Sunday, May 29, 2011

Kisah Remaja bernama Tha'labah


Pernahkah saudara mendengar tentang kisah Ta'labah? Salah seorang daripada para sahabat Nabi S.A.W. Seorang pemuda yang punya misi dan visi yang sangat agung.
Seorang remaja yang begitu hebat di zaman Rasulullah S.A.W. Namanya Tha'labah bin Abdul Rahman, seorang remaja berusia 17 tahun. Setelah memeluk Islam, beliau selalu mengikut Rasulullah S.A.W mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah S.A.W akan khabarkan kepada Ta'labah.
Suatu hari Rasulullah menyuruh Tha'labah mencari sesuatu. Ketika dalam perjalanan mencari barang yang Rasulullah hajati itu, Tha'labah telah melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka. Angin yang bertiup membuatkan pintu tandas rumah tersebut juga terbuka, dan ketika itu Tha'labah terlihat akan seorang perempuan yang sedang mandi.
"A'uzubillah! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah S.A.W! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah..."
Rintihan Tha'labah
Dia merintih sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah S.A.W. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang dipuncaknya ada sebuah gua. Tha'labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis. Tha'labah menangis dan menangis, beliau kesal amat dengan dosanya.
Pada masa yang sama, Rasulullah S.A.W menanti kepulangan Tha'labah beberapa hari namun Tha'labah tidak kunjung tiba. Lalu Rasulullah S.A.W mengarahkan Saidina Umar RA untuk mencari Tha'labah dan beliau terjumpa Tha'labah di tempat dia bersembunyi di puncak bukit.
Umar berkata "Tha'labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu."
"Kenapa? Sudah turunkah ayat al-Quran tentang dosaku, sudah beritahukah Jibril kepada Rasulullah, aku tidak mahu masuk neraka, aku tidak mahu masuk neraka." Kata Tha'labah dalam ketakutan yang amat sangat.
Oleh sebab Tha'labah sudah tersangat lemah, Saidina Umar RA memimpinnya pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarah Tha'labah, Tha'labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tha'labah.
Tetapi Ta'labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, "kenapa wahai Tha'labah?"
"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu," kata Tha'labah.
"Apa yang kamu mahu Tha'labah?"
"Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah"
Cita-citanya hanya Syurga
"Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"
"Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku."
Lalu Rasulullah s.a.w berkata, "wahai Tha'labah aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu."
Tidak lama selepas itu, Tha'labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah SAW.
Ketika mayat Tha'labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah SAW datang agak lewat ketika itu. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tha'labah. Tetapi Rasulullah berjalan merapati kubur Tha'labah dalam keadaan berjalan yang perlahan, dan seperti tersekat-sekat.
Sahabat-sahabat bertanya, "wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?"
Rasulullah menjawab, "kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tha'labah ke kubur."
Itulah kisah hidup seorang remaja hebat bernama Tha'labah. Betapa takutnya beliau dengan azab Allah SWT walaupun beliau tidak sengaja terpandang perempuan yang sedang mandi itu. Begitu malu bertemu Rasulullah, begitu mengharap keampunan Allah SWT, dan akhirnya menhembus nafas yang terakhir di ribaan insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah, dan jasadnya diiringi malaikat ke kuburan. Subhanallah!
Lihat diri kita. Apakah kita menyesal dan bertaubat setelah berbuat dosa yang sengaja? Apakah kita sedar, dan menyesal serta bertaubat setelah berbuat dosa yang tidak sengaja?
Cerita ini di kongsi dari http://www.iluvislam.com/
Semoga Allah mengampunkan dosa kita

Friday, May 27, 2011

Pakaian Muslimah; menutup aurat atau sekadar membalut tubuh?

Hari ini fesyen yang dipanggil busana muslimah berlambak di pasaran. Ramai wanita Islam sekarang bertudung. Namun begitu, benarkah dengan memakai tudung, kita sudah dikira menutup aurat? Betulkah busana muslimah itu betul-betul muslimah?
Sewaktu kak melur keluar ke mall dan merata tempat lain kat Malaysia ni, ramain juga yang kak melur tengok mereka ni pakai tudung, bertshirt lengan pendek dan seluar jean ketat. Ada juga yang pakai blouse, tapi ketat dan mengikut alur bentuk tubuh. Tudung pun x de la sampai menutupi dada. Ada pula yang memakai blouse yang agak longgar dan labuhnya hingga menutup punggung, tapi dipadankan pula dengan seluar legging.
Kalau diteliti, fesyen yang benar-benar muslimah dan menutup aurat adalah memenuhi syarat seperti berikut:
1-Menutup kawasan aurat. Semua tubuh badan wanita adalah aurat, kecuali muka dan tapak tangan.
2-Tidak menampakkan warna kulit, maknanya tidak jarang.
3-Tidak menampakkan bentuk tubuh yakni pakaian mestilah longgar.

Hikmah menutup aurat
Wanita diwajibkan menutup aurat untuk menjaga kehormatan wanita itu sendiri. Wanita yang tidak menutup aurat dan menampakkan bahagian-bahagian yang seharusnya ditutup akan mengundang fitnah lelaki yang memandang. Lelaki yang memandang akan mendapat 1 dosa sedangkan wanita yang menampakkan auratnya mendapat 2 dosa. Bayangkan kita keluar bekerja/belajar dengan pakaian yang tidak benar-benar menutup aurat, berapa banyak pula mata lelaki bukan mahram yang memandang kita dalam keadaan pakaian kita seperti itu. Satu hari itu saja, berapa banyakkah dosa yang telah kita buat? Bayangkan jika kita bertahun-tahun macam tu, setiap harinya menghimpun dosa, kita akan jauh dari rahmat dan hidayah Allah. Masyaallah.
Sewaktu kak melur berada dalam zaman remaja dulu, kak melur pakai tudung labuh, of course dengan pakaian yang longgar. Waktu tu kak melur agak cun juga :D (he he). Kalau keluar ke mana-mana, ada juga mata-mata yang memandang, tapi mereka tak berani kacau, cuma lihat dari jauh saja. Cikgu kelas kak melur (lelaki) pun respek juga kat kak melur. Kalau naik bas, jika kebetulan ada lelaki kat sebelah, mereka akan menjarakkan diri sikit dari kak melur.
Bila agak dewasa, entah macamana kak melur tergerak hati tukar pakai tudung tiga segi pula, tapi masih lagi labuh hingga kedada. Waktu tu pergi mana-mana pun kak melur pakai baju kurung longgar je. Namun sangat beza dengan waktu pakai tudung labuh, waktu naik bas, jika ada lelaki di sebelah, ada yang tanpa segan silu cuba menghimpit. Sangat ketara, bila ada lelaki yang rosak moralnya cuba mengganggu. 
Bila menutup aurat dengan tidak betul, seseorang wanita itu berpotensi mendapat suami dari kalangan yang tidk benar agamanya atau rosak hatinya. Menurut seorang rakan dari sebuah blog, beliau dan suaminya pernah menjadi match maker antara rakannya (perempuan) dan rakan suaminya (lelaki). Bila di tunjukkan foto rakan perempuan kepada lelaki yang hendak dipadankan itu, lelaki-lelaki yang soleh dan baik akhlaknya lebih berminat memilih wanita yang menutup aurat dengan sempurna. 
Kesimpulannya, pakaian adalah perisai yang melindungi wanita. Selagi kita taat dengan suruhan Allah dan rasulNYA, selagi itu Allah akan menjaga kita.
Untuk bacaan lanjut, sila klik sini tentang pakain wanita hari ini. http://wanitamelayuseksa.blogspot.com/

Wednesday, May 25, 2011

Istimewanya jadi wanita

  • Doa wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah S.A.W akan hal tersebut,jawab baginda: "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia."
  • Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 orang lelaki yang soleh.
  • Barang siapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah S.W.T dan orang yang takutkan Allah S.W.T akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.
  • Barang siapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barang siapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail A.S
  • Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah S.A.W) di dalam syurga.
  •  Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga.
  • Daripada Aisyah r.a. "Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.
  • Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.
  • Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.
  • Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.
  • Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan direkannya (serta menjaga sembahyang dan puasanya).
  • Aisyah r.a berkata "Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab baginda, "Suaminya." "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah S.A.W "Ibunya."
  • Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dia kehendaki.
  • Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah S.W.T memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).
  • Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah S.W.T mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.
  • Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah S.W.T mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah S.W.T
  • Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.
  • Apabila telah lahir (anak) lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.
  • Apabila semalaman (ibu) tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah S.W.T memberinya pahala seperti memerdekakany 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah S.W.T

Tuesday, May 17, 2011

Ayat Munjiyat, ayat penyelamat dari berbagai kesulitan

Ayat ini juga dipanggil ayat tujuh. Ianya terdiri dari 7 ayat dari beberapa surah Al-Quran iaitu ayat 51 surah at-Taubah, ayat 107 surah Yunus, ayat 6 dan 56 surah Hud, ayat 60 surah al-Ankabut, ayat 2 surah al-Fathir dan ayat 38 surah al-Zumar.

Tujuh ayat al-Quran yang dinamakan ayat munjiyat ini telah dibuktikan dari pengalaman Ibnu Sirin RA sebagai ayat-ayat penyelamat dari berbagai kesulitan dan kesusahan.


Menurut Ka'abul akhbar:
Barangsiapa membaca akan dia, tiada kuasa seseorang memberi mudharat dan jikalau tertutup langit atas bumi, lepas ia dengan izin Allah.

Kata Ali r.a.:
Barangsiapa mengamalkan/membaca ayat 7 pagi dan petang, maka ia akan merasa aman sentosa dari segala kebinasaan dan terpeliharalah daripada tipu daya musuh dan bala dengan izin Allah.

Apabila ayat 7 ini diamalkan sekali siang dan sekali malam (sesudah solat Maghrib dan Subuh), insyaallah akan memudahkan rezekinya, dipanjangkan umur, terpelihara dai gangguan jin, syaitan dan fitnah, dikasihi para hamba Allah serta dimudahkan serta dikabulkan segala apa yang dicita-citakannya.

Apabila diamalkan 40 hari berturut-turut dan pada setiap solat fardhu dibaca tujuh kali, nescaya akan memperolehi faedah yang besar.

Barangsiapa yang mewiridkan pada tiap-tiap selesai sembahyang fardhu, insyaallah, Allah akan memahkan sakaratulmaut kelak dan memperolehi pahala yang besar pula. Juga kalau dibacakan ayat ini pada orang sakit, maka insyaallah akan menenangkan dan menyembuhkan dengan segera.

Barangsiapa yang membaca ayat tujuh dengan tujuh hari berturut-turut dengan ketentuan tujuh kali disiang hari dan tujuh kali di malam hari, mudah-mudahan Allah akan melepaskan atau memudahkan dari kesulitan dan kesusahan.

Menurut yang pernah mengamalkan, baca ayat tujuh disiang hari tujuh kali dan malam hari tujuh kali selama tujuh hari kemudian selepas itu diwiridkan sekali siang (lepas subuh) dan sekali malam (lepas maghrib) secara tetap setiap hari. Jika sudah mantap amalannya, kesannya akan dapat dirasai.

Monday, May 9, 2011

8 perkara menambahkan iman



Video ni tak ingat pula lagunya tajuk apa, tapi tentang paparan mesej video ini lebih kurang seperti di bawah iaitu 8 perkara yang menambahkan iman:

1. Mengenal Allah dengan sebenar-benar kenal, bukan sekadar lisan, tetapi kenal bersama cinta, takut pada amaran Allah SWT, sebagaimana ulama takut kepada Allah SWT

2.  Mentadabbur Al-Quran Al-Karim sehingga apabila mendengar kalimah-kalimah Al-Quran dia akan bertambah imannya. Bibir membaca, telinga mendengar, hati memerhati setiap patah perkataan. Hati memahami setiap maksud dalam Al-Quran, segala anggota melaksanakan kandungan ayat-ayat Al-Quran.

3.  Mengenal dan mencintai Rasulullah SAW serta mengikuti sunnah Rasulullah SAW

4.  Berfikir akan kejadian atau ciptaan Allah SWT yang amat unik, sehingga cara kita
berfikir tersebut termasuk dalam kategori ibadah kepada Allah SWT

5.  Memperbanyakkan yang sunat seperti solat-solat sunat, sedekah, qiamullail, puasa sunat
setelah sempurna menunaikan yang fardhu dan solat-solat fardhu.

6.   Mendekati Allah SWT dengan melakukan ketaatan dan menjauhi larangan Allah SWT
seperti perkara-perkara yang menjerumuskan kepada berlakunya maksiat, perkara-perkara
yang menurangkan iman, mendengar nyanyian wanita dan memandang aurat wanita
yang bukan muhrim

7.   Sentiasa berzikir kepada Allah SWT agar hati sentiasa hidup, yakni setiap detik dan

8.   Sentiasa menyeru kepada kebenaran

Saturday, May 7, 2011

Jangan remehkan yang sunat

Sewaktu temankan adik mendapatkan rawatan rukyah di sebuah pusat rawatan islam baru-baru ni, ustaz yang merukyah menasihatkan agar jangan tinggalkan ibadat yang wajib, di samping itu cuba buat yang sunat. Tinggalkan ibadat yang wajib, maknanya kita akan dihumbankan ke dalam api neraka. Na'uzubillah. Kalau buat yang wajib sahaja pula, seumpama bila kita berniaga, kita akan mendapat balik modal sahaja, kalau nak untung kena buat ibadat yang sunat sekali. Banyaknya ibadat sunat tu, tanda banyaknya untung kita, tetapi kalau buat yang sunat, tapi ibadah yang wajib tak buat, tetap akan masuk neraka melainkan jika kita taubat nasuha.

Antara ibadat yang wajib dan sunat ialah:

  1. Solat fardhu itu wajib, manakala solat yang mengiringi solat waktu (solat rawatib) adalah sunatnya. Solat-solat lain yang sunat ialah solat tahajjud, solat dhuha, solat witir, solat awwabin, solat taubat, solat tasbih, solat hajat, solat istikharah, solat sunat taraweh
  2. Puasa di bulan Ramadhan itu wajib, manakala puasa sunat ialah puasa 6 hari di bulan Syawal, puasa hari Isnin dan Khamis, puasa pada hari Assyura (10 Muharam), puasa sunat pada bulan Rejab, puasa hari Wukuf di Arafah (9 Zulhijjah) bagi yang tidak menegerjakan haji, Puasa pada 13,14,15 setiap bulan Hijriyah, puasa pada 28,29,30 pada setiap bulan Hijriyah dan puasa pada nisfu Syaaban.
  3. Zakat itu wajib bagi orang yang mempunyai lebihan rezeki, sedekah adalah sunatnya.
  4. Haji wajib bagi yang berkemampuan, umrah adalah sunatnya.
Banyak lagi ibadah-ibadah sunat yang lain yang tak dapat disenaraikan disini kerana terlalu banyak.

Allah Taala ada berfirman di dalam sebuah Hadis Qudsi yang maksudnya: "Hendaklah kamu lakukan sebanyak-banyak ibadah-ibadah sunat sehingga Aku jatuh cinta kepada kamu". 

Di sini kita dapat lihat bahawa walaupun ibadah-ibadah sunat itu hanya sunat hukumnya, iaitu lebih rendah dari hukum wajib dan kalau ditinggalkan pun tidak mengapa, namun ia menjadi syarat untuk menagih dan mendapat cinta dan kasih sayang Tuhan. Di situlah kelebihan amalan-amalan sunat.

Oleh itu tidak ada sebab mengapa amalan-amalan sunat mesti diperkecil atau diremehkan kerana di dalamnya terkandung hikmah yang sangat besar. 



Bagaimanapun, harus diingat, perkara yang wajib perlu diberikan penekanan melebihi perkara sunat dan perkara yang haram perlu diberikan penekanan melebihi perkara yang makruh. 



Fadhilat surah Al-Kauthar


Dengan nama Alah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. 
Sesungguhnya kami memberikan kepadamu nikmat yang banyak.
Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.
Sesungguhnya orang yang membenci Kami dialah yang terputus.


Surah ini paling pendek, hanya mengandungi 3 ayat  dan diturunkan di Makkah  dan bermaksud sungai di syurga. Kolam sungai ini diperbuat  daripada batu  permata yang indah dan cantik.

Rasanya lebih manis daripada madu, warnanya pula lebih putih daripada susu  dan lebih wangi daripada kasturi.

Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad s.a.w.kerana diturunkan ketika baginda bersedih atas kematian 2 orang yang  dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib.

Fadhilat membaca surah Al-Kauthar
Barangsiapa membaca surah Al-Kauthar 100x saat hujan turun lalu memohon kepada Allah SWT apa yang dihajatkannya dari urusan duniawi dan ukhrawi maka Allah SWT akan mengendahkan permohonannya.

Sesiapa yang membaca 7x setiap hari pada mata air, maka ia akan menjadi besar sumbernya.

Barangsiapa yang membaca surah Al-Kauthar 1000x maka Allah hasilkan apa yang dituntutnya, lebih-lebih dalam mencari rezeki dan pangkat, dan dibukakan berbagai pintu kebaikan.

Barangsiapa yang membaca Al-Kauthar 1000x sesudah sembahyang Isyak sehingga membawa kepada tidurnya, maka insyaallah akan melihat Rasulullah SAW dalam mimpinya.

Kata sebahagian orang yang mengamalkannya:


Jika rajin membacanya, hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk
ketika  menunaikan solat.

Jika orang teraniaya dan terpenjara membacanya sebanyak 71x, Allah
s.w.t. akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah
tetapi  dizalimi.


Jika sering sakit mata, seperti berair, gatal, bengkak, sapukan air
mawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10x pada mata.



Jika dibaca ayat ini sewaktu memasak akan dapat melazatkan makanan


Jika diamalkan selalu surah ini, kita tidak akan menjadi seorang yang materialistik.

Doa Ibu

Setiap anak wajib mentaati, berbuat baik dan menghormati ibubapa. Berbakti kepada ibubapa itu pahalanya menyamai pahala orang yang melakukan ibadah haji, umrah dan berjihad.

Thalhah as-Sulaimi pernah berkata kepada Rasulullah SAW "Wahai Rasullulah, sesungguhnya aku mahu mengikutmu berjihad pada jalan Allah".
Nabi bertanya kepadanya "Adakah ibumu masaih hidup?"
Thalhah menjawab, "Ya, dia masih hidup"
Rasulullah kemudian berkata, "Bersimpuhlah kamu di kakinya, di situlah terletaknya syurga".

Doa ibu kepada anaknya setanding dengan doa nabi-nabi kepada umatnya. Doa ibu membawa kemuliaan, dapat menolak fitnah, membuka pintu rezeki dan pintu hidayah sepanjang zaman.
Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Ibnu Majjah menegaskan tiga golongan jika berdoa pasti dimakbulkan iaitu orang dizalimi, orang musafir dan doa ibu bapa kepada anaknya.

Apabila ibu redha kepada kita, pintu rahmat dan pintu syurga akan terbuka, tetapi jika ibu tidak redha kepada kita, maka terbukalah pintu neraka untuk kita.

Ramai antara kita, walau lulusan agama sekalipun, kurang mengambil berat akan ibubapa. Ada yang jarang jenguk ibubapa walaupun tempat tinggal mereka taklah jauh sangat dengan rumah mak ayah. Mungkin ini berlaku kerana ramai yang tak tahu bahawa berbakti kepada ibubapa itu lebih utama dari berjihad.

Ada yang bagi alasan, kecik hati dengan mak ayah, mak ayah lebih utamakan anak yang lain, mak ayah terlalu cerewet. Memang perkara macam ni akan jadi sebahagian dari ujian hidup kita. Namun, ada baiknya kita ketepikan semua perasaan itu demi taat kepada suruhan Allah supaya berbakti kepada kedua ibubapa, terutamanya ibu.

Rasulullah SAW pernah bersabda "Apabila seorang anak memandang wajah kedua orang tuanya dengan penuh kasih sayang, Allah memberikan ganjaran kepadanya sama seperti ganjaran orang yang mendapat haji mabrur"

Banyak lagi yang nak dituliskan di sini, tapi kerana kesuntukan masa, setakat ini sahaja yang dapat ditulis. Sempena Hari Ibu ni, semoga Allah membuka pintu hidayah dan pintu rahmat agar kita dapat berbakti kepada ibu bapa, selagi mereka masih ada di dunia ini.

Thursday, May 5, 2011

Jus lobak Merah baik untuk mencegah kanser

Lobak merah adalah sumber terbaik vitamin A. Jus lobak merah mesti diambil 15-30 minit sebelum hidangan. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Raymond J. Shamberger, Professor Jabatan Biokimia di Cleveland Clinic, Ohio menunjukkan Vitamin A dapat membantu sistem badan menentang dan mencegah kanser. Vitamin ini mempunyai keupayaan untuk membantutkan pertumbuhan sel kanser.

Menurut Dr. Hoover N.D, penulis buku Natural Medicine deodoran adalah salah satu sebab berlakunya kanser payudara. Kebanyakan permulaan sel kanser berlaku di bahagian payudara yang berhampiran dengan ketiak. Di bawah lengan terdapat banyak 'lymph glands', dan bila kita menggunakan deodoran yang biasanya mengandungi aluminium dan berbagai bahan bertoksik, ia akan menyerap ke dalam sistem 'lymph'. Deodoran antipeluh adalah sangat merbahaya kerana ia akan menghalang pori-pori kulit daripada berpeluh. Jadi ia akan menyerap ke dalam badan dan bahagian payudara.

Pemakanan yang mengandungi banyak produk tenusu, telur, dan susu adalah juga penyebab kepada berlakunya pertumbuhan sel kanser kerana makanan ini tidak lagi diternak secara semulajadi. Ini kerana lembu dan telur kebiasaannya ditambah hormon-hormon buatan (artificial hormons) meningkatkan risiko kanser payudara dan organ-organ wanita. Begitu juga pil pencegah hamil boleh meningkatkan risiko kanser payudara dan organ-organ dalaman wanita.

Wednesday, May 4, 2011

Bercerai melalui facebook

Ada orang bertemu jodoh melalui facebook, tapi nampaknya ramai juga yang bercerai disebabkan facebook. Beberapa bulan lalu, ada kenalan yang akan bercerai tapi tak jadi. Suami isteri yang beranak tiga tu memang ketagih dengan facebook, suami dapat tahu dalam status isterinya yang mengatakan dia dah boring dengan husband dan bersedia mencari kenalan baru. Ini cerita yang benar-benar berlaku di Malaysia.


Seorang wanita berumur 35 tahun pula diceraikan oleh suaminya melalui wall dalam facebook. Message tersebut berbunyi "Neil Brady has ended his marriage to Emma Brady.”Ini di negeri mat saleh, di Malaysia belum dengar lagi. Kalau setakat cerai melalui sms tu dah jadi biasa.


Seorang wanita berumur 28 tahun pula memfailkan perceraian apabila dia dapat tahu suaminya ada hubungan maya (virtual affair) dengan seseorang yang tak pernah dikenalinya.

Akhbar Arabs news pula melaporkan sesetengah isteri tahu suami mereka berlaku curang dengan menipu status masing-masing. Ada juga isteri yang membuat akaun palsu dan menjadikan suami mereka sebagai rakan untuk mengintip suami mereka.

Ramai yang mendedahkan kehidupan peribadi mereka dalam facebook dengan mengemaskini status dan memuat naik gambar-gambar peribadi. Namun mungkin ramai yang tak sedar, ada pembaca-pembaca nakal yang mencari mangsa dalam dunia maya. Gambar-gambar dalam facebook tu boleh saja dimuat turun dan disihir untuk kepentingan sendiri.



Doa untuk menangani anak nakal

  1. Baca "Ya Latif" sebanayak 7 kali dan hembuskan ke ubun-ubun sewaktu mereka tengah tidur
  2. Cuba berbicara dengan baik dan gunakan kaedah memujuk
  3.  Banyak berdoa kepada Allah minta dilembutkan hati anak-anak
  4. Bila bangun pagi, peluk anak, usap kepalanya dan berselawat sambil berniat dalam hati
  5. Baca surah Al-Fatihah, Surah Taha ayat 1 hingga 5, diikuti doa nabi Daud 3 kali. Doanya "Ya Allah lembutkanlah hati anakku (sebut namanya) sepertimana Engkau lembutkan Nabi Daud akan besi. kemudian hembuskan pada makanan dan minuman. Kalau anak masih menyusu,hembus pada susu
  6. Untuk membantu anak mudah belajar baca zikir Ya Latif sebanyak 129 kali diikuti ayat 19 dari surah As-Syura yang bermaksud "Allah maha lembut pada hambaNYA. Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dia kehendaki dan Dia lah yang Maha Kuat lagi Maha Kuasa.
  7. Baca surah Al-Insyirah sewaktu menemani nak-anak belajar
  8. Ketika memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa dari Surah Al-Imran ayat 200 yang bermaksud " Wahai orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah iman kamu, dan bersedialah serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya"
  9. Kita juga digalakkan menyentuh lembut ubun-ubun anak dengan tangan kanan sambil berdoa dan menyatakan harapan. Lakukan setiap malam ketika anak-anak dalam keadaan baru hendak tidur. Ketika ini otak mereka sedang berada dalam separa sedar dan mudah merakam apa yang kita lafazkan.
  10. Selepas solat lima waktu, amalkan doa dari Surah Al-Furqan ayat 74 yang  bermaksud " Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati kami, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertakwa.
  11. Amalkan ayat 40 dari surah Ibrahim yang bermaksud "Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan sembahyang, zan zuriat keturunanku. wahai Tuhanku perkenankanlah doaku.
Doa-doa dari ayat Al-Quran yang boleh diamalkan

  • Supaya anak-anak pandai belajar, baca surah Al-Anbiya' ayat 79 selepas solat Subuh sebanyak 10 kali dan diikuti doa
  • Sewaktu anak-anak bergaduh, baca surah Al-Baqarah ayat 102
  • Supaya anak-anak lembut hati dan elakkan panas baran, baca surah A-anbiya' ayat 69, juga surah Al-Hasyar ayat 22 hingga 24
  • Anak-anak malas ke sekolah, baca surah Taha ayat 1 hingga 5.
  • Anak-anak yang suka keluar malam, baca surah Ar-Rum ayat 31 sebanyak 33 kali
Insyaallah dengan doa yang tidak putus, anak-anak yang nakal akan berubah menjadi baik



Tip mencegah obesiti di kalangan kanak-kanak

Cara hidup masyarakat masa kini merupakan faktor penyebab berlakunya peningkatan obesiti di kalangan masyarakat kita. Dua faktor utama ialah pengambilan diet yang tidak sihat dan kurang bersenam. Makanan yang tidak sihat seperti burger dan pizza bukan sahaja tidak elok untuk  kesihatan, tetapi juga mempunyai kalori yang tinggi.

Untuk kekal sihat dan cergas kita perlu memilih diet yang lebih sihat seperti mengambil banyak sayuran hijau dan buah-buahan. Faktor lain yang membantu kita lebih sihat ialah dengan bersenam. Kanak-kanak hari ini lebih banyak menghabiskan masa senggang dengan menonton TV dan bermain dengan gadget-gadget elektronik seperti game.

kanak-kanak hari ini banyak terdedah dengan makanan berlemak, minuman berkarbonat dan makanan lain yang tinggi kolesterol. Seeloknya pastikan anak-anak kita menghabiskan sekurangkan-kurangnya satu atau dua jam masa bermain yang melibatkan pergerakan fizikal seperti berbasikal, berlari, berenang dan sebagainya.


Mencegah obesiti di kalangan kanak-kanak dengan mengamalkan diet sihat
Diet kanak-kanak seharusnya mengandungi komposisi mineral, protein, vitamin dan karbohidrat. Dua perkara utama yang perlu ditekankan ialah apa yang hendak dimakan dan berapakah kuantiti yang sesuai. Pengambilan makanan kanak-kanak setiap hari terdiri dari waktu sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam. Sarapan pagi seharusnya berat dan berzat, contohnya 2 biji telur, cereal, susu, kekacang dan jus buah-buahan. Mengikut kajian, kanak-kanak yang tidak bersarapan kurang fokus ketika belajar dan pencapaian akademik mereka agak rendah berbanding dengan kanak-kanak yang bersarapan.Makan tengahari pula adalah makanan berkhasiat yang mengandungi kurang karbohidrat, lebih fiber dan protein.

Makan tengahari yang bekhasiat akan memberikan tenaga segera yang membolehkan kanak-kanak kekal aktif sepanjang hari, pada masa yang sama ia sepatutnya kurang kalori. Minuman petang pula adalah makanan yang lebih ringan dan sihat seperti buahan, susu dan kekacang. Untuk makan malam, hidangkan makanan yang agak berat tetapi kurang kalori. Sayuran hijau, daging ayam, telur dan ikan adalah makanan yang menyihatkan. Hidangkan bersama nasi tetapi dalam kuantiti yang perlu dihadkan.

Mencegah Obesiti di kalangan kanak-kanak dengan bersenam dan pergerakan fizikal yang aktif
Bersenam bukan sahaja dapat mengurangkan berat badan, tetapi juga membantu mencergaskan badan. Pastikan anak-anak mempunyai masa bermain sekurang-kurangnya satu atau dua jam sehari. Galakkan anak-anak terlibat dalam sukan seperti berenang, bermain bola sepak, bermain tenis atau badminton atau sekurang-kurangnya berbasikal. Bersenam setiap hari akan meningkatkan stamina, membina semangat dan daya juang dan juga mencegah kenaikan berat badan.

Tip mudah untuk mencegah obesiti di kalangan kanak-kanak
Elakkan mengambil minuman berkarbonat, sebaliknya minum jus buah yang segar ataupun susu
Galakkan kanak-kanak makan dalam kuantiti yang diperlukan sahaja
Jangan menggalakkan kanak mengamalkan diet; makan makanan yang berkhasiat berserta bersenam adalah cara yang lebih selamat untuk mengurangkan berat badan
Galakkan kanak-kanak bergerak cergas sepanjang hari dan elakkan aktiviti bermalasan dengan menonton TV dan bermain video game
Perkenalkan istilah makanan baik (makanan berkhasiat) dan makanan jahat (makanan yang tidak sihat) seperti gula-gula, air berkarbonat, burger, pelbagai makanan segera dan junk food.


Sedekah 7000 pahala

Pahala sedekah dapat dibahagikan kepada 4 jenis

  1. Sedekah yang mendapat pahala sepuluh
  2. Sedekah yang mendapat pahala tujuh puluh
  3. Sedekah yang mendapat pahala tujuh ratus
  4. Sedekah yang mendapat pahala tujuh ribu
Sedekah yang mendapat sepuluh pahala ialah pemberian makan kepada fakir miskin
Sedekah yang mendapat pahala tujuh puluh ialah sedekah yang diberikan kepada keluarga terdekat
Sedekah yang mendapat pahala tujuh ratus ialah sedekah yang diberikan kepada kawan-kawan dan sahabat-sahabat
Sedekah yang mendapat pahala yang mendapat pahala tujuh ribu ialah sedekah yang diberikan kepada orang yang mencari ilmu.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 271:
"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terangan)maka yang demikian adalah baik (keranan menjadi contoh yang baik) dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu, dan Allah akan menghapuskan bagi kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah) Allah maha mengetahui secara mendalam apa yang  kamu lakukan." 

Tuesday, May 3, 2011

Kisah pengemis dan isteri cantik

Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri sedang duduk makan, datang seorang pengemis yang lusuh serta lapar meminta makanan:

"Tolonglah tuan, sejak semalam saya tidak menjamah apa-apa". Dengan muka yang bengis si suami menghalau dan menengking si pengemis itu.

Si suami berkata dalam hati " Aku membina kekayaan bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri dan keluargaku". Si isteri ingin bersedekah tetapi tidak dapat berbuat demikian melihatkan sikap suaminya.

Beberapa tahunn kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia menceraikan isterinya keranan tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian isterinya yang masih cantik itu berkahwin dengan lelaki lain.

Pada suatu hari, sedang si isteri dan suaminya mengadap makanan, datang seorang pengemis mengetuk sambil meminta belas kasihan. mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan.

Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis itu, si isteri menerkup muka sambil menangis dan berkata si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suaminya yang dulunya pernah menengking seorang pengemis.

Suaminya yang baru itu menjawab dengan tenang "Demi Allah, akulah sebenarnya pengemis yang dihalau dan ditengking dulu."

Cerita ini memberi pengajaran bahawa hidup kita seperti putaran roda dan tidak selalunya di atas. Ada masanya kita akan turun ke bawah dan naik semula atau sebaliknya.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya "Sedekah itu dapat menutup tujuh puluh ribu kejahatan"

Anas Bin Malik pula meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud "Barangsiapa yang mempunyai harta, maka bersedekahlah dengan kekayaanmu, barangsiapa yang mempuyai ilmu, maka bersedekahlah dengan ilmunya dan barangsiapa yang mempunyai tenaga, bersedekahlah dengan tenaganya"

Benarkah Osama Bin Laden meninggal?

AS mendakwa serangan kira-kira 40 minit komando AS membabitkan 2 helikopter di utara Pakistan mengakibatkan kematian ke atas Osama Bin Laden serta anak lelakinya. Osama yang ditembak di kepalanya dikatakan memberi tentangan sebelum terbunuh dalam pertempuran itu.

Mayat pemimpin Al-Qaeda itu akan disemadikan di laut untuk mengelakkan kuburnya dijadikan tempat pemujaan golongan ekstrim.

Kesahihan gambar Osama yang tertera yang disiarkan oleh televisyen Pakistan dipertikaikan agensi antarabangsa berikutan gambar berkenaan berkedudukan sama dengan gambar fail pemimpin Al-Qaeda itu.

Bagaimanapun ujian DNA mengesahkan DNA Osama didapati sepadan dengan beberapa ahli keluarga. Dan didapati sekurang-kurangnya 99 peratus DNA terbabit menyamai Osama bin Laden, kata pegawai kedua kepada AFP.

Sementara itu, ulama Islam menyifatkan pengebumian jenazah Osama di laut bertentangan Islam dan boleh mencetuskan kemarahan militan untuk membalas dendam dengan mensasarkan Amerika Syarikat.

Walaupun banyak yang dipertikaikan membabitkan pengebumian terbabit termasuk dari segi ajaran Islam sendiri, sekumpulan cendikiawan Islam menyifatkan ia sebagai menghina iaitu tidak mengikut amalan Islam dengan mengebumikan mayat di dalam kubur dengan mukanya mengadap Kiblat.


Beberapa pandangan ahli politik Malaysia mengharapkan dengan kematian Osama Bin Laden dunia akan lebih aman. Bagaimanapun, perlu difikirkan apakah dengan kematian ketua Al-Qaeda itu akan menyebabkan tercetusnya perang yang lebih hebat. Al-Qaeda yang akan diambil aleh oleh Ayman Al-Zawahiri tidak akan berdiam diri atas kematian Osama. 


Bagi Obama pula, kematian Osama akan melonjakkan popularitinya yang ternyata berjaya mengotakan janjinya untuk membunuh Osama sebelum dilantik sebagai pegawai AS.

Sebahagian dari yang mengikuti kronologi serangan 11 September hingga terbunuhnya Osama Bin Laden tidak mempercayai kewujudan watak sebenar Osama. Mereka mengatakan Osama adalah watak yang sengaja diwujudkan oleh AS untuk membolehkan AS melakukan serangan ke atas beberapa negara Islam, seterusnya menutup kelemahan pemimpin AS yang gagal menangani masalah domestik negara itu.


Siapakah sebenarnya pengganas, Osama atau AS? Siapakah yang menyebabkan kematian beratus ribu manusia khususnya umat Islam, Osama atau AS? Selagi AS wujud, selagi itulah berlaku penganiayaan terhadap umat Islam akibat banyak pembohongan yang mereka cipta.

Profil Osama Bin Laden

  1. Dilahirkan pada 1957di Arab Saudi, anak kepada ahli perniagaan kaya (billionaire), Mohamad bin Awad bin Laden
  2. Anak ke 17 daripada 54 orang adik beradik. Bapanya meninggal dalam nahas helikopter sewaktur umurnya 11 tahun.
  3. Osama belajar di King Abd Aziz Universiti dalam bidang Kejuruteraan Sivil, Pentadbiran Perniagaan, Ekonomi dan Pentadbiran Awam
  4. Pada 1980-an Osama menyertai pemberontakan yang dibiayai oleh AS terhadap tentera kesatuan Soviet Union di Afghanistan. Beliau menubuhkan Al-Qaeda di negara berkenaan.
  5. Pada kejadian 11 September 2001 beliau didakwa sebagai orang yang merancang serangan ke atas Menara Berkembar World Trade Centre di New York City.
  6. Beliau maut pada 1 Mei di Abbotabad Pakistan dalam operasi bersama pasukan tentera Pakistan-AS.
Ada satu fakta yang masih menjadi misteri iaitu pada hari serangan ke atas World Trade Centre pada 11 September 2001, tidak ada seorang pun bangsa Yahudi yang hadir bekerja pada hari itu. Dianggarkan kira-kira 3000 orang Yahudi yang bekerja di WTC tetapi anehnya tiada seorang pun yang hadir. Mungkinkah ini sebenarnya rancangan AS-Yahudi.

Monday, May 2, 2011

Kelebihan surah Al-Ikhlas

Doa dapat pahala, terjauh godaan syaitan

Surah Al-Ikhlas disebut surah keselamatan kerana surah ini menyelamatkan orang yang membacanya dari kesulitan-kesulitan dunia juga sakratulmaut, menyelamatkannya dari gelap gelita kubur dan tragedi-tragedi hari kiamat.

Dari Abu Hurairah, Nabi SAW pernah bersabda "Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas, seolah-olah ia membaca sepertiga Al-Quran"

At-Tabrani dan an-Nu'aim mengikhraj dari Rasulullah SAW, baginda bersabda "Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas saat sakitnya yang menghantarnya pada kematian maka ia tidak berjamah fitnah di dalam kubur dan aman dari penyempitan kubur pula ia dibawa malaikat dengan tapak tangannya hingga melampaui sirat sampai syurga"

Terdapat banyak lagi hadis tentang fadhilat amalan membaca surah Al-Ikhlas ini. Di antaranya dapat pahala seratus orang pahlawan syahid (Hadis dari Ubai bin Ka'ab), terjauh godaan syaitan jika dibaca 10 kali selepas solat Subuh (Hadis dari Ali Bin Abi Talib), jika diamalkan membacanya semasa sakit hingga membawa kematiannya, maka akan terlepas dari siksa kubur (Hadis dari At-Tirmizi).

Kisah di dalam Ruhul-Bayan ada menyebutkan;

Pada waktu Nabi SAW di tabuk datang kepada baginda malaikat Jibril. "Rasulullah, saya khabarkan bahawa Mu'awiyah al Muzani ra telah meninggal di Madinah. Apakah engkau berkenan jika bumi ini saya lipat, agar engkau menyembahyangkan jenazah Mu'awiyah". "Boleh saja" jawab baginda, maka Jibril membentangkan sayapnya di atas bumi dan diangkatnya Nabi sampai Madinah lalu menyembahyangkan jenazah Mu'awiyah dan para malaikat menjadi makmum dua saf (barisan) dimana satu saf berjumlah tujuh puluh ribu malaikat.

Selesai sembahyang baginda bertanya "Oleh sebab apa Mu'awiyah berpangkat demikian tinggi?" Malaikat Jibril menjawab "Oleh kerana Mu'awiyah cinta dan membaca qul hu wallahu ahad sewaktu pagi dan petang, ketika berdiri dan duduk dan pada setiap gerak-gerinya."

Surah Al-Ikhlas juga mempunyai fadhilat melapangkan rezeki dan menolak kefakiran bagi pembacanya serta penghuni rumah dan tetangganya. Dalam kitab Sa'adatul Darain, Rasulullah SAW bersabda " Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas ketika memasuki rumah, maka hilanglah kefakiran penghuni rumah dan tetangganya" (HR At-Tabrani dan Ibnu Mas'ud).

Di dalam kitab Fawaid as-Syarji menyebutkan: Bahawasanya ada seorang mengadu tentang kefakirannya kepada Nabi SAW, maka baginda bersabda "Ketika masuk rumah bacalah surah Al-Ikhlas". Kemudian lelaki itu melaksanakannya dengan cara seperti itu, maka Allah SWT melapangkan rezeki kepadanya dengan berkat surah Al-Ikhlas.

Surah Al-Ikhlas jika dibaca 11 kali selepas tiap kali sembahyang fardhu, insyaallah akan ditetapkan iman.

Imam Hanbali rahimahullah berkata, barangsiapa yang melalui kawasan perkuburan dan menghadiahkan 11 kali surah Al-Ikhlas kepada penghuni kubur itu, maka ia akan dapat pahala sebanyak mana mayat yang ditanam disitu.

Membaca surah Al-Ikhlas sebanyak 3 kali pahalanya menyamai membaca 30 juzuk Al-Quran. Bagaimanapun bagi sesetengah orang ia menjadi berat untuk dilakukan oleh kerana banyaknya dosa yang ditanggung.

Mengikut pengalaman ornag yang mengamalkan surah Al-Ikhlas ini, apabila kehilangan sesuatu barang, bacalah surah ini sebanyak 21 kali sambil mencari barang tersebut.

Lagu Pilihan - Demi Matahari

Tiga golongan yang dicintai Allah

Dalam hadis qudsi ada disebut tiga golongan manusia yang dicintai dan yang paling dicintai Allah SWT iaitu:
  • Allah mencintai orang yang tawadhu, tetapi Allah sangat mencintai orang kaya yang tawadhu
  • Allah SWT mencintai orang yang pemurah, tetapi Alllah SWT sangat mencintai orang miskin yang pemurah
  • Allah sangat mencintai orang yang bertaubat tetapi Allah SWT sangat mencintai orang muda yang bertaubat.
Tiga golongan  yang dibenci Allah ialah:
  • Allah SWT membenci orang yang takabbur, tetapi Allah SWT sangat membenci orang kaya yang takabbur
  • Allah SWT membenci orang yang bakhil, tetapi Allah SWT sangat membenci orang kaya yang bakhil
  • Allah SWT membenci orang yang tidak mahu beraubat, tetapi Allah SWT sangat membenci orang tua yang tidak mahu bertaubat.
Luqman Al- Hakim pernah berpesan kepada anaknya 
" Sepanjang hidupku, aku hanya memilih lapan kalimah daripada pusaka para nabi untuk dijadikan pegangan hidup, iaitu" : 
  • Apabila engkau solat, jagalah baik-baik fikiranmu
  • Apabila engkau bertandang ke rumah orang lain, jagalah baik-baik pandangan matamu
  • Apabila engkau di majlis, jagalah lidahmu
  • Ingatlah kepada Allah SWT sepanjang masa
  • Ingatlah akan mati, iaitu bersedia hadapi maut
  • Lupakan budi baikmu terhadap orang lain
  • Lupakan semua kesalahan orang lain terhadapmu 

Wirid mohon kecukupan, kemudahan dan lanjut usia

Wirid ini harus dibaca terus selama-lamanya secara teratur dan tertib, disertai dengan bekerja dan rajin berusaha.


Ayat 128 - 129 Surah At-Taubah (dinamakan juga Ayat Tasbih)

Ertinya "Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu sendiri (Nabi Muhammad SAW) yang menjadi sangat berat kepadnya sebaang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu (dan) ia pula menumpukan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad):"Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku) tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, kepadanya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai 'Arasy yang besar"

Menurut sebahagian ulama, banyak fadhilat dan faedah bagi sesiapa yang mengamalkan membaca 2 ayat akhir surah At-Taubah ini, antaranya ialah:
  • Keperluan hidupnya mencukupi (termasuk rezeki, pakaian dan kediaman)
  • Dapat mempermudah segala urusannya yang sulit-sulit serta susah
  • Menghilangkan perasaan dukacita, resah gelisah dan susah hati
  • Sebagai doa mohon panjang umur
  • Jika hina menjadi mulia, jika kalah menjadi menang, jika miskin menjadi luas rezeki, jika susah akan menjadi gembira dan jika mempunyai hutang, akan dapat membayarnya.

Kaifiat mengamalkannya:
Amalkan membaca kedua-dua ayat di atas sebanyak 7 kali setiap selepas solat fardhu atau sekurang-kurangnya selepas solat subuh dan maghrib.

Sunday, May 1, 2011

Jangan lupa berselawat tiap-tiap hari

Kelebihan selawat

Hari ini kita membincangkan tentang kelebihan berselawat kepada Rasulullah SAW.  Selawat adalah permohonan kepada Allah SWT agar memberikan berkah dan rahmat kepada nabi  Muhammad SAW beserta keluarganya dan para sahabatnya.

Allah SWT menyeru kepada orang-orang yang beriman supaya berselawat kepada nabi seperti dalam firmanNYA:
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya. ” (Surah Al-Ahzab: 56).

Rasulullah SAW menerangkan beberapa kelebihan yang diperolehi bagi orang yang berselawat ke atas nabi , antaranya:

1.      Satu kita untuk Rasullah SAW, Allah SWT berselawat untuk kita 10 kali.
“Barang siapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” ( HR Ahmad, Nasai dan Al Hakim)

2.     Allah SWT meninggikan darjat orang yang berselawat 10 kali, memberikan 10 kebajikan, menghapuskan 10 kejahatan dan membebaskan dari kemunafikan.

3.       Mendapat tempat yang paling utama bersama Rasulullah SAW di hari kiamat, mendapat tempat di syurga bersama syuhada dan jauh dari api neraka.

4.       Mendapat keberkahan dalam setiap urusan penting, terpelihara dari kesusahan, dan menjadi orang yang dermawan.

5.       Dengan berselawat 100 kali sehari, Allah akan mendatangkan pelbagai hajat.
“Barang siapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah mendatangkan baginya seratus hajat, tujuh puluh untuk akhirat dan tigapuluh untuk dunianya. ” (HR Ibnu Majah dan Jabir)

6.       Sebagai pengganti zakat dan sedekah (pembersihan diri dari dosa) bagi orang-orang yang tidak memiliki  kelebihan harta
Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa pembersih dosa) bagimu.” (HR Ibnu Mardawaih)

7.       Jika berselawat 10 kali pagi dan 10 kali petang, akan mendapat syafaat Rasulullah SAW di hari kiamat. Jika di baca 3 kali siang dan 3 kali malam, akan mendapat pengampunan dosa sehari semalam.
      “Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. ” (HR Tabrani)


8.     Fadhilat Selawat 1000 kali sehari
“Barang siapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga.” (HR Abus Syaikh dari Anas)



Kesimpulannya, Allah mengurniakan keberkahan, rahmat dan kegembiraan kepada orang yang berselawat. Jadi jangan lupa berselawat setiap hari. Terdapat banyak jenis selawat dan paling utama ialah Selamat Ibrahimiah seperti yang dibaca dalam tahiyyat akhir.  Boleh juga diamalkan selawat yang agak ringkas  iaituAllahumma Solli a’la saidina Muhammad wa a’la alihi wa sohbihi wasallam.

Apabila disebutkan nama nabi, kita hendaklah berselawat ke atas baginda, dan janganlah kita sekali-kali lupa berselawat ke atasnya seperti sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi ”Orang yang bakhil ialah yang bila disebut namaku kepadanya, lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku”

Apapun kelebihan yang diperolehi oleh orang yang berselawat, niatkan amalan selawat kita adalah untuk mendapat rahmat dan redha Allah, bukan semata-mata untuk mendapatkan fadhilatnya, kerana ia menandakan tahap keikhlasan yang paling tinggi. Orang yang mendapat redha Allah, Insyaallah akan terselamat dari api neraka dan syurga adalah balasannya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

facebook