bagi mereka yang bersedekah. Allah berfirman yang bermaksud: Perumpamaan nafkah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir dan daripada setiap butir, tumbuh pula 100 butir benih. Allah melipatgandakan ganjaran bagi sesiapa yang yang dikehendakinya. Allah Maha Luas Kurnianya lagi Maha Mengetahui.

Wednesday, June 22, 2011

Lebih hina dari air kencing anjing hitam.

Meninggalkan solat adalah satu dosa besar. Ada satu kisah pada zaman Nabi Musa AS mengenai penghinaan Allah bagi mereka yang meninggalkan solat.

Ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga tetapi tidak mempunyai anak. Lelaki tersebut sangat mengimpikan kehadiran seorang anak dalam rumahtangga mereka. Pada suatu hari, terdetik dihatinya bernazar, jika dia mempunyai anak, dia akan minum air kencing anjing hitam.

Dengan izin Allah isterinya hamil. Selepas isterinya melahirkan anak, dia teringat tentang nazarnya akan minum air kencing anjing hitam jika mempuyai anak. Beliau merasa runsing dengan nazarnya.

Pada zaman nabi Musa AS, syariatnya berbeza dengan syariat pada zaman Nabi Muhammad SAW. Jika umat nabi Muhammad SAW, sekiranya kita bernazar dengan sesuatu yang haram, ia tidak perlu dilaksanakan.Kita perlu menggantikannya dengan denda atau kifarah. Berbeza dengan zaman Nabi Musa AS, sekiranya bernazar dengan sesuatu yang haram, ia tetap perlu dilaksanakan.

Dengan susah hati, lelaki yang sudah mempunyai anak ini pergi berjumpa dengan Nabi Musa AS untuk mengadukan halnya. Dia bercerita kepada baginda tentang nazarnya yang akan meminum air kencing anjing hitam.

Nabi Musa AS lalu mengatakan dia tidak perlu minum air kencing anjing hitam, sebaliknya menggantikan dengan meminum air yang lebih hina dari itu. Baginda lalu memerintahkan lelaki itu menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan meminum air itu. Lelaki itu dengan senang hati menjalankan perintah Nabi Musa AS.
~ * ~

Bayangkan betapa hinanya orang yang meninggalkan solat hinggakan air yang jatuh dari bumbung rumahnya dikatakan lebih hina dari air kencing anjing hitam. Ini belum masuk lagi cerita air tangan yang tentunya lebih hina. Menyentuh tentang air tangan pula, ini adalah satu ingatan untuk kaum wanita. Jika meninggalkan solat tanpa sebarang keuzuran, air tangan yang menitik dalam makanan yang dimasak boleh menggelapkan hati anak-anak kita.

Kewajipan solat sangat utama sehingga Allah SWT mensyariatkan terus kepada Rasulullah SAW melalui peristiwa Israk dan Mikraj. Sedangkan kewajipan-kewajipan lain, memadai Allah menyampaikan melalui Jibril AS kepada Rasulullah SAW.

Jadi marilah kita memelihara ibadah solat kita, dari segi zahir dan batinnya kerana amalan solat adalah yang mula-mula sekali ditanya di akhirat kelak.

Tuesday, June 21, 2011

Surah Hud Ayat 1 - 5 (memohon ampun, bertaubat dan melakukan amal salih)

Dengan Nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Penyayang

1. Alif, lam, Ra. Al-Quran sebuah kitab yang tersusun rapi ayat-ayatnya, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu yang diturunkan daripada sisi Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.

2. (Dengan kesempurnaan sifat Al-Quran itu adalah) supaya kamu jangan menyembah sesuatu pun melainkan Allah. (Katakan wahai Muhammad): Sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu sebagai pemberi amaran (kepada yang ingkar) dan pembawa berita gembira (kepada yang beriman)

3. Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian hendaklah kamu bertaubat kepada-Nya, nescaya Dia akan memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke sesuatu masa yang ditetapkan, dan (di akhirat pula) Dia akan memberikan setiap orang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang salih) akan pahala kelebihannya itu. Jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu) maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab pada hari kiamat yang besar (huru-haranya).

4. Kepada Allah jualah kembalinya kamu, dan Dia Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

5. Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang ingkar itu memalingkan dada mereka untuk menyembunyikan diri (sifat buruk mereka) daripada Allah. Katahuilah! Semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

Thursday, June 16, 2011

Fenomena warna gerhana bulan merah pekat

Warna bulan merah pekat  terbentuk kesan dari fenomena di atmosfera bumi iaitu  kesan dari letusan gunung berapi di Chile. Kumpulan debu yang berada di udara mempengaruhi warna bulan gerhana. 


Gerhana penuh berlaku selama 100 minit di mana bulan berada sepenuhnya di bawah bayangan umra, panjang lebih 40 minit dari gerhana yang berlaku pada 21 Disember tahun lalu. Gerhana bulan penuh terakhir berlaku ialah pada tahun 2000. Fenomena ini juga di kenali sebagai deep lunar eclipse.






Petua menghilangkan selsema dengan cepat

Kadang-kadang selsema menyerang seperti tornado. Sekali wabak tu datang, habis anak beranak, ipar duai dan jiran tetangga kena. Yang tak kena ada la sorang dua yang sistem imun mereka begitu hebat sekali.


Ni ada la petua untuk menghilangkan selsema dengan cepat....biar betik!  Selalunya selsema akan hilang dalam seminggu, itupun kira kita dah jumpa doktor dan makan ubat selsema.


Kalau ada rasa-rasa atau ada tanda-tanda nak kena selsema cepat-cepat makan ubat selsema. Nak ja virus selsema nak membiak dalam rongga hidung, terus ja terbantut dek ubat selsema. Jangan sekali makan ja...makan la ikut peraturan. Selalunya ubat selsema ada 2 jenis. Satu yang menyebabkan mengantuk dan khayal contohnya Actifed, satu lagi jenis yang tak mengantuk macam Carin. 


Selalunya kalau kak melur kena selsema, km (kak melur) malas nak jumpa doktor. Km pergi je kat kaunter minta ubat selsema. Km akan simpan ubat selsema yang tak habis sebagai stok, lain kali kalau rasa-rasa nak kena selsema km terus makan, jadi tak sempat la virus tu berumahtangga dalam rongga hidung...hehe..


Satu lagi cara mudah nak hilangkan selsema ialah waktu mula kena selsema amik supplement vitamin C. Mengikut doktor, waktu kena selsema, kita boleh ambik vitamin C lebih kurang 2 -3 g sehari. Ia akan meningkatkan imun sistem badan kita dan selsema dengan mudah dapat dihilangkan.


Satu lagi cara nak elakkan kena selsema ialah minum madu setiap hari.

Derita seorang isteri

KUALA LUMPUR: Seorang wanita terpaksa menderita berikutan kemaluannya dijangkiti kuman, didakwa akibat kecuaian pihak hospital tertinggal kain pencuci di dalam anggota sulitnya selepas bersalin anak sulung pada 19 Mei lalu.
Wanita itu yang melahirkan anak sulung lelaki di sebuah hospital di Selangor pada mulanya tidak berasa apa-apa perubahan malah turut dibenarkan keluar selepas dua hari berada di wad.
Bagaimanapun, selepas pulang dia berasa sakit di kemaluan malah air kencingnya turut berbau busuk menyebabkan mangsa mengesyaki sesuatu.

Suaminya, Kamaruddin Mohamad Ali, 29, berkata, isterinya mengadu sakit di bahagian itu, namun pada mulanya dia menyangka perkara itu normal kerana baru bersalin.



Menurutnya, dia menghantar isterinya pulang ke kampung di Pulau Pinang pada 24 Mei lalu supaya dijaga keluarganya.





Kesian si isteri. Selalunya kita tidak dapat menjangka musibah atau ujian yang menimpa kita. Jadi banyak-banyak lah berdoa pagi dan petang dengan doa ini sebanyak 3 kali.


“Dengan nama Allah, tidak akan berlaku kemudaratan di samping nama-Nya itu,
sesuatu yang turun dari langit atau dari bumi, dan Dialah Allah yang
Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

"Sesiapa yang membacanya 3 kali pada waktu pagi dan petang, maka tidak ada sesuatu pun yang boleh membahayakannya."
(Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi daripada hadis Usman bin Affan dengan Isnad Sahih) baca 3 kali pagi dan 3 kali petang sebagai amalan harian


Ketika kak melur melahirkan 2 orang anak melalui pembedahan di sebuah hospital, kumpulan doktor dan pembantu-pembantunya yang terlibat dalam operasi pembedahan bersembang dengan rancaknya sambil melakukan pembedahan. Kerja-kerja operasi pembedahan macam tu dah jadi macam 'kacang'  bagi mereka sebab dilakukan tiap-tiap hari. Tapi cara ni....mungkin akan berlaku juga kecuaian.....

Gerhana Bulan penuh malam tadi

Gambar  NASA

Gerhana bulan penuh malam tadi 16 June 2011 bersamaan 12 Rejab 1432 Hijrah, sebagai bukti tanda kebesaran Allah. 


Sedikit info tentang alam astronomi.
Ada yang tanya kenapa tahun Hijrah dan tahun Masihi tidak sama jumlah hari dalam setahun?


Jawapannya: 
Tahun Hijrah atau dipanggil Hijrah Qamariyah (bulan/moon) mengambilkira bilangan berapa harikah bulan mengelilingi bumi dalam satu pusingan ( 1 pusingan = 1 bulan) x 12 bulan Hijriyah. Manakala tahun Masihi atau dipanggil Masihi Syamsiah (matahari) mengambilkira bilangan hari bumi mengelilingi matahari dalam satu pusingan sistem solar.


Setahun kiraan hijrah ialah 354 hari, 8 jam, 48 minit dan 36 saat. Manakala setahun berdasarkan tahun Masihi pula ialah 365 hari 6 jam 9 minit dan 9.5 saat. Justeru, perbezaan antara setahun Hijrah dan Masihi ialah lebih kurang 11 hari atau lebih tepatnya 10 hari 21 jam dan 1 minit. Apabila menjangkau 50 tahun, bezanya ialah 1 tahun 12 hari 5.5 jam dan 3 minit

Tuesday, June 14, 2011

Gerhana bulan penuh malam ini (khamis 16 Jun 2011)

Fenomena Gerhana Bulan Penuh, Khamis Ini
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan sepenuhnya antara pukul 1.25 pagi sehingga 6.59 pagi pada Khamis ini (16 Jun).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Othman Mustapha berkata sehubungan itu semua masjid dan surau disaran mengadakan solat sunat kusuf berserta khutbah gerhana.

"Ibadah sunat ini seharusnya dapat ditunaikan sebaik mungkin kerana fenomena ini jarang-jarang berlaku," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Othman berkata masjid-masjid utama seperti Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra di Putrajaya akan menganjurkan solat sunat khusuf pada pukul 3 pagi.

Selain itu, aktiviti cerapan akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya dengan kerjasama agensi luar iaitu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). (Bernama)

Apabila gerhana bulan berlaku, semua bahagian bumi yang mengalami  malam akan dapat melihat berlakunya gerhana ini.

Dalam fasa bulan gerhana sepenuhnya, bulan akan kelihatan lebih gelap dan menjadi jingga sebelum ia kembali kepada keadaan asal. Ini adalah kerana kesan penapisan dan pemecahan semula cahaya matahari di atmosfera bumi, yang menyebabkan bulan tidak gelap sepenuhnya sewaktu gerhana. Bulan akan berwarna coklat gelap, bertukar merah, jingga muda dan kuning pada waktu ini.

Gerhana bulan sepenuhnya dapat dilihat di timur Afrika, Timur Tengah, Asia dan bahagian barat Australia. Manakala bahagian selain itu tidak dapat melihat permulaan  dan akhir gerhana.

Cara sembahyang gerhana bulan:
Niat solat : Usolli sunnatal kusuf raka'taini lillahi ta'ala
                 (sahaja aku solat sunat gerhana bulan 2 rakaat kerana Allah Ta'ala)

Daripada Aisyah r.a. diriwayatkan bahawa beliau berkata


"Matahari telah gerhana pada zaman Rasulullah SAW, maka Rasulullah SAW pun bersolat bersama orang ramai. Beliau berdiri dan telah memanjangkan berdirinya, kemudian ruku' dan memanjangkan ruku'nya, kemudian berdiri kurang dari berdirinya yang pertama, kemudian ruku' dan memanjangkan ruku' tetapi kurang dari ruku' yang pertama, kemudian sujud dan memanjangkan sujudnya.


Kemudian pada rakaat yang kedua baginda melakukan seperti apa yang baginda lakukan pada raka'at pertama. Kemudian baginda berpaling, di mana gerhana telah berakhir, dan berkhutbah, memuji Allah, kemudian bersabda: "Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan 2 tanda daripada tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidak gerhana disebabkan kematian seseorang ataupun disebabkan kehidupannya.  Apabila kamu melihat yang demikian, maka berdoalah kepada Allah, bertakbir, berselawat dan bersedekah.


Kemudian baginda bersabda: Wahai umat Muhammad, demi Allah, tidak ada yang lebih cemburu daripada Allah jika ada di antara hamba lelaki atau hamba perempuan berzina. Wahai umat Muhammad, jika kamu ketahui apa yang aku ketahui. nescaya kamu tertawa sedikit dan menangis banyak."

Gerhana matahari dan gerhana bulan cara solatnya sama, sepertimana dijelaskan dalam hadis di atas, iaitu 2 rakaat.

Setiap rakaat 2 kali ruku', jadi semuanya 4 kali ruku'.

Rakaat Pertama
Pada qiyam (berdiri) pertama, selepas Fatihah, baca surah al-Baqarah kemudian ruku'.
Pada qiyam kedua baca Fatihah dan surah Ali-Imran, kemudian ruku'

Rakaat kedua
Pada qiyam ketiga baca Fatihah dan dan surah an-Nisa kemudian ruku'
Pada  qiyam keempat baca Fatihah dan surah al-Maidah.

Tujuan membaca surah-surah yang panjang ialah supaya kita sentiasa berada dalam solat sehingga waktu gerhana berakhir.

Bagi yang tidak mampu atau tidak hafal, boleh membaca surah-surah yang pendek, bahkan jika seseorang itu hanya membaca Fatihah sahaja dalam setiap qiyam, solatnya tetap sah.

Nota: Gerhana Bulan dipanggil kusuf
          Gerhana Matahari dipanggil khusuf

Monday, June 13, 2011

Kelebihan pembaca al-Quran

1    Banyak hadith-hadith yang menjelaskan kedudukan mereka yang sentiasa membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah SWT seperti dalam satu hadith Qudsi di mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatiku daripada meminta-minta kepadaku, maka aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada Aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepadaku itu. Dan kelebihan kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas makluk-Nya.

        Dalam satu hadith lain yang bermaksud: Apabila seseorang dapat mengkhatamkan bacaan al-Quran satu kali, 60 ribu malaikat memohon keampunan dari Allah SWT untuknya.
3.      
      Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai  bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala. Sabda Rasulullah SAW: 
Bermaksud: " Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf". (Riwayat Tirmizi)

Mereka juga akan dinaikkan darjatnya di sisi Allah SWT sebagaimana yang dikatakan oleh Amr bin Ash: Barangsiapa membaca al-Quran maka mereka akan di naikkan ke darjat di kanan dan di kiri para nabi, melainkan tidak diturunkan wahyu kepada mereka sahaja

Muka pembaca al-Quran sentiasa berseri-seri, sentiasa dalam keadaan tenang dan kehidupannya dirahmati dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT

Ketika berada di alam kubur diluaskan kedudukannya serta mendapat syafaat di akhirat nanti. Hadith Rasulullah SAW: Bermaksud: " Bacalah kamu akan al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya ". (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan para sahabat yang membaca al-Quran dan yang menghafal dibandingkan dengan sahabat yang lain. Ini dibuktikan dengan tindakan Rasulullah SAW apabila menghantar sesuatu utusan, baginda akan memilih darpada kalangan sahabat yang banyak menguasai al-Quran sebagai pemimpin. Begitu juga ketika berhimpunnya para syahid yang terkorban untuk dikebumikan, Rasulullah SAW sendiri menguruskannya sehingga ke liang lahad dengan mendahului para syahid yang hafaz di kalangan sahabatnya

Di dalam hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda: Dua orang sahaja yang boleh dicemburui, pertama seorang yang Allah SWT berikan Al-Quran yang ia amalkan pada siang hari dan malamnya dan keduanya, seorang yang Allah SWT berikan harta dan ia belanjakan harta siang dan malam menurut perintahNYA

Di dalam hadith yang lain bahawa pada hari kiamat ia akan dikatakan kepada pembaca Al-Quran teruskan membaca Al-Quran dan naiklah darjat kamu dalam syurga. Bacalah dengan tartil dan mudah di dalam dunia kerana darjat dan kedudukan kamu akan berada pada ayat terakhir yang kamu akan baca.

Di dalam hadith yang lain bahawa barangsiapa yang membaca Quran dan ia seorang yang mahir (iaitu ia membaca dengan lancar, maka pada hari kiamat ia akan bersama dengan mereka yang dimuliakan dan malaikat yang suci yang menulis amalan yang baik. Dan barangsiapa yang membacanya dengan tersekat-sekat tanpa lancar kerana tidak menghafalnya dan dengan cara ini, mengalami kesulitan dalam membaca mendapat dua kali ganda pahala (satu kerana membaca Al-Quran dan satu lagi kerana mengalami kesulitan dalam 


Boleh dikatakan semua masyarakat Melayu memberi pendidikan al-Quran kepada anak-anak mereka dari kecil. Anak-anak digalakkan mempelajari al-Quran sehingga khatam. Malangnya didapati sebahagian besar masyarakat Melayu kurang memberatkan dari segi penerusan pembelajaran al-Quran selepas khatam. Tidak ramai yang mengulang bacaan, mempelajari tajwid, mentadabbur dan  mengamalkan isi kandungan al-Quran.

Sebenarnya ramai juga masyarakat Melayu yang tidak boleh membaca al-Quran dan tidak tahu menyebut makhraj dengan betul. Alangkah ruginya, kita umat Islam dianugerahkan kalam Allah, mukjizat terbesar kepada nabi Muhammad SAW, tetapi kita tidak menghargai dan mengabaikannya. Di dalam kitab Allah ini mengandungi banyak panduan, suruhan, larangan, pengajaran dan menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman. Marilah kita membaca dan mengamalkan al-Quran.




Lihat bagaimana orang bukan Islam juga berminat dengan al-Quran:


Bekas PM Britain baca kitab setiap hari untuk fahami iman 
LONDON: Tony Blair berkata beliau kini lebih terbuka terhadap agama sejak tidak lagi memegang jawatan perdana menteri. Malah bekas Perdana Menteri Britain itu mengakui beliau membaca al-Quran setiap hari kerana aktiviti itu membuat dirinya lebih memahami mengenai iman.Ia juga meyakinkan pengetahuan beliau mengenai iman yang dapat membantu dalam tugasnya sebagai wakil di Asia Barat mewakili Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Russia. 
Sebelum ini beliau juga pernah menyatakan iman umat Islam amat indah dan Nabi Muhammad adalah tokoh yang mendorong peradaban. 

Pada 2006 beliau pernah menyatakan al-Quran adalah kitab reformasi yang inklusif. Al-Quran juga mengagungkan ilmu dan pengetahuan dan membenci tahyul. 

“Kitab (al-Quran) itu memberikan arahan praktis mengenai pernikahan, wanita dan pemerintahan,” katanya. 
Walaupun demikian, Tony turut mengakui beliau melihat bagaimana pelaku jihad menterjemahkan al-Quran sebagai panggilan untuk mengangkat senjata. Ketika kejadian serangan bom bunuh diri di London pada 2005 yang menyebabkan sekurang-kurangnya 52 maut, beliau ketika itu masih lagi memegang jawatan Perdana Menteri. 

Membaca al-Quran membantunya dalam menunaikan tugas sebagai utusan damai. – Agensi 

Dosa besar selepas syirik

Petikan dari Ustaz Kazim Elias Fanpage


Rasulullah anggap menderhaka kepada orang tua dosa besar selepas syirik.

“Dan Tuhanmu sudah perintahkan, supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada usia t
ua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan ‘uuh’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Israk ayat 23-24).

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya sudah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedangkan tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah al-Ahqaf ayat 15).

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: Aku pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda. (Riwayat Muslim)

Perintah Islam supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira, sama ada mereka beragama Islam atau tidak. Cuma bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan berbuat baik itu dengan bersyarat iaitu selagi ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Sa’id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad adalah seorang kafir kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa'ad berkata kepada anaknya, “Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad saw).” (Riwayat Muslim).

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang sudah kamu kerjakan.”

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (daripada awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibu bapamu dan (ingatlah), kepada Akulah tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau – dengan akal fikiranmu – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaul dengan mereka di dunia dengan cara baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semua, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.” (Surah Luqman ayat 14-15).

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya?

Rasulullah SAW menjawab dengan bersabda: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya. (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW menganggap menderhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra katanya: Nabi SAW pernah menceritakan tentang dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: “Menyekutukan Allah, menderhaka kepada ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata palsu.” (Riw
ayat Muslim)

Saturday, June 11, 2011

Lagu Pilihan - Permaidani Aris Ariwatan

Permaidani

Layan suami seperti pelacur kelas pertama

Seorang isteri mesti patuh dan melayan suami seperti 'pelacur kelas pertama' bagi memastikan pasangan mereka tidak terjebak dalam pelbagai  gejala tidak sihat! Demikian kenyataan yang disuarakan oleh Naib Presiden Kelab Isteri Taat, Dr Rohaya Mohamed.
Menurut Dr Rohaya, kegagalan isteri melayan kehendak seks suami adalah antara punca utama kegagalan rumah tangga apabila pasangan mereka beralih kepada teman wanita, perempuan simpanan serta pelacur bagi mendapatkan kepuasan itu. Kenyataan Dr Rohaya tersebut menjadi perdebatan selain mendapat tentangan daripada beberapa individu yang langsung tidak bersetuju dengan pendapat beliau.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim melihat kenyataan itu sebagai usaha merendahkan martabat wanita Islam. Beliau turut meminta Pendaftar Pertubuhan meneliti semula pendaftaran kelab berkenaan yang disifatkan menimbulkan rasa tidak senang wanita.
Menurut Datuk Dr Mashitah, kehidupan rumah tangga bukan setakat kehidupan seksual tetapi lebih kepada tanggungjawab dan suami jangan ingat isteri hanya tempat untuk melempiaskan nafsu semata-mata.
Sementara itu, Sutradara Terbaik Festival Filem Malaysia ke-11 melalui filem kontroversi 'Perempuan, Isteri dan......' , U-Wei Shaari menyifatkan saranan Rohaya itu sebagai naif dan biadap. U-Wei yang sering memberi kemenangan moral kepada wanita dalam karyanya menyelar tindakan Rohaya dan sesetengah ahli politik tempatan yang mengangkat isu membabitkan persoalan seks secara kasar, cetek dan kolot.
Presiden Yayasan Sutera Wanita (YASNITA). Tan Sri Zaleha Ismail pula berkata, kenyataan itu seolah-olah menggambarkan seks adalah punca atau kepentingan utama yang menentukan kebahagiaan sesebuah rumah tangga. Beliau berkata sama ada isteri atau suami, mereka perlu melayan pasangan masing-masing sebaik mungkin namun ia bukan semata-mata dalam soal seks.
Ketua Wanita Parti Progresif Rakyat (PPP), Dati Josephine Anne pula berpendapat sebagai wanita, Dr Rohaya perlu menghormati kedudukan mulia seorang isteri, bukannya mengeluarkan pendapat 'bodoh' seperti itu yang menjatuhkan martabat golongan berkenaan.
Kelab Isteri Taat mempunyai 1,000 ahli di seluruh dunia termasuk 800 orang di negara ini. Ia ditubuhkan Global Ikhwan Sdn Bhd yang sebelum ini dikaitkan dengan kumpulan al-Arqam. Kelab pertama dilancarkan di Jordan pada 1 Mei lalu, cawangan Malaysia semalam dan diikuti kelab di Jakarta,  Indonesia pada 19 Jun 2011.
Organisasi syarikat itu juga merancang untuk menubuhkan cawangan kelab sama di Eropah termasuk London dan Rome pada masa depan.
Dr Rohaya berkata, penubuhan kelab itu terbuka kepada semua golongan isteri tanpa mengira kaum dan agama serta menawarkan latihan dan khidmat nasihat termasuk pendidikan seks supaya golongan isteri dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada suami masing-masing.
Sementara itu, Puteri UMNO mengecam penubuhan Kelab Isteri Taat yang dilihat hanya mementingkan nafsu semata-mata untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.
Ketuanya, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin, berkata penubuhan kelab yang kononnya untuk mengajar wanita menjadi setia dan menjalankan tanggungjawab terhadap suami adalah usaha sia-sia serta tidak sejajar dengan tuntutan Islam. Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, Islam menuntut suami menghormati isteri dan bukannya menjadikan isteri objek seks dalam rumah tangga.

KOMEN
Ramai wanita yang menunjukkan rasa tidak puas hati kepada kenyatan Dr. Rohaya. Ini adalah kerana status seorang isteri yang mulia itu dikaitkan dengan pelacur, tak kira la pelacur kelas berapa. Adakah pelacur kelas pertama dipandang hormat oleh masyarakat?.Memang benar, memenuhi keperluan seksual suami-isteri adalah salah satu elemen penting yang dapat mengekalkan kebahagiaan.  Namun begitu elemen lain juga tidak kurang penting dalam mengekalkan kebahagiaan, contohnya tutur kata yang berhemah, suami yang penyayang , memenuhi tanggungjawab dan tidak curang, isteri yang taat, menjaga kehormatan diri, suami dan keluarga, juga keperluan asas yang mencukupi. Semua ini adalah elemen penting dalam pengukuhan sesebuah institusi kekeluargaan.
Cuba kita teliti, apakah perbezaan antara pelacur dan isteri. Pelacur melayan seseorang lelaki itu tanpa rasa kasih sayang, tiada cinta, hanya memenuhi keperluan nafsu lelaki dan mendapatkan bayaran semata-mata. Sedangkan isteri sangat berlainan dari ciri-ciri tersebut. 
Mungkin Dr. Rohaya perlu membetulkan kenyataannya yang kontroversi itu dengan menyeru kepada isteri-isteri untuk menjadi isteri kelas pertama, bukannya melayan suami seperti pelacur kelas pertama.
Dulu saya pernah terbaca tentang kenyataan sebuah majalah keluaran al-Arqam, iatau keharusan berbuka puasa dengan memulakan jimak. Adakah pertubuhan itu sangat mengutamakan seksual semata-mata? Maafkan saya jika kenyataan ini agak pedas. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

facebook