Saturday, April 30, 2011

Panduan tidur mengikut sunnah nabi

Cara tidur yang terbaik ialah tidur mengikut sunnah nabi. Tidur mengikut sunnah akan meyebabkan tidur kita lebih berkualiti dan boleh mengelakkan dari mendapat mimpi ngeri serta tidur kita akan mendapat rahmat dari Allah SWT. Cara tidur mengikut sunnah adalah seperti berikut.

1. Ambil wuduk sebelum tidur dan solat sunat taubat sebanyak 2 rakaat.

2. Baca doa sebelum dan sesudah tidur. Ramai yang tidak menghiraukan doa harian ini, tetapi hakikatnya Allah menjanjikan rahmat dan syurga bagi orang yang mengamalkannya.

Bukhari, Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan Al-Darimi meriwayatkan daripada Abu Huzaifah r.a bahawa beliau berkata " Nabi SAW apabila naik ke tempat tidurnya pada waktu malam, baginda meletakkan tangan baginda di bawah pipi baginda kemudian membaca (yang maksudnya) : Dengan namaMU ya Allah, aku mati dan hidup; dan apabila bangun, baginda membaca (yang maksudnya) : segala pujina bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami, dan kepadanya kami kembali"


3. Jangan tidur dengan kaki menghadap kiblat. Ini adalah keduduan tidur orang yang meninggal dunia.

4. Membaca zikir yang diamalkan oleh anankanda nabi iaitu dinamakan Tasbih Siti Fatimah. Amalan zikirnya ialah : Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, dan Allhuakbar 34 kali.

5. Membaca surah Al-ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas 3x dan tiup ke tapak tangan dan sapu ke seluruh badan untuk menghindarkan sihir dan niat jahat manusia.

6. Niat untuk bangun Tahajjud. Sekiranya tidak terjaga malam itu, Allah tetap mengira seolah-olah dia bertahajjud sepanjang malam. Tahajjud adalah sebaik-baik amalan yang menjadi pelindung daripada sihir dan buatan orang.

7. Memaafkan semua kesalahan orang lain terhadap kita dan halalkan semua hutang-piutang sebelum tidur.

8. Tidur cara Rasulullah ialah dengan mengiring badan ke kanan dan tapak tangan di bawah pipi.

                             

Friday, April 29, 2011

Sayyidul Istighfar

Sayyidul Istighfar atau dalam Bahasa Melayunya Penghulu Istighfar dibaca 3 kali pagi dan 3 kali petang

Ertinya "Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, Engkau telah menjadikanku dan aku adalah hambaMu, dan aku di atas perintah dan perjanjianMU sekadar keupayaanku. Aku berlindung denganMu daripada segala kejahatan yang aku lakukan, Aku mengakui nikmatMU ke atasku dan aku mengaku akan dosaku.Ampunilah dosaku, eungguhnya tiada yang mengampunkan segala dosa melainkan Engkau

 " Sayyidul Itighfar, sesiapa yang membacanya dengan penuh keyakinan ketika petang, kemudian dia mati pada malamnya, dia akan dapat masuk syurga.Demikian juga kalau dia membacanya pada waktu pagi " (HR Albukhari)

Sayyidul Istighfar merupakan amalan zikir pagi dan petang yang dianjurkan umat Islam mengamalkannya. Ia sentiasa menjadi amalan orang-orang soleh.

Fadhilat zikir sebelum tidur

Pada zaman yang serba moden ini, masa terasa semakin pendek. Dari seawal bangun pagi, kesibukan menyebabkan waktu yang berlalu seakan terlalu cepat, tup tup dah petang. Badan keletihan mengejar kesempatan waktu, otak juga terasa letih memerah idea untuk menghasilkan sesuatu yang lebih produktif.

Manakala yang berkerja di rumah pula, tidak kurang sibuknya, kerja yang tidak pernah habis-habis ada kalanya akhirnya membuatkan badan lesu dan keletihan, terasa malas dan tidak cergas. Waktu itu tentu terfikir juga, alangkah baiknya jika mempunyai pembantu. Kalau yang berkemampuan bolehkan menyediakan seorang pembantu untuk membantu melancarkan kerja-kerja seharian. Bagaimana pula yang kurang berkemampuan?

Namun ada sesuatu yang ditinggalkan oleh Rasulullah untuk kita amalkan yang mana ia lebih baik dari seorang khadam. Dari Abu Hurairah katanya, Fatimah meminta kepada Rasulullah SAW seorang khadam untuk membantunya meringankan kerja-kerja rumah dan mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa dia begitu penat berkerja. Jawab Rasulullah "Engkau tidak akan mendapatkan daripadaku. Mahukah aku tunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada seorang khadam? Iaitu tasbih 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 34 kali sebelum engkau hendak tidur" (HR Mulim)

Jadi sebelum tidur berzikirlah Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahuakbar 34 kali. Lakukan secara istiqamah (berterusan) dan kita akan dapat merasa kesannya. 

Bagi wanita yang tidak suci (berada dalam haid dan nifas) juga boleh berzikir dengan zikir ini. Jika ingin merasakan kesan keberkatannya, hendaklah dilakukan secara bererusan. Jika dilakukan sekali-sekala saja, kesannya tidak akan dirasai, jadi lakukan secara istiqamah.

Wednesday, April 27, 2011

Surah Al-Mulk mencegah siksa kubur

Al-Mulk bererti Kuasa Pemerintahan. Surah Al-Mulk adalah surah ke 67 dalam Al-Quran yang terdiri dari 30 ayat. Surah ini termasuk dalam surah Makkiyah. Rasulullah SAW sangat mencintai surah Al-Mulk. Baginda mengharapkan surah Al-Mulk berada di hati setiap mukmin.

Surah Al-Mulk mempunyai banyak fadhilat bagi sesiapa yang melazimkan membacanya, antaranya:
1. Diberi keselamatan dari azab kubur
2. Diberikan syafaat sampai diampuni dosanya
3. Dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga

An-Nasai meriwayatkan dari Ibnu Mas'ud bahawa Rasulullah SAW bersabda, sesiapa yang membaca surah Al-Mulk setiap malam, maka Allah akan mencegahnya dari siksa kubur. (HR An-Nasai)

Daripada Jabir r.a, sesungguhnya Rasulullah tidak akan tidur sehingga baginda membaca Alif Laam Al-Sajdah dan Al-Mulk. (HR At-Tirmizi)

Daripada Anas Ibnu Malik, Rasulullah SAW bersabda: Satu surah di dalam Al-Quran menghadiahkan kepada pembacanya sehingga memasukkannya ke dalam syurga iaitu "Tabarakallazi" (HR At-Tabrani)

" Sesungguhnya di dalam Al-Quran terdapat 30 ayat yang kandungannya akan memberi syafaat kepada orang yang membacanya sehingga ia mendapat keampunan dosanya iaitu surah Al-Mulk" (HR Abu Daud)

Tuesday, April 26, 2011

Doa untuk anak

Doa ibubapa untuk anak-anaknya sangat makbul. Jangan sia-siakan kemuliaan yang Allah kurniakan kepada ibubapa iaitu mustajabnya doa ibubapa untuk anak-anak.  

Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Ibnu Majjah menegaskan tiga golongan jika berdoa pasti dimakbulkan iaitu orang dizalimi, orang musafir dan doa ibu bapa kepada anaknya.

Rugilah bagi sesiapa yang mensia-siakan peluang ini. Setiap ibubapa pasti mengimpikan anak-anak mereka menjadi orang-orang yang berjaya di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat. Nah, gunakan kemuliaan yang Allah kurniakan ini untuk berdoa untuk anak-anak.

Berikut ini adalah panduan doa yang masyhur untuk anak-anak.

Doa supaya anak-anak tetap mengerjakan solat:
Surah Ibrahim ayat 40-41

Ertinya " Wahai Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mengerjakan solat, Ya Tuhan kami, perkenankanlah doa kami. Tuhanku, ampunilah aku dan ibubapaku serta sekelian sorang-orang mukmin pada hari hisab nanti"
Doa mohon keturunan yang soleh, penyenang hati dan menajdi orang yang bertakwa
Surah al-Furqan ayat 74

Ertinya"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami dari isteri dan keturunan kami menjadi penyenang hati kami dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa"

Doa anak taat kepada Allah
Surah Al-Baqarah (ayat 128)
Ertinya " Wahai tuhan kami, jadikanlah kami berdua ini orang yang patuh dan berserah diri kepadaMU, dan jadikanlah di kalangan keturunan kami umat yang patuh dan berserah diri kepadaMU, serta tunjukkanlah kepada kami syari'at cara-cara ibadah haji kami dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Penyayang."

Doa anak pandai belajar
Surah Anbiya ayat 79

Ertinya " Maka Kami beri Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (daripada mereka berdua) Kami berikan hikmah kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan Kami tundukkan gunung-ganang dan burung-burung memuji Kami bersama-sama dengan Daud. Kami sememangnya berkuasa melakukan semua ini."   


Doa-doa lain;
Doa supaya anak rajin belajar dan rajin ke sekolah:
Surah Taha ayat 1 - 5

Doa memohon rahmat
Surah Ali-Imran, ayat 8-9.

Doa anak lembut hati
Surah Al-Anbiya, (ayat 69) atau Al-Hasyar (ayat 22-24) Surah Al-Imran ayat 200

Doa mohon zuriat yang baik 
surah Ali-Imran (ayat 38)

Selagi kita belum menutup mata, selagi itulah kita harus berdoa untuk anak-anak kerana selain membesarkan, membimbing dan memberikan ilmu, doa juga menjadi  penyebab kejayaan anak-anak. Semua orang tahu, anak adalah amanah dari Allah, kita akan ditanya diakhirat nanti tentang tanggungjawab kita dalam membesarkan anak-anak.  

Tuesday, April 19, 2011

Kisah Burung dan kucing

Sejak beberapa tahun kebelakangan, rumah ni telah menjadi tempat persinggahan 2 jenis binatang ni. Burung dan kucing. Sudah 3 buah sarang  telah dibina oleh burung kelicap kunyit untuk bertelur. Dua daripadanya yang telah dibina diranting pokok melur dah rosak sebab reput terkena panas dan hujan. Yang tinggal hanya yang ni, yang dibina setahun yang lepas, mungkin tahan lama sikit sebab ada bawah porch.



Nampaknya sudah beberapa kali sarang ni jadi tempat kelicap bertelur. Selalu juga terdengar bunyi cit cit cit...anak dia la tu...takpa lah, dudukla elok-elok, mak cik tak minta sewa pun...hehe...jangan kacau makcik dah..

Baru-baru ni pula, tiba-tiba ternampak  sekor kucing beranak dalam gerobok kasut lama depan porch. Serba salah jadinya, tak tau pula dari mana datangnya kucing ni...nak halau ka nak biar kat situ? Kalau nak biar takut dia melepas pula, nak halau kesian sebab dia baru beranak..last-last biarkan ja la dia kat situ...ni pun mak cik tak minta sewa...tapi garangnya ya Allah, bila dia tengok kita, macam nak kena telan...Kita pun carila makanan untuk kucing tu....3 hari lepas tu, tup tup hilang...dia angkut anak-anak dia pergi mana tah....ni ha anak-anak dia...mak dia hitam legam, tapi anak-anak comel denagn tompok-tompok 3 kaler. Anak bapa la ni....haha


semua 3 ekor anak sedang leka menyusu

Cukuplah 2 jenis binatang ni datang bertamu di depan rumah...binatang2 lain, janganla dok mai sini....nauzubillah. Walaupun kadang-kadang geram juga dengan kucing-kucing gelandangan yang suka datang melepak kat rumah, (bukan apa, kadang mereka melepas kat sini) tapi sekurang2nya, selamat sikit dari tikus dan ular barangkali.



Monday, April 18, 2011

Petua ziarah orang sakit

Ini adalah petua yang diberikan oleh Al-Fadhil Ustaz Sharhan Shafie dalam ruangan Tanyalah Ustaz TV9. Islam menggalakkan kita ziarah orang sakit dan ganjaran pahalanya sangat besar di sisi Allah. Bagaimanapun ada petua tertentu yang perlu kita amalkan sewaktu menziarahi orang sakit. Antaranya ialah:

1. Memberi kata-kata semangat dan perangsang supaya orang yang sakit rasa gembira dan tidak putus harapan untuk sembuh dari penyakitnya.

2. Membawa buah tangan seperti buah-buahan, kuih-muih yang sesuai boleh dimakan oleh orang yang sakit tu. Walaupun orang yang sakit selalunya tidak ada selera untuk makan, mungkin buah tangan yang kita bawa tu boleh membuka selera dan menggembirakannya.

3. Orang yang sakit keadaan tubuh badannya lemah, kemungkinan setengah pesakit boleh menjadi tumpangan jin. Oleh itu jika boleh, hindarkan dari membawa anak kecil sewaktu menziarah orang sakit, kerana jin boleh berpindah dari pesakit kepada orang lain, terutamanya anak-anak kecil.

4. Bila hendak balik ari berziaran, di tangga atau di hadapan rumah pesakit tu bacalah tasbih nabi Yunus ketika dalam perut ikan nun, supaya jika ada jin yang menumpang pesakit tersebut takkan ikut kita balik. Zikir ini adalah pemisah kita dengan jin.

Saturday, April 16, 2011

Ayat pelembut hati

Ayat ini dibaca untuk melembutkan hati yang keras, hati yang ada hasad dengki, suka melakukan perbuatan jahat dan anak-anak yang degil.

Ayat ini adalah dari surah Al-Israk ayat 82:

Thursday, April 14, 2011

Pahala dengan hanya memandang

3 perkara yang menyebabkan kita mendapat pahala dengan hanya memandang:
1. Mushaf Al-Quran
2. Kaabah
3. Ibubapa

Monday, April 11, 2011

Dunia ini dilaknat

Percayakah anda bahawa, dunia ini dilaknat kecuali atas 3 perkara:


1. Membuat sesuatu semata-mata untuk mengingati Allah
Contohnya sekiranya kita membeli rumah. Rumah yang kita beli tujuannya untuk membolehkan kita beribadah dan menjadi tempat naungan untuk anak-anak dan isteri. Maka rumah kita itu tidak dilaknat.


Sekiranya kita membeli kereta, ianya untuk memudahkan kita untuk keluar mencari rezeki yang halal untuk diinfaqkan ke jalan Allah, maka kereta itu tidak dilaknat. Ini adalah kerana lelaki yang keluar bekerja mencari rezeki yang halal untuk perbelanjaan orang-orang yang di bawah tanggungannya, sama seolah-olah dia pergi berjihad dijalan Allah. Sebaliknya sekiranya segala rumah dan harta benda yang dimilikinya membuatkan dirinya riak dan ujub, maka segala harta bendanya dilaknat.


Secara umumnya, apa sahaja yang kita lakukan samada dalam perlakuan atau pemilikan harta benda, mesti diniatkan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah.


2. Orang yang mengajarkan ilmu
Orang yang mengajarkan ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain dari segi agamanya dan kehidupan dunianya menjadi semakin baik, maka orang itu tidak akan dilaknat.


3. Orang-orang yang belajar
Orang-orang yang mempelajari ilmu untuk mendapat keredhaan Allah tidak akan dilaknat.


DARI Abas r.a berkata ia, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Ketahuilah bahawa dunia ini 'mal'unah' (dilaknat), kecuali zikrullah dan orang yang berilmu serta mereka yang mempelajari ilmu."

Azab akhirat dan Amalan penghapus dosa

Dosa kecil atau dosa besar yang kita lakukan tetap akan diazab di akhirat nanti. Seringan-ringan azab di akhirat ialah dipakaikan dengan kasut dari bara api neraka sehingga  panasnya akan menggelegakkan otak. Bayangkan itu adalah azab paling ringan, jika melakukan dosa besar, azabnya pasti lebih berat lagi.

Namun begitu, Allah SWT tetap memberi ruang kepada kita untuk bertaubat dan memperbaiki kesilapan sebelum nyawa sampai ke kerongkong.
Sekiranya melakukan dosa besar, kita hendaklah taubat nasuha, dan tidak mengulangi lagi perbuatan dosa tersebut. Dosa-dosa kecil pula jangan dilakukan secara israr (berterusan) dan dibawah ini adalah amalan-amalan yang boleh menghapukan dosa.

1. Beristighfar
Rasulullah yang tidak ada dosa beritighfar sekurang-kurangnya 70kali hingga 100kali sehari. Rasulullah pernah berpesan kepada umatnya supaya beristighfar 3X selepas solat fardhu.

“Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya sendiri, kemudian ia memohon ampunan kepada Allah, niscaya ia mendapati Allah Maha pengampun lagi Maha Penyayang.” (An-Nisa’: 110)


2. Mengamalkan zikir Subhanallah 33X, Alhamdulillah 33X,  Allhuakbar 33X, diikuti membaca Lailahaillah wahdahu lasharikah lahulmulku walahulhamdu wahuaala kulli shai in qadir 10X
"Barangsiapa yang bertasbih kepada Allah setiap kali solat 33X, diampunkan dosanya walaupun sebanyak buih di lautan" ( HR Muslim)

3. Menyambung silaturrahim

4. Memberi makan anak yatim

5. Menjamu orang makan
"Sedekah menghapus dosa seperti air memadamkan api." (HR Ahmad, At-Tarmizi)

6. Mengekalkan solat dhuha
Sabda Nabi Muhammad saw yg diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra dalam hadis: 
Ertinya:"Siapa saja yg dapat mengerjakan Solat dhuha dgn kekal, akan diampunkan dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu sebanyak busa lautan" 

Rahsia doa mustajab

Ada segolongan orang yang Allah muliakan. Mereka diberi keistimewaan mustajab doa, yakni doa tidak terhalang untuk sampai kepada Allah, malahan makbul. Siapakah mereka yng Allah beri keistimewaan itu?

1. Doa anak yang soleh yang taat kepada ibubapanya.
Allah memberkati anak-anak yang taat kepada ibubapa mereka sehingga doa mereka begitu makbul. Ada seorang mukmin yang hidup pada zaman Rasulullah SAW memiliki ibu yang sangat dijaga dan ditaatinya, sehingga  Rasulullah SAW pernah bersabda " Dia memiliki ibu yang sangat ditaatinya. Jika dia berdoa, pasti Allah SWT akan memakbulkan" (HR Muslim). Beliau yang dimaksudkan ialah Uwais bin Amir.

Sesungguhnya melihat wajah ibubapa sahaja sudah mendapat pahala, inikan pula mentaati dan menjaga keperluan mereka. Subhaanallah. Barakallahuala walidaina.

2. Doa ibubapa kepada anak-anaknya
Allah memuliakan ibubapa dengan mengurniakan doa yang mustajab ketika mereka berdoa untuk anak-anak mereka. Jangan lupa untuk sentiasa berdoa untuk anak-anak kita. Mohonlah supaya anak menjadi anak yang soleh, bertakwa dan bijaksana. Salah satu doa untuk memohon anak tetap mengerjakan solat ialah:


Doa ini ialah dari surah Ibrahim, ayat 40 dan 41.

3. Doa orang yang berpuasa hingga berbuka
"Tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak ialah doa seorang yang berpuasa hingga dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi" (HR At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

4. Doa orang yang teraniaya
Tidak ada hijab orang yang teraniaya dengan Allah.

5. Doa seorang sahabat untuk sahabatnya tanpa diketahui oleh sahabatnya
"Tiada seorang muslim pun yang berdoa untuk saudaranya dari belakang, melainkan malaikat berkata kepadanya : Dan bagi kamu apa yang kamu minta untuk saudaramu" (HR Muslim)

6. Doa orang yang sedang musafir
Mustajab doa orang yang bermusafir dengan syarat musafirnya itu bukan atas tujuan melakukan perkara yang maksiat.

7. Doa pemimpin yand adil

Thursday, April 7, 2011

Jangan sia-siakan waktu mustajab untuk berdoa

Ada waktu-waktu tertentu yang mempunyai nilai mustajab doa. Maka jangan sia-siakan kesempatan untuk berdoa di waktu itu.

1. Waktu sepertiga malam yang akhir
Sesungguhnya Rasulullah bersabda: "Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: "Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya". (HR Bukhari dan Muslim)

2. Sewaktu berbuka puasa bagi orang yang berpuasa

"Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak". (HR Ibnu Majah)

3. Doa selepas solat fardhu
"Doa itu mustajab pada waktu malam dan selesai solat fardu"  (HR Al-Tirmizi)

4. Doa di dalam sujud
"Adapun pada waktu sujud, maka bersungguh-sungguhl ah berdoa keraan saat itu sangat tepat untuk dikabulkan" (HR Muslim)
"Sehampir-hampir hamba kepada Tuhannya ialah ketika waktu sujud , maka perbanyakkanlah berdoa" ( HR Muslim )

5. Sesaat pada hari Jumaat
"Sesungguhnya pada hari Jumaat ada satu saat yang tidaklah bertepatan
seorang hamba muslim shalat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut". (HR Bukhari dan Muslim)


6. Ketika Lailatulqadar
Aisyah r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w “ Sekiranya saya bertemu dengan Lailatul Qadar , apakah yang perlu say abaca? Jawab Rasulullah s.a.w sebutlah olehmu Ya Allah, sesungguhnya Kamu Maha Pemaaf lagi Maha Mulia . Kamu sukakan kemaafan . Jesteru , maafkanlah aku .” (HR Al-Tirmizi, Ibn Majah & Al-Nasa’ie , lihat sahih Al-Tirmizi )

7. Ketika Hari Arafah
Dari ‘Amr bin Syu’aib Radhiyallahu ‘anhu dari bapaknya dari datuknya bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.
“Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah”. (Sunan At-Tirmidzi, bab
Jamiud Da’waat 13/83)


8. Doa antara Azan dan Iqamah
"Tidaklah ditolak doa diantara azan dan iqamah .” ( HR Al-Tirmizi)

9. Ketika Hujan
Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu hujan tidak ditolak atau jarang ditolak ialah kerana pada saat itu sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim. (Fathul Qadir 3/340).



Wednesday, April 6, 2011

Adik beradik dan ipar duai...kenapa bermasam muka?

Minggu ini kak melur ingin bincangkan tentang perselisihan yang lumrahnya berlaku dalam kebanyakan keluarga. Perselisihan adik beradik dan ipar duai tidak pernah ada noktah dalam sesetengah keluarga. Sekiranya masing-masiang menjalankan tanggungjawab dan menghormati hak ahli keluarga yang lain perselisihan akan dapat dikurangkan.

Dalam pergaulan , bila salah seorang dari kita tidak mematuhi norma-norma yang diterima serta tidak ada pertimbangan yang adil, maka tercetuslah perselisihan. Tanda perselisihan berlaku bila ada yang bermasam muka, tidak mahu bertegur sapa, umpatan dan sebagainya. Hasil dari pengalaman kak melur, di sini kak melur utarakan beberapa panduan dalam mematuhi norma pergaulan dalam keluarga.

Pergaulan adik-beradik
Adik beradik wajib hormat antara satu sama lain. Apabila berlaku perselisihan pendapat, jangan jadikan alasan untuk memanjangkan perselisihan di luar waktu perbincangan, jangan emosi dan jangan asyik menyalahkan orang lain. Seharusnya masing-masing muhasabah diri mencari keilapan sendiri. Merasakan diri kita selalu betul adalah tanda kita ni ada penyakit hati....maknanya hati kita tidak bersih. Merasakan diri kita selalu betul akan menyebabkan kita asyik menyalahkan orang....padahal mungkin kita yang menjadi pencetus kepada masalah.

Jika ada ahli keluarga yang membuat silap, jalan terbaik ialah dengan menasihat dengan penuh hikmah, cadangkan penyelesaian, disamping itu tunjukkan yang kita prihatin dan sayangkan saudara kita. Jalan yang salah ialah kita cuba mempengaruhi ahli keluarga lain dengan cacian, umpatan atau cerita yang ditambah-tambah.

Jangan ada perasaan iri hati @ dengki dengan adik beradik. Sekiranya ada adik beradik yang hidupnya lebih mewah, itu adalah rezeki yang Allah kurniakan padanya. Setiap manusia telah ditentukan rezekinya oleh Allah, peraturannya ialah berusaha. Untuk anda yang lebih mewah dari saudara anda yang lain, janganla pula bangga diri...seharusnya anda prihatin dengan saudara anda yang hidupnya susah. Hulurkanlah bantuan sumbangan...so janganlah kedekut pula....Rasullullah SAW tak pernah hampakan permintaan orang, TAPI ingat, jangan membelakangkan anak isteri...nanti jadi cerita lain pula.

Harus ada kompromi dalam keluarga. Contohnya anda ada ibu yang dah tua, kakak anda sorang ja yang menjaga ibu anda, manakala adik-beradik lain sibuk memanjang. Apa salahnya anda menghargai kakak anda dengan memberinya bantuan kewangan, hadiah atau sekali sekali anda ambik ibu anda untuk dijaga sementara waktu untuk memberi pelepasan kepada kakak anda....mana tahu dia pun nak pergi bercuti ke, bershopping ke skali skala. Maksudnya anda tidak membebankan kakak anda seorang untuk menjaga ibu dengan memberinya ruang untuk menikmati waktu sendiri.

Adil dalam memberi. Ketidakadilan selalu berlaku antara anak/cucu/menantu yang paling disayang dengan yang kurang diberi perhatian. Memang pembahagian kasih sayang tidak boleh dipaksa supaya sama rata, tetapi jangan terlalu mempamerkan....nanti ada yang kecik hati, setiap ahli keluarga harus ada rasa dihargai dan disayangi. Begitu juga pemberian barang yang bersifat fizikal, jangan terlalu melebihkan seseorang kecuali atas keadaan tertentu seperti anak/adik-beradik yang  miskin.

Pergaulan ipar duai dan biras. Jaga bahasa anda, kalau nak bergurau pun, gunakan bahasa yang masih terselit rasa hormat terhadap individu lain. Jangan menunjuk-nunjuk kelebihan anda, nanti orang meluat. Kalau  memang anda lebih pun, tak perlu disebut, orang akan tahu dan dapat menilai sendiri kehebatan anda. Jangan mempengaruhi ahli keluarga lain supaya bencikan orang itu atau orang ini, nanti keburukan anda terserlah dengan sendirinya. Jika dlam kumpulan 3 orang, jangan cakap dengan rancak berdua saja, sementara sorang lagi terkial-kial sendiri. Anda harus undang dia untuk join borak anda tu. Jangan ada irihati terhadap ipar duai yang lebih mewah. Itu rezeki yang tertulis untuknya. Rezeki anda mungkin akan menyusul....yang terlebih baik ialah bersyukur dengan apa yang ada.....mengharapkan rahmat Allah dan keberkahan hidup itu lebih penting dari kemewahan yang mungkin boleh menghanyutkan kita dari selalu mengingati Allah.


Itu sahaja untuk kali ini dari kak melur.....kalau ada sesiapa nak tambah, silakan...
wassalam.

Petua mudah bersalin

Petua ini adalah amalan tradisi orang tua-tua dulu untuk memudahkan proses beralin. Sewaktu usia kehamilan mencecah 6 bulan, minumlah sesudu minyak kelapa 3 kali seminggu. Apabila kandungan mencecah 9 bulan, minum sesudu setiap hari. Minyak kelapa buatan sendiri adalah digalakkan kerana lebih terjamin kebersihannya.

Kalau adik2 rasa susah nak minum minyak kelapa, mungkin boleh cuba kapsul minyak kelapa dara, tapi kak melur tak pasti sejauh mana keberkesanannya. Bagaimanapun minyak kelapa dara tetap memberi manfaat kepada kesihatan.

Sekiranya ingin kulit anak cantik dan bersih, cuba sentiasa amalkan minum air kelapa muda. Ia bukan saja sedap, malah kulit anak pun lebih gebu nanti. Insyaallah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

facebook